PERKHIDMATAN Ekosistem adalah penting untuk kesejahteraan manusia. Antaranya penyediaan sumber seperti air, makanan, tenaga dan tanah untuk pertanian. Malangnya, manusia sejak kewujudan mereka melalui pelbagai aktiviti sentiasa melancarkan... Klik di sini untuk terus membaca

PERKHIDMATAN Ekosistem adalah penting untuk kesejahteraan manusia. Antaranya penyediaan sumber seperti air, makanan, tenaga dan tanah untuk pertanian. Malangnya, manusia sejak kewujudan mereka melalui pelbagai aktiviti sentiasa melancarkan ‘perang’ terhadap alam semula jadi.

Manusia menebang hutan membersihkan tanah untuk menanam tanaman selama berabad-abad.

Dengan berbuat demikian, kita telah mengubah alam sekitar. Natijahnya, konflik berterusan antara alam sekitar sebagai pembekal perkhidmatan untuk kesihatan manusia dan sumber ekonomi terus berlarutan.

kali komponen alam sekitar yang memberi perkhidmatan ekosistem terpaksa digadai bagi memberi laluan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kekayaan segelintir masyarakat.

Secara semula jadi, alam sekitar boleh menyerap pencemaran jika kuantitinya sedikit.

Namun, jika pencemaran itu melampaui batas atau secara berlebihan, alam sekitar sendiri akan melancarkan serangan balas dengan cara memulangkan semula bencana kepada manusia dan persekitaran.

Keselamatan dan kesihatan manusia boleh terganggu apabila alam sekitar mengalami kemerosotan.

Bencana merupakan salah satu tindak balas alam sekitar kepada manusia. Sebarang tindakan dan perbuatan manusia berkaitan alam sekitar mempunyai kesan berangkai yang akhirnya akan kembali kepada kelompok manusia itu sendiri.

Rentetan itu, di sana sini pelbagai bentuk bencana meningkat ketara.

Pembuangan sampah sarap dan kumbahan tidak terkawal, sisa toksik, sisa nuklear dan tumpahan minyak menjadikan tanah beracun dan tidak boleh didiami.

Pembakaran bahan api fosil dalam perindustrian, pembakaran hutan dan sisa domestik secara terbuka, pengeluaran tenaga dan pengangkutan menyebabkan kadar pencemaran udara yang tinggi.

Ternyata, pembangunan manusia yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi semata-mata telah menyebabkan penyusutan sumber alam dan pencemaran selain menyebabkan masalah alam sekitar semakin meruncing.

MALAPETAKA

Kejadian runtuhan Highland Tower (1993), tanah runtuh di Bukit Antarabangsa (1999 dan 2008), Hulu Kelang (2006), Ulu Yam (2008), Sandakan (2009), Hulu Langat (2011) dan Tanjung Bungah (2017) serta banjir kilat di Cameron Highlands (2014) adalah sebahagian daripada pelbagai bencana yang berlaku kesan kealpaan kita untuk berinteraksi secara lebih harmoni dengan persekitaran.

Perhatian yang tinggi perlu diberikan kepada paradigma ‘perancangan mempelopori pembangunan’ dan bukannya ‘perniagaan mempelopori pembangunan’ seperti yang terserlah pada masa ini.

Tambahan pula, jika dinilai semula pendapatan yang diperoleh kerajaan negeri hasil sumber semula jadi yang dieksploitasi seperti pembalakan, mengorek pasir sungai dan menambak laut, ia amat tidak berbaloi jika dibandingkan kerosakan dan kemusnahan akibat bencana.

Alam sekitar tidak memerlukan manusia untuk kekal, sebaliknya manusia bergantung hidup kepada perkhidmatan alam sekitar untuk terus kekal.

Kesejahteraan kehidupan manusia bergantung kepada sejauh mana kesedaran dalam memastikan alam sekitar tidak berhadapan dengan pencemaran dan kehabisan sumber alam.

Kedua-dua fenomena tersebut boleh mengakibatkan malapetaka yang bukan sahaja menimpa generasi kini, bahkan turut melibatkan generasi seterusnya. Justeru, sumber alam perlu diurus dengan berhemah dan teliti.

Hakikatnya, penjagaan alam sekitar memerlukan peranan secara kolektif daripada pelbagai pihak selain memastikan setiap peraturan yang telah ditetapkan mampu dipatuhi dan dilaksanakan.

Segala keputusan yang direncanakan melibatkan penerokaan alam sekitar perlu diperhalusi secara mendalam dan mendapat pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan khazanah alam berharga ini dapat dikekalkan keseimbangannya.

Inisiatif bersesuaian perlu diusahakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dipertahankan, terutama melalui perancangan pembangunan berteraskan wawasan kelestarian.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca