PEMERGIAN Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi pada 26 September 2022 di Doha, Qatar, ditangisi oleh seluruh umat Islam yang mengikuti Sunnah Nabi Muhammad SAW. Korpus bahan tarbiah, penulisan buku dan kenyataan fatwa beliau terus menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

PEMERGIAN Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi pada 26 September 2022 di Doha, Qatar, ditangisi oleh seluruh umat Islam yang mengikuti Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Korpus bahan tarbiah, penulisan buku dan kenyataan fatwa beliau terus menjadi barisan obor bagi ummah pada zaman sarat pancaroba ini.

Walaupun kehidupan zaman kanak-kanaknya susah, ia menerima kasih sayang langsung daripada ibu bapa, nenda serta bapa saudaranya. Kepintarannya yang luar biasa telah dipadukan dengan semangat perjuangan sejak waktu remaja lagi.

Beliau telah dipenjarakan dan diseksa di Mesir oleh kerajaan Raja Faruq pada dasawarsa 1940-an dan kerajaan Presiden Jamal Abdel Naser pada 1950-an.

Ini lantaran penglibatannya dalam gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928 sewaktu al-Qaradawi berusia dua tahun.

Pada usia remajanya, beliau telah dipimpin oleh Mursyid Am Pengasas Ikhwan, Imam Hasan al-Banna.

Pada usia dewasanya dan sangat matang, apabila beliau ditawarkan untuk menjadi Mursyid Am Ikhwan, al-Qaradawi menolaknya.

Bagi kami, pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, mula mengenali al-Qaradawi pada dekad 1970-an sewaktu kami daripada kalangan kumpulan pelajar agama, perubatan, pergigian serta farmasi belajar di pelbagai fakulti dan universiti di Mesir.

Masa itu beliau baharu saja lulus ijazah doktor falsafahnya pada tahun 1973, sementara hasil penulisannya sudah mula ditatap dan difahami oleh ummah. Hingga kini buku-bukunya menjadi rujukan kami yang mahu memahami sorotan fiqh Islami dalam pelbagai bidang ilmu, yakni daripada keagamaan dan perubatan ke kebudayaan dan kenegaraan.

PENYOKONG DAN PENENTANG

Pada hujung kursus perubatan saya pada 1979, al-Qardawi menyembahyangkan jenazah Abu al-A‘la al-Maududi pada bulan September di Stadium Lahore, Pakistan. Foto solat jenazah itu sedang ditularkan di media sosial.

Bagi penyokongnya, al-Qaradawi terkenal dengan pandangan yang sederhana. Bagi penentangnya, beliau ialah seorang ekstremis.

Sebagai tokoh yang berjaya melaksanakan usaha tajdid (pembaharuan) al-Qaradawi merupakan mujaddid yang syumul dan holistik, pemimpin yang ilmiah, penulis yang prolifik dan aktivis yang dekat di jiwa rakyat.

Pelbagai konsep fiqh yang diamalkan oleh fuqaha silam telah berjaya diatur serta diformulasikan semula oleh al-Qaradawi supaya ia sesuai dengan zaman kontemporari dan senang diamalkan oleh ummah. Dalam kumpulan konsep fiqh ini ialah fiqh al-maqasid, fiqh al-muwazanat, fiqh al-wasatiyyah, fiqh al-aulawiyyat, fiqh al-iqtisadi, fiqh al-daulah, fiqh al-jihad, dan fiqh al-da‘wah.

Kerajaan Qatar telah memberinya kerakyatan serta melindunginya sejak beliau tiba di negara Teluk itu pada awal 1960-an. Namun, al-Qaradawi tetap mengkritik negara itu apabila terdapat keperluan. Beliau yang merupakan pengkritik Syiah ialah penentang tegar Zionisme. Beliau menyokong gerakan Hamas serta perjuangan rakyat Palestin.

Kudeta tentera di Mesir yang mengguling Allahyarham Presiden Mohamed Morsi yang pertama kali dilantik secara demokratik dalam sejarah Mesir ditentang oleh al-Qaradawi. Beliau tidak dapat pulang ke negara lahirnya hinggalah akhir hayatnya.

Untuk mengenali seorang tokoh yang hebat, lihat prinsip perjuangannya, siapa kawannya dan siapa pula musuhnya. Pengkritiknya tidak semesti musuhnya, kerana dalam bidang ilmu serta fatwa, khilaf yang berlaku boleh mengayakan lagi bidang ilmu itu.

Dalam hayat seorang insan yang hebat, kegiatannya yang produktif mengisi sepenuhnya masa yang ALLAH berikan kepadanya; dan legasinya melangkaui zamannya. Kini legasi ilmu dan amal al-Qaradawi terus dihayati di seluruh dunia Islam.

Di Malaysia, perjuangan serta karya al-Qaradawi yang tidak mewakili mana-mana kuasa atau negara, terus dijadikan panduan hukum dan bahan kupasan ilmiah.

* Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat.

Klik di sini untuk terus membaca