SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin panas apabila hampir semua gabungan parti politik tidak kira Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahupun Gerakan Tanah Air (GTA) kini sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan nama calon dan jumlah kerusi ditandingi mereka nanti.
Malah, difahamkan hampir semua pemimpin utama parti politik sudah mengesahkan sama ada mereka akan mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 lalu atau berpindah ke kawasan baharu pada PRU15.
Tidak ketinggalan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hampir pasti bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk, Perak yang dimenangi sejak tahun 1995 biarpun beliau sedang menghadapi perbicaraan bela diri di mahkamah atas 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Yayasan Akalbudi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah memberi bayangan beliau mungkin bertanding di Parlimen Rembau yang kini disandang Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Berikutan itu, Khairy kini dikatakan sedang mengintai kerusi lain termasuk Seremban dan Tampin di Negeri Sembilan, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Kemunculan semula
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dinamakan sebagai poster boy BN pula akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Pahang.
Naib Presiden UMNO, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan bertanding di Padang Terap manakala bekas Menteri Besar Johor, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bakal membuat kemunculan semula di Pasir Gudang.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula hampir pasti tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Pekan kerana sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kecuali beliau mendapat pengampunan diraja.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mungkin mempertahankan kerusi Parlimen Pontian, manakala Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kekal di Sembrong.
Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran pula mungkin bertanding sama ada di Sungai Siput atau Cameron Highlands manakala, Timbalannya, Datuk Seri M Saravanan mempertahankan kerusi Tapah, iaitu satu daripada dua kerusi dimenangi mereka pada PRU14.
Untuk rekod, MIC bercadang untuk bertanding di 14 kerusi tradisi mereka pada PRU15 nanti termasuklah Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Pemimpin utama PH
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak akan mempertahankan kerusi Port Dickson dan berkemungkinan besar bertanding di kerusi pengkhianat PH atau PKR.
Antara kerusi yang disebut-sebut termasuklah Ampang, Gombak, Bandar Tun Razak dan Tambun di Perak.
Anwar sendiri secara terbuka menegaskan beliau tidak menolak kemungkinan akan 'bertembung' dengan bekas anak muridnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Gombak jika keadaan mendesak.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula dijangka bertanding semula di Parlimen Pandan kerana difahamkan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lagi berminat mempertahankan kerusi berkenaan selepas kemunculan semula Anwar dalam arena politik tanah air.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dijangka mempertahankan kerusi Permatang Pauh dimenanginya pada PRU14 lalu.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng diramal terus bertanding di Parlimen Bagan, Pulau Pinang walaupun sedang menghadapi kes di mahkamah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula dijangka tidak menghadapi masalah untuk bertanding di Parlimen Seremban yang dimenanginya sejak 2013.
Kekal atau pindah Parlimen
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, sah akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh manakala Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal di Parlimen Larut, Perak.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka bertanding di Parlimen Tambun yang dimenangi beliau atas tiket PH pada PRU14 lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terus menjadi taruhan Pas mempertahankan kerusi Parlimen Marang yang dimenanginya sejak 1986.
Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula dijangka kekal di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, biarpun ada cakap-cakap beliau akan berpindah ke Temerloh.
Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pula bakal merebut salah satu kerusi Parlimen di Pulau Pinang.
Pengerusi Pejuang dan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad pula tetap bertanding di Langkawi biarpun ada khabar angin mengatakan beliau akan berpindah ke tempat lain.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula dikatakan akan berpindah dari Kota Raja, Selangor, manakala Timbalannya, Datuk Seri Salahudin Ayub akan bertanding di Pulai, Johor.
Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak merangkap Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing, tetap bertanding di Parlimen Bintulu yang disandangnya sejak 1999.
Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin pula dijangka mempertahankan Parlimen Ampang.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula bakal mempertahankan kerusi Muar biarpun beliau kini menghadapi perbicaraan kes pecah amanah dan penyelewengan dana bernilai RM1 juta di mahkamah.
Klik di sini untuk terus membaca