LIMA situasi mungkin boleh berlaku dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini. Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, situasi pertama ialah apabila kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

LIMA situasi mungkin boleh berlaku dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, situasi pertama ialah apabila kerajaan bercadang bubar Parlimen selepas Bajet 2023 dibentangkan dan diluluskan.

Muhammad Fathi menyifatkan perkara berkenaan sebagai bukan satu tindakan yang wajar kerana Bajet 2023 adalah komitmen kerajaan.

"Siapa yang tentukan bajet, dia bertanggungjawab untuk laksanakan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mengesahkan Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Situasi kedua, apabila Bajet 2023 dibentangkan dan Parlimen dibubarkan pada minggu berikutnya tanpa ia diluluskan.

"Saya rasa ia langkah yang tidak bertanggungjawab jika berlaku seperti itu kerana bajet adalah perkara yang penting.

"Proses pilihan raya itu satu proses yang panjang. Jika ditangguhkan bajet selepas pilihan raya, kita berdepan risiko mengejar masa.

"Dikhuatiri kalau pembentangan bajet gagal dilaksanakan sebelum masuk tahun baharu, mungkin sempat bentang tapi tak sempat nak lulus," ujarnya.

Situasi ketiga yang boleh berlaku ialah membentangkan bajet, kemudian dilewatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, kerajaan perlu melewatkan PRU15 sekurang-kurangnya empat atau lima bulan agar Bajet 2023 yang dibentangkan dilaksanakan.

"Dalam konteks tanggungjawab, bajet merupakan komitmen yang perlu ditunaikan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, situasi keempat ialah Bajet 2023 yang dibentangkan itu nanti sehingga ke peringkat pengundian.

Muhammad Fathi berkata, jika ia sampai ke peringkat pengundian, berkemungkinan kerajaan akan memperoleh majoriti tipis dalam meluluskan Bajet 2023.

Katanya, jika kerajaan ingin memastikan Bajet 2023 mendapat sokongan yang besar, satu rundingan perlu dibuat.

Situasi kelima katanya, bajet tidak perlu dibentangkan penuh, sebaliknya hanya bentang Rang Undang-Undang Perbelanjaan Keperluan di bawah Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk perbelanjaan suku pertama Januari sehingga April 2023.

"Bakinya pada Mei sehingga Disember 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu. Kelulusan perbelanjaan sementara ini disebut vote on account," jelasnya.

PH DIJANGKA SOKONG JIKA ADA PEMIMPIN BLOK KERAJAAN TOLAK

Dalam pada itu, biarpun Belanjawan 2023 belum dibentangkan, namun banyak spekulasi timbul termasuk kemungkinan bajet berkenaan akan ditolak oleh sebahagian wakil rakyat terutamanya daripada blok penyokong kerajaan sendiri sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, ramai penganalisis politik berpandangan sekiranya sebahagian ahli Parlimen blok kerajaan menolak Belanjawan 2023, namun ia tidak bermakna bajet berkenaan tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat dan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri akan terjejas sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatannya.

Ini kerana menurut saintis politik dari Sunway University, Profesor Wong Chin Huat, kedudukan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri tidak bergantung kepada sokongan sekumpulan penyokong kerajaan semata-mata, sebaliknya majoriti daripada 220 ahli parlimen yang sedia ada sekarang.

Malah, Chin Huat berkata, biarpun Ismail Sabri mungkin dipecat daripada UMNO kerana enggan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat, namun kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Bera masih kekal.

Sekalipun sebahagian Ahli Parlimen kerajaan mungkin menolak Belanjawan 2023, namun Chin Huat berkata, bajet berkenaan akan tetap diluluskan dengan sokongan wakil rakyat pembangkang.

Klik di sini untuk terus membaca