SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan ramai pemimpin heavyweight UMNO dijangka membuat come back dan menawarkan diri untuk menjadi calon BN di kerusi Parlimen yang pernah disandang mereka, sebelum PRU14 lalu.
Antara pemimpin berpengaruh dan 'orang lama' dalam UMNO yang bakal menebus kekecewaan PRU14 termasuklah bekas Menteri Besar Perak yang juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Difahamkan, Zambry bakal menjadi taruhan BN bagi merampas kembali kerusi Parlimen Lumut yang dimenangi Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Hatta Md Ramli pada PRU14 lalu.
Antara muka lama UMNO yang turut berminat bertanding pada PRU15 termasuk bekas Menteri Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rahman Dahlan (Kota Belud); Ahli MKT, Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai) serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Parlimen Jerai dan DUN Gua Chempedak) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Kota Belud).
Begitu juga bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang antara 14 nama menawarkan diri menjadi 'panglima perang' merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Besar dari tangan PH.
BN juga dijangka mengekalkan hampir kesemua nama menteri kabinet terutama 'orang kuat presiden' untuk menjadi calon pada PRU15 termasuk Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad mempertahankan kerusi Parlimen Parit Sulong.
Berikut antara pemimpin UMNO yang dikhabarkan bakal merebut atau mempertahankan kerusi pada PRU15 nanti:
- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar hampir pasti akan mempertahankan kerusi Tanjung Karang dan mungkin bertanding di satu DUN seandainya berminat menjadi calon menteri besar jika BN menang di negeri berkenaan pada PRU15.
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas dan Lenggong, dimenangi pada PRU14 lalu.
- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique masing-masing dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Tenggara dan Kota Tinggi pada PRU15.
- Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dilihat menjadi calon pilihan utama BN mempertahankan kerusi Kimanis, manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkemungkinan bertanding semula di Parlimen Kuala Krau, Pahang, yang dimenangi pada PRU14 lalu.
- Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai calon popular BN mempertahankan kerusi Paya Besar, Pahang, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid akan kekal tanding di Parlimen Kuala Kangsar, Perak.
- Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Jalaluddin Alias dijangka terus dipilih sebagai calon BN di Jelebu, Negeri Sembilan manakala Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar pada PRU15 nanti.
- Ahli MKT UMNO merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Lipis, Pahang pada PRU15 selepas dipilih menjadi wakil rakyat sejak tahun 2013.
- Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dijangka mempertahankan Tanjung Piai dimenangi dalam PRK pada 2019.
- Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkemungkinan terus diberikan kepercayaan oleh Presiden UMNO mempertahankan kerusi Parlimen Jasin, Melaka, manakala Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib kekal sebagai calon BN di Parlimen Maran, Pahang.
- BN juga dijangka mengetengahkan beberapa muka baharu untuk bertanding dalam PRU15 termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertanding sama ada di Parlimen Lembah Pantai, Kuala Pilah atau Kuala Selangor.
- Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mungkin mencuba nasib merampas kembali kerusi Kuala Langat yang dimenangi wakil PKR pada PRU14 lalu.
- Bekas Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Isham Jalil yang baru dilantik sebagai Ahli MKT UMNO dijangka bertanding di kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Selangor.
Mantan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka membuat come back merampas kembali kerusi Titiwangsa yang disandang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun atas tiket PH pada PRU14 lalu.
Mantan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman dijangka menjadi taruhan BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pengerang, manakala Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal tanding di Parlimen Kinabatangan.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Machang dan satu kerusi DUN serta menjadi calon favourite sebagai menteri besar jika BN berjaya menawan semula negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Biarpun pernah terpalit dengan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kekal sebagai calon boleh menang BN mempertahankan kerusi Parlimen Baling.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka bertanding kerusi DUN Jelai sekali gus memungkinkan kekal sebagai Menteri Besar jika BN berkuasa di Pahang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan dan mungkin kekal sebagai Menteri Besar Perak, jika BN menang.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dikatakan akan dinaikkan 'pangkat' bertanding di kerusi Pulai atau Pontian.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mungkin bertanding semula di Pasir Puteh atau kembali berentap di kampung halamannya di Tumpat, Kelantan atau berhijrah ke Parlimen Parit Buntar, Perak, manakala Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan besar kemungkinan tanding di Ampang atau Setiawangsa.
Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mungkin terpaksa bertanding atas tiket Bebas atau parti lain selepas menyerang Ahmad Zahid secara terbuka sebelum ini.
Selain dipecat ahli MKT, Tajuddin juga telah digantung keahlian selama enam tahun baru-baru ini.
Nasib berbeza mungkin menimpa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dijangka menjadi calon BN masing-masing di Parlimen Ketereh dan Arau, biarpun lantang mengkritik Presiden UMNO.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikatakan berminat mempertahankan kerusi Parlimen Padang Renggas, selepas beliau mungkin tidak jadi dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
Klik di sini untuk terus membaca