JIKA melihat kepada trend pandemik yang melanda, pada 1346 sehingga 1353, dunia dikejutkan dengan satu wabak yang mengerikan iaitu Maut Hitam atau ‘Black Death’ yang telah meragut sehingga 200 juta nyawa. Ia berpunca daripada sejenis... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA melihat kepada trend pandemik yang melanda, pada 1346 sehingga 1353, dunia dikejutkan dengan satu wabak yang mengerikan iaitu Maut Hitam atau ‘Black Death’ yang telah meragut sehingga 200 juta nyawa.

Ia berpunca daripada sejenis bakteria dikenali ‘Yersinia pestis’ yang dipercayai sudah pupus pada zaman kini dan boleh tersebar hanya dengan kutu.

Setelah wabak itu lenyap, pada 1918 negara dilanda pula wabak lain yang dikenali sebagai ‘Spanish Flu’ yang telah mengorbankan lebih 40 juta mangsa.

Dan pada 2020 pula, negara sekali lagi diserang virus berlainan iaitu Covid-19 yang dikatakan berasal dari negara China. Disebabkan itu, ia telah meragut 6.55 juta nyawa sehingga Oktober 2022.

Namun demikian, bak kata pujangga, 'selepas hujan pasti ada pelangi'. Oleh itu, setiap pandemik yang berlaku tersebut pastinya dapat ditangani dan dibendung dengan penghasilan vaksin yang berkesan.

Oleh itu, sebagai persediaan untuk menghadapi pandemik yang dijangka berlaku pada masa hadapan, Sinovac Biotech Ltd telah melakukan pelbagai persiapan yang rapi di setiap sudut.

Sinovac yang merupakan syarikat biofarmaseutikal dari China itu bukan sahaja bersedia untuk negaranya, malahan ia juga akan membantu negara yang sedang membangun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kualiti dan Naib Presiden Sinovac, Weining Meng berkata, syarikat itu berminat untuk membantu negara lain dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan vaksin serta perkhidmatan kesihatan awam.

"Kami bukan sahaja bersedia menjadi pembekal vaksin yang boleh dipercayai malah menawarkan khidmat rakan kongsi strategik bagi sekuriti kesihatan awam dengan menubuhkan industri dan kemudahan pembangunan vaksin tempatan,” katanya.

Beliau menerangkan kepada pemberita pada Sinovac Global Media Day yang dihadiri 84 wartawan dari 63 negara yang menyertai program anjuran Pusat Berita Komunikasi Antarabangsa China (CIPCC).

PELABURAN BESAR

Untuk masa lima tahun akan datang, syarikat itu juga dianggarkan akan melaburkan sejumlah AS$2 bilion (RM9.2 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan AS$3 bilion (RM13.9 bilion) bagi pengeluaran vaksin dan produk farmaseutikal besar-besaran.

Dalam masa sama, mereka juga berhasrat untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan serta pangkalan perindustrian di lebih 10 buah negara.

Objektif utama mereka adalah memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dan kerajaan tempatan.

Sinovac yang mana namanya terus melonjak naik selepas pandemik Covid-19 itu merupakan syarikat yang berfokus kepada penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan komersial vaksin-vaksin yang mencegah penyakit berjangkit manusia.

Bukan sahaja Sinovac menghasilkan vaksin Covid-19, syarikat itu juga telah membangunkan 12 jenis vaksin lain sejak penubuhannya pada 1999.

Antaranya vaksin untuk Penyakit Tangan-Kaki-Mulut (HFMD), hepatitis A, poliomielitis, influenza bermusim, penyakit pneumokokal, influenza pandemik H5N1 (selesema burung), influenza H1N1 (selesema babi), varicella dan beguk.

Kesemua vaksin yang dihasilkan itu telah digunakan di lebih 80 negara seluruh dunia sekali gus dapat memanfaatkan lebih tiga bilion individu.

Antara teknologi yang digunakan untuk menghasilkan vaksin.

Bagi tujuan vaksin Covid-19 pula, sebanyak 2.88 bilion vaksin jenama Sinovac tersebut telah digunakan lebih daripada 62 buah negara di seluruh dunia.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.75 bilion dos telah dibekalkan untuk China dan selebihnya iaitu 1.13 bilion lagi kepada negara lain.

Tidak terkecuali, Malaysia yang mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan negara China turut menerima sehingga 38 juta dos.

LAWATAN KE SINOVAC

Semasa sesi lawatan, penulis dimaklumkan bahawa Sinovac mempunyai tiga bengkel pukal vaksin Covid-19.

Bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap vaksin Covid-19 untuk pasaran domestik dan antarabangsa, Sinovac membina pangkalan industri di daerah Daxing bagi mencapai kapasiti pengeluaran dua bilion dos.

Setakat ini terdapat sejumlah lima tapak di daerah Daxing, Beijing iaitu Tianfu, Xiangrui, Yongda, Fuguotang dan Ruang Inovasi Bawah Tanah.

Dengan keluasan lantai 260,000 meter persegi, luas bangunan pula 388,000 meter persegi secara keseluruhan, ia membolehkan syarikat itu memenuhi kapasiti pengeluaran tahunan iaitu dua bilion dos vaksin.

Tidak hairanlah apabila syarikat tersebut mempunyai sasaran setinggi itu. Ini kerana, dengan menggunakan teknologi moden, Sinovac Biotech Ltd mampu menghasilkan 10 dos vaksin dalam masa hanya satu saat sahaja. Bayangkan berapa banyak dalam masa sebulan.

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca