ROM - Itali bakal mempunyai perdana menteri wanita pertama apabila pemimpin sayap kanan, Giorgia Meloni memenangi keputusan awal pilihan raya umum baru-baru ini. Meloni yang dilahirkan pada 15 Januari 1977 di Rom adalah bekas wartawan dan... Klik di sini untuk terus membaca

ROM - Itali bakal mempunyai perdana menteri wanita pertama apabila pemimpin sayap kanan, Giorgia Meloni memenangi keputusan awal pilihan raya umum baru-baru ini.

Meloni yang dilahirkan pada 15 Januari 1977 di Rom adalah bekas wartawan dan mula berkecimpung dalam dunia politik seawal usia 15 tahun.

Beliau dibesarkan bersama ibunya di Garbatella selepas ibu bapanya berpisah ketika baru berusia setahun.

Seusia awal remaja, Meloni mendapat pendidikan dari Institut Amerigo Vespucci (AVI) Rom pada tahun 1996 dan memperoleh diploma di sekolah tinggi dalam jurusan bahasa dengan markah penuh 60/60.

POLITIK

Ramai pakar menyatakan pandangan politik Meloni beralih kepada sayap kanan hasil daripada pengaruh ibunya yang membenci bapanya, seorang pengutip cukai daripada parti sayap kiri.

Namun, sejak itu Meloni melangkah ke alam politik dengan menyertai Barisan Belia, sebuah parti politik sayap pemuda Pergerakan Sosial Itali (MSI).

MSI adalah parti sayap kanan yang berakarkan neofasis yang dibubarkan pada tahun 1995.

Muka depan akhbar utama dengan foto Meloni sejurus memenangai undian pilihan raya peringkat pertama baru-baru ini. - AFP

Kemudian, pada 2006 beliau dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Perwakilan dan Menteri Belia oleh kerajaan diketuai Silvio Berlusconi yang ditubuhkan selepas pilihan raya 2008.

Pada masa itu, Meloni menjadi menteri termuda ketika berusia 31 tahun dan memegang jawatan sama sehingga kerajaan sama tumbang pada 2011.

Pada tahun 2012, ibu kepada seorang anak itu menubuhkan dan mengetuai parti Brothers of Italy (FdI), selaras dengan cita-citanya untuk menjadi pemimpin Itali suatu hari nanti.

PERDANA MENTERI SETERUSNYA

FdI yang berhaluan kanan memenangi pilihan raya awal Itali dengan 26.2 peratus undi.

Parti tersebut mencatat kemenangan besar dan berjaya mengetepikan rakan sekutunya, Liga Matteo Salvini yang memperoleh sekitar 8.9 peratus dan Forza Italia (FI) pimpinan Silvio Berlusconi dengan mengumpul lapan peratus undian.

"Pada saat anda mahu menjadi sebahagian daripada sejarah, anda perlu memahami tanggungjawab terhadap berjuta-juta orang, Itali telah memilih kami dan kami tidak akan mengkhianatinya."Jika dipanggil untuk mentadbir negara, kami akan melakukannya untuk semua orang, untuk menyatukan rakyat, dengan memanfaatkan apa yang menyatukan, bukannya memecah-belah.

"Kami tidak berada di garisan penamat tetapi destinasi terakhir,” ikrar Meloni sejurus memenangi undian peringkat awal di hadapan penyokongnya.

BERSUARA LANTANG

Meloni kini yang berumur 45 tahun sering kali mendapat kritikan daripada pemimpin-pemimpin lain akibat kenyataan lantangnya dan beliau pernah mengkritik Presiden Perancis, Emmanuel Macron kerana membenarkan penghijrahan tidak teratur ke Itali.

Ucapan slogan ‘Saya Seorang Wanita, Saya Seorang Ibu, Saya Orang Itali’ kepada penyokongnya semasa perhimpunan pada 2019 di Rom menjadi tular di media sosial.

Semasa Meloni membangkitkan isu kejatuhan kadar kelahiran dan penurunan populasi penduduk, beliau juga bersuara lantang mengecam perkahwinan sesama jantina, pengguguran anak secara haram dan antidadah.

Ini kerana ideologi Meloni adalah mempertahankan sempadan, kepentingan negara yang digelar keluarga tradisional.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah populariti Meloni meroket selepas itu dan menjadi sebab beliau bakal menjadi perdana menteri seterusnya.

Beliau juga mengambil pendirian kukuh mengenai dasar Kesatuan Eropah (EU) yang menentang pencerobohan Rusia di Ukraine, dasar ekonomi Eropah semasa dan masa depan serta demokrasi Itali. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca