SEBAHAGIAN besar kawasan di Florida, North dan South Carolina ibarat padang jarak, padang terkukur selepas dibadai Taufan Ian yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 140 kilometer sejam, hujan lebat dan banjir kilat yang turut... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAHAGIAN besar kawasan di Florida, North dan South Carolina ibarat padang jarak, padang terkukur selepas dibadai Taufan Ian yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 140 kilometer sejam, hujan lebat dan banjir kilat yang turut dikategorikan sebagai 'ribut raksasa' pada minggu lalu.

Imej dikeluarkan Pentabiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) menunjukkan kebanyakan struktur di sepanjang Pulau Sanibel di Florida musnah teruk akibat amukan ribut kategori empat tersebut.

Kos kemusnahan 'ditinggalkan' Ian yang meragut hampir 100 nyawa dijangka mencecah berbilion dolar dan memberikan sedikit sebanyak kesan kepada ekonomi Amerika Syarikat (AS) selain memberi tekanan kepada syarikat insurans di negeri selatan tersebut.

"Masih terlalu awal untuk membuat anggaran kerosakan secara keseluruhan, namun hurikan itu berkemungkinan menjejaskan aktiviti ekonomi untuk tempoh 10 hari akibat pemotongan bekalan kuasa, pembatalan jadual penerbangan dan kemusnahan hasil pertanian," kata ahli ekonomi di EY-Parthenon, Gregory Daco.

Beliau turut meramalkan Ian berpotensi memperlahankan aktiviti ekonomi di Florida sebanyak enam mata peratusan pada suku ketiga dan mengurangkan tiga per 10 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Seperti bencana alam lain, impak kepada ekonomi akan beransur pulih dari masa ke masa terutamanya ketika projek pembinaan semula telah dijalankan," ujarnya lagi.

Beberapa bot tersadai di kawasan darat Pulau San Carlos.

KERUGIAN BERBILION DOLAR

Sementara itu, firma yang mempunyai kepakaran dalam analisis hartanah, CareLogic memaklumkan kerugian hartanah komersial dan kediaman boleh menyebabkan syarikat insurans perlu membayar kos pampasan antara AS$28 bilion (RM130 bilion) dan AS$47 bilion (RM218 bilion) manakala kerugian berkaitan banjir boleh mencecah AS$15 bilion (RM69 bilion).

"Ia adalah taufan 'paling mahal' sejak Hurikan Andrew pada 1992 kerana Ian mengakibatkan kemusnahan infrastruktur berskala besar," jelas jurucakap firma itu, Tom Larsen.

Bagi mengurangkan bebanan banyak pihak, Presiden Joe Biden telah meluluskan pengisytiharan bencana yang menyediakan sumber persekutuan untuk daerah yang terjejas teruk.

Usaha pembersihan sisa runtuhan rumah dan sampah-sarap di Fort Myers giat dilakukan pada akhir minggu lalu.

"Kita sudah dapat melihat skala luar biasa kemusnahan Ian. Ia berkemungkinan antara yang paling teruk pernah berlaku dalam sejarah negara ini," menurutnya.

Berdasarkan data dikeluarkan firma pengurusan risiko, Milliman, hanya 18.5 peratus kediaman di daerah yang tertakluk di bawah arahan pemindahan mempunyai polisi dengan Program Insurans Banjir Kebangsaan.

Difahamkan, program kerajaan persekutuan tersebut menawarkan perlindungan yang tidak disediakan syarikat insurans swasta.

Kebanyakan syarikat insurans dikatakan tidak memberikan perlindungan penuh hingga menyebabkan kebanyakan penduduk bergantung penuh kepada agensi negeri serta persekutuan bagi mendapatkan bantuan kecemasan seperti perumahan sementara untuk keluarga terjejas. - Agensi


INFO


Fitch Ratings and S&P Global Ratings menganggarkan kos kerugian boleh mencecah AS$40 bilion (RM185 bilion).

Anggaran purata kemusnahan yang diselaraskan untuk inflasi berjumlah AS$46 bilion (RM213 bilion), sekali gus menjadikan Ian sebagai Top 10 hurikan 'paling mahal' di AS.

Katrina (2005) berada di tangga teratas dengan AS$160 bilion (RM742 bilion), disusuli Harvey (2017) dengan AS$124 bilion (RM575 bilion) dan Maria (2017) dengan AS$111 bilion (RM515 bilion).

Florida berdepan risiko lebih tinggi terdedah bencana alam berbanding negeri lain di AS kerana kedudukan geografinya. Fenomena perubahan iklim telah meningkatkan lagi ancaman ribut taufan dan kenaikan paras laut.

Klik di sini untuk terus membaca