SHAH ALAM - Biarpun mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, namun hasrat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua mungkin tidak kesampaian seandainya Pas membuat keputusan 'rujuk' semula dengan UMNO.
Malah, parti pimpinan Muhyiddin iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka berdepan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika 'rumah tangga' Pas dan UMNO kembali terbina menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
Manakan tidak, selama ini baik sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mahu pun Johor, kita menyaksikan PN terutama Bersatu banyak bergantung kepada kekuatan jentera Pas untuk menang.
Ini kerana mereka tidak mempunyai penyokong akar umbi yang ramai dan kukuh, susulan kebanyakan pemimpin terdiri daripada mereka yang melompat parti sama ada daripada UMNO dan PKR.
Jelas sekali PRU15 menjadi kayu ukur buat pengundi untuk melihat kekuatan sebenar PN tanpa kehadiran Pas sekiranya pemimpin parti Islam itu mengikut syarat meminang 'Puteri Gunung Ledang' ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk 'rujuk' semula.
Ahmad Zahid berkata, UMNO menetapkan tiga syarat utama terhadap Pas, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU15.
Tiga syarat utama itu ialah keluar dari gabungan PN; memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mesti mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu mufaraqah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.
Tanding tiket berbeza
Selain itu, PRU15 dianggap ujian sebenar bagi Bersatu kerana kebanyakan pemimpin dan ahli Parlimennya akan bertanding atas tiket atau parti berbeza berbanding pada PRU lalu.
Ia termasuk Setiausaha Agung Bersatu yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, akan mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang dimenangi pada PRU14 atas tiket BN.
Begitu juga Ketua Penerangan merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang beliau menangi menggunakan tiket PH pada PRU14 lalu.
Naib Presiden Bersatu, merangkap Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pula mungkin berpindah dari Parlimen Ketereh ke Putrajaya dan bersaing dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk merebut kerusi terbabit.
Turut dijangka mencuri tumpuan ialah penampilan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan diramal bertanding sama ada di kerusi Jerlun atau Kubang Pasu atau Lembah Pantai, pada PRU15.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula dilihat tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada PRU15 terutama selepas menang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mulai Ogos tahun lalu.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pula dikatakan mengintai salah satu kerusi di Melaka termasuk Parlimen Alor Gajah yang disandang bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Bagaimanapun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, merangkap Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dijangka berpindah dari kerusi Parlimen Titiwangsa ke Sepang, pada PRU15.
Ahli MPT Bersatu, merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan mempertahankan kerusi DUN Air Lanas dan Parlimen Jeli yang dimenanginya menerusi tiket BN pada PRU14 lalu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota, Pahang yang dimenangi atas tiket PH pada PRU14 lalu.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bakal mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat, yang dimenangi atas tiket PH, pada PRU14 lalu.
Tidak ketinggalan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli MPT Bersatu, Datuk Rosol Wahid menyuarakan keyakinan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu, biarpun dijangka berhadapan 'kawan lamanya' dalam UMNO iaitu ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat yang akan bertanding atas tiket BN pada PRU15.
Beri laluan muka baharu
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahya dijangka tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar.
Difahamkan, Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya juga tidak mempertahankan kerusi Tasek Gelugor dimenangi atas tiket BN kerana faktor kesihatan.
Jika Shabudin membuat keputusan bertanding pada PRU15 berkemungkinan besar dicabar oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dikhabarkan menjadi calon BN di Parlimen Tasek Gelugor.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman juga tidak mempertahankan kerusi Parlimen Nibong Tebal yang dimenangi atas tiket PH kerana mahu memberi laluan kepada muka baharu.
Antara pemimpin Bersatu lain, yang mungkin tidak mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada PRU15 nanti termasuk Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Pengerusi PN Terengganu, Datuk Razali Idris mungkin bertanding di kerusi Parlimen Besut yang disandang mantan Menteri Besar merangkap Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh pada PRU15 nanti.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri dijangka tidak berhadapan masalah besar mempertahankan kerusi Kudat pada PRU15 nanti kerana beliau sentiasa menang sejak tahun 2004.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Razali pula dikhabarkan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Serai dan tempatnya bakal diisi Ketua Armada merangkap Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Abdul Fasal pula menegaskan dirinya akan mempertahankan kerusi disandang, biarpun timbul khabar angin bahawa kawasan itu bakal diserahkan kepada Pas.
Bersatu juga menamakan empat bekas pemimpin veteran UMNO termasuk dua bekas Menteri Dalam Negeri iaitu Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid; Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail (bekas Exco Perlis) dan Abdul Jamil Saad (bekas ADUN Sena) bertanding atas tiket PN pada PRU15 nanti.
Difahamkan Mohd Radzi dijangka bertanding di kerusi Parlimen Kangar, Azmi (Parlimen Padang Besar), Syed Razlan (Parlimen Arau), manakala Abdul Jamil di DUN Sena.
Untuk rekod ketika ini, kerusi Parlimen Padang Besar dikuasai oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM), Datuk Zahidi Zainol Abidin; kerusi Arau pula disandang oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dari BN, manakala kerusi Kangar disandang oleh Timbalan Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad.
Klik di sini untuk terus membaca