BANGKOK - Prayut Chan-o-cha kembali menjalankan tugas rasmi beliau sebagai Perdana Menteri Thailand pada Isnin selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan yang berpihak kepadanya pada minggu lalu. Panel terdiri daripada sembilan hakim mendapati... Klik di sini untuk terus membaca

BANGKOK - Prayut Chan-o-cha kembali menjalankan tugas rasmi beliau sebagai Perdana Menteri Thailand pada Isnin selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan yang berpihak kepadanya pada minggu lalu.

Panel terdiri daripada sembilan hakim mendapati tempoh perkhidmatan Prayut tidak melebihi had penggal lapan tahun selepas mereka mengesahkan kepimpinan beliau bermula pada April 2017 dan bukan ketika insiden rampasan kuasa yang diketuai olehnya pada 2014.

Keputusan itu sekali gus membuka jalan kepada beliau untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga 2025 jika beliau dipilih memimpin semula kerajaan gabungan dan kembali memegang kuasa selepas pilihan raya umum yang dijadualkan pada awal tahun depan.

Bekas ketua tentera berusia 68 tahun itu mula bekerja seperti biasa setelah penggantungan tugas selama lima minggu sejak 24 Ogos lalu dengan menghadiri mesyuarat untuk meninjau keadaan banjir yang melanda beberapa bahagian negara tersebut selain bertemu dengan wakil asing.

Ketika ini, beberapa penganalisis melihat ketidakupayaan beliau untuk berkhidmat hingga penggal penuh selama empat tahun kerana had yang ditetapkan Perlembagaan berkemungkinan menjadikannya calon yang kurang diutamakan.

Sebagai usaha meraih semula sokongan ramai, Prayut bertindak memuji kejayaan pasukan petugas Covid-19 yang dipengerusikan oleh beliau sebelum ia dibubarkan pada akhir bulan lalu.

"Kami tidak pernah mengambil mudah dan melakukan sehabis baik untuk ‘menjaga keluarga besar’ kami yang terdiri daripada 70 juta penduduk.

"Tidak kira betapa besar krisis itu, ia tidak akan dapat melawan kuasa perpaduan dan pengorbanan yang telah kita lakukan,” kata Prayut menerusi Facebook merujuk kepada trend penurunan kes baharu jangkitan dan kematian akibat Covid-19, sekali gus membolehkan pemerintah menarik balik kesemua sekatan era pandemik.

Keputusan mahkamah tersebut dikatakan telah menamatkan cabaran paling sukar dihadapi Prayut yang pernah terselamat undi tidak percaya sebanyak empat kali.

Waktu suram?

Sejurus menerima khabar gembira itu, Prayut memaklumkan akan menghabiskan ‘masa berharga’ yang masih tinggal untuk menyelesaikan projek yang telah beliau mulakan.

Sebelum ini, keputusan penggantungan tugas tersebut telah mencetuskan spekulasi bahawa mungkin ada pelantikan pengganti Prayut menjelang Pilihan Raya Umum 2023, namun tuah masih menyebelahinya.

Peserta protes di Bangkok menunjukkan simbol tiga jari yang menjadi isyarat popular gerakan prodemokrasi selepas keputusan diumumkan Mahkamah Perlembagaan yang berpihak kepada Prayut pada Jumaat lalu.

Ketika ini, populariti Prayut yang turut memegang jawatan Menteri Pertahanan terus merosot ketika kerajaan pimpinannya bergelut untuk memulihkan ekonomi akibat pandemik.

Selain itu, parti pimpinan beliau Parti Palang Pracharath juga dijangka berdepan saingan sengit daripada parti pembangkang, Parti Pheu Thai yang disokong bekas Perdana Menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra selepas pemimpin yang hidup dalam buangan itu membuat kemunculan semula baru-baru ini, seolah-olah memberi bayangan akan kembali semula ke Thailand.

Difahamkan, ia bukanlah kali pertama Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan yang memihak kepadanya.

Pada akhir 2020, hakim membenarkan beliau terus menetap di kediaman tentera walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi dalam militer.

Kira-kira setahun sebelum itu, mahkamah sama enggan membuat sebarang keputusan tentang dakwaan Prayut terlepas sebahagian daripada teks penuh sumpah jawatannya sebagai Perdana Menteri yang didakwa pembangkang sebagai ‘upacara yang tidak lengkap’, sekali gus menyebabkan barisan kabinetnya dianggap tidak sah.

Prayut juga dilihat terus ‘kebal’ walaupun berdepan desakan protes prodemokrasi terbesar sejak kudeta 2014 yang menuntut pengundurannya kira-kira dua tahun lalu.

Tetapi, keputusan tinjauan terbaharu menunjukkan Prayut kini berdepan ‘waktu suram’.

Kaji selidik ke atas 2,500 responden yang dilakukan Institut Pentadbiran Pembangunan Negara mendapati beliau hanya menduduk tangga keempat dalam senarai calon Perdana Menteri dengan 10.5 peratus undi manakala Parti Palang Pracharath juga bergelut dengan hanya meraih 5.5 peratus sokongan.

Hakim Mahkamah Perlembagaan mendapati tempoh perkhidmatan Prayut tidak melebihi had penggal lapan tahun.

Bukan hanya berdepan bantahan rakyat, kerajaan gabungan pimpinan Prayut juga menghadapi perpecahan dan pembelotan yang semakin meningkat selain ‘terselamat’ daripada komplot yang berniat untuk menggulingkan beliau pada tahun lalu.

Persoalannya, sampai bila Prayut mampu bertahan untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri di tengah-tengah kekacauan politik yang semakin meningkat. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca