SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengharapkan kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat menumpukan usaha memulihkan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengharapkan kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat menumpukan usaha memulihkan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pemulihan ekonomi turut menjadikan pendapatan yang baik dan stabil, mengawal inflasi dan harga barang keperluan asas supaya tidak membebankan rakyat serta meningkatkan kemahiran rakyat agar berpeluang mendapat pekerjaan lebih baik.

Ujarnya, sudah menjadi satu keperluan yang mendesak agar rasuah dan ketirisan dana awam ditangani secara serius.

"Pencegahan rasuah perlu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan selain memulihkan persepsi pelabur terhadap Malaysia. Tumpuan kerajaan sewajarnya diberikan ke arah mengubah perkara-perkara pokok yang seperti duri di dalam daging ini.

"Permasalahan berhubung tadbir urus, produktiviti, rasuah dan mewujudkan nilai tambah dalam ekonomi melalui teknologi, pembangunan sumber manusia dan pendidikan hendaklah dilakukan secara terancang dan serius.

"Tanpa perubahan dari sudut-sudut ini, Malaysia tidak akan mampu untuk bangkit menjadi negara yang progresif dan makmur,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, rakyat sememangnya mahu gerakan antirasuah oleh organisasi masyarakat madani seperti Rasuah Busters dipergiat dan disokong oleh semua pihak.

"Matlamat akhir adalah untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Selain itu, mengangkat pemimpin yang mempunyai moral tinggi, berintegriti dan berwibawa di dalam sistem demokrasi yang menegakkan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama,” jelasnya.

Beliau berkata, pilihan raya perlu dilaksanakan dengan bersih tanpa campur tangan pihak yang berkepentingan.

"PRU15 tanpa sogokan wang, rasuah dan penipuan pengundian. Selain itu, kita harapkan jumlah keluar mengundi yang tinggi agar pimpinan politik negara benar-benar mendapat mandat rakyat.

"Akhir sekali, tiada pengkhianatan terhadap mandat rakyat seperti yang berlaku seperti PRU14,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca