BAJET 2023 akan diumumkan pada penghujung minggu ini. Pelbagai sektor baik umum mahupun swasta melibatkan pelbagai aktiviti ekonomi, sara hidup, bantuan serta percukaian akan mengetahui impak daripada dasar yang akan dibentangkan.
Peruntukan untuk bajet pertahanan atau lebih khusus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjadi perhatian, terutama kepada rakyat yang prihatin terhadap kedaulatan negara serta pemerhati ketenteraan.
Tentunya isu kegagalan program mega Kementerian Pertahanan yang terbongkar beberapa bulan lalu turut menyumbang kepada kerisauan umum berkaitan aset pertahanan serta bagaimana kerajaan memperbaiki keadaan.
Isu pembentangan bajet lazimnya sesuatu yang subjektif dengan imbangan perlu dilaksana antara kehendak atau keperluan.
Faktor kehendak dan keperluan inilah sepatutnya memacu arah hala tuju bajet negara. Ini kerana bukan sedikit bajet negara pada masa lalu dibazirkan dengan pelbagai projek mega yang akhirnya menjadi ‘gajah putih’ akibat faktor kehendak.
Bagi ATM, dengan keadaan aset yang wujud hari ini, pilihan antara ‘kehendak atau keperluan’ tidak lagi wujud kerana kini boleh dianggap berada dalam keadaan ‘apa yang dikehendaki adalah keperluan’.
Selesai pembentangan Bajet 2022 pada Oktober 2021, Menteri Pertahanan menyatakan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM4.54 bilion khusus untuk perbelanjaan berkaitan aset iaitu peningkatan 87 peratus berbanding RM2.42 bilion pada Bajet 2021.
Beliau juga menyatakan, peruntukan sebanyak RM25 juta dikhususkan bagi program menangani keusangan sistem yang melibatkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sekilas pandang, ia memperlihatkan sejumlah dana yang tinggi diperuntukkan berkaitan aset serta sistem, namun jika diperhalusi, ia tidak pun dapat menampung kelompongan kritikal yang saban hari semakin besar pada kemampuan aset seperti yang wujud dalam TLDM.
Januari lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika menyampaikan amanat tahun baharu menyatakan, antara yang menjadi menjadi keutamaan pertama ATM ialah untuk memperkasakan kesiagaan aset.
Keutamaan kedua ialah memastikan pengurusan peruntukan kewangan yang diterima dibelanjakan dengan sebijak-bijaknya melalui perbelanjaan berhemah serta berdasarkan keperluan sebenar.
Pada pertengahan September lalu, Panglima ATM menyatakan, perbelanjaan pertahanan negara dalam Bajet 2023 perlu ditambah sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jumlah ini penting bagi memastikan segala aspek pertahanan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
ASET USANG
Kenyataan ini disokong Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Malah, dalam kalangan Panglima ketiga-tiga cabang ATM, Panglima TLDM boleh dikatakan antara paling lantang menyuarakan kebimbangan berkaitan keadaan dan kemampuan aset sedia ada.
Dengan keadaan status quo, jelas beliau, keusangan aset ATM sentiasa mendahului pembangunan atau perolehan aset baharu, di samping bajet untuk selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad.
Dalam keadaan ini amat sukar untuk ATM atau TLDM mempertahan kedaulatan negara.
Tambah beliau, tahap kesiagaan yang dimiliki khususnya TLDM kini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti, malah maruah ATM selaku benteng utama yang dipertanggungjawab menggalas peranan besar mempertahankan kedaulatan negara.
Mungkin cara terbaik mengatasi kemelut yang semakin bercelaru ini adalah kerajaan benar-benar memperkasakan kesiagaan aset dengan memastikan pengurusan peruntukan kewangan dibelanjakan sebijak-bijaknya melalui perbelanjaan berhemah berdasarkan keperluan sebenar diingini. Inilah yang ditekankan Panglima ATM pada awal tahun 2022 dan tentunya ATM paling mengetahui apa diperlukan agar keupayaan mereka mempertahankan negara kekal relevan.
Jika Menteri Pertahanan mengumumkan sebanyak RM25 juta dikhususkan untuk tahun 2022 bagi program menangani keusangan sistem aset-aset TLDM adalah jumlah yang besar, ia sebenarnya tidak membawa sebarang makna jika ketirisan terus berlaku berleluasa.
Laporan audit berkaitan program kapal tempur pesisir (LCS) sahaja umpamanya menyatakan bahawa sejumlah RM23.37 juta ‘digelapkan’ oleh tiga firma dalam program mega TLDM tersebut.
Analogi mudah, jika RM25 juta diberikan pada TLDM, namun RM23 juta masuk ke poket individu tertentu, mana mungkin kapal-kapal angkatan laut kita dapat belayar di samudera raya.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca