SEKURANG-kurangnya 92 orang maut dalam satu demonstrasi yang melarat di Iran berikutan kematian Mahsa Amini.
Kematian yang didakwa berikutan tindakan kasar pihak keselamatan telah melebihi dua minggu tanpa tanda-tanda ia mula reda.
Wanita itu yang ditahan pihak keselamatan pada 16 September kerana tidak memakai hijab menurut standard yang ditetapkan, telah maut dalam tahanan polis.
Maklumat mengatakan, Mahsa Amini telah dipukul hingga maut yang menyebabkan kemarahan orang ramai.
Di Indonesia pula, lebih 174 maut berikutan rusuhan pada perlawanan bola sepak di Jawa Timur, Indonesia.
Ramai yang maut adalah daripada kalangan para penonton yang panik dalam rempuhan.
Saya melihat tragedi-tragedi ini adalah disebabkan bertindak di luar batasan atau overreacting oleh pihak yang menjalankan tugas.
Mahsa Amini bukan melakukan jenayah seperti mencuri atau mencederakan orang lain.
Sebaliknya ia hanyalah kesalahan sivil mengikut undang-undang di Iran. Mereka yang bertindak kasar kepadanya telah overreact.
Kematian ramai yang terjadi di Stadium Kanjuruhan itu berlaku kerana overreact orang ramai.
Dalam suasana hiruk-pikuk, gas pemedih mata dilepaskan dan ramai para penonton yang terkena gas cuba lari hingga terjadinya rempuhan.
Tidak sekali-kali untuk menyalahkan, tetapi itulah reaksi kepada situasi hingga mengakibatkan tragedi.
Tindakan di luar batasan adalah reaksi mempertahankan diri yang dilakukan oleh manusia untuk membanteras apa jua ancaman yang lebih besar.
Namun overreact ini kerap kali mengakibatkan kesan yang lebih besar daripada potensi ancaman itu sendiri.
Apabila seseorang pemandu memberikan hon untuk meminta kereta di hadapan beralih ke lorong di sebelah kiri, pemandu di hadapan, yang beranggapan pemandu di belakang mahu tunjuk aksi akan berdegil tidak mahu beralah.
Apabila pemandu di belakang memotong, si pemandu di hadapan berasa terancam.
Maka terjadilah kejar-mengejar yang mungkin berakhir dengan pelanggaran atau kemalangan.
Saya juga biasa berdepan dengan keadaan anggota kumpulan WhatsApp meninggalkan grup apabila komen atau pandangannya disanggah oleh orang lain.
Situasinya boleh dianggap lucu kerana hujah pro dan kontra itu saling bertukar dalam bentuk tulisan sahaja.
Kerap kali, puncanya hanya berpolemik mengenai isu-isu umum yang tiada kena mengena dengan hal peribadi masing-masing.
Tidak ada intonasi suara dalam tulisan melainkan pandangan yang berbeza.
Apabila perselisihan pendapat itu boleh menjadikan salah seorang daripada mereka meninggalkan kumpulan, ia boleh dianggap overreact.
Saya tahu ada sepasang kekasih yang tidak bertegur sapa hingga berminggu-minggu hanya kerana talian telefon tidak baik.
Apabila perbualan masing-masing terganggu kerana suara mereka tidak kedengaran, masing-masing ambil keputusan untuk tidak berhubung. Inilah overreact. Seharusnya mereka menukar telco, habis cerita!
Tapi, apakah yang menyebabkan kita bertindak di luar jangka hingga boleh menimbulkan kekesalan kemudiannya?
Tidakkah boleh kita cool atau chill seperti kata orang sekarang? Banyak panduan yang menyarankan kita menghitung satu hingga 10 untuk meredakan situasi naik angin.
Tetapi, apa kata jika kecoh juga terjadi selepas angka ke-10? Jika begitu, kita tidak boleh menanti hingga ke angka 10 untuk menahan diri daripada bertindak.
Sebaliknya fikiran untuk bersabar itu harus bermula daripada angka satu lagi.
Kita perlu mendiamkan diri daripada memberi apa jua reaksi. Walaupun ia kelihatan seperti memperbodohkan diri, sebenarnya ia memperbodohkan syaitan yang sentiasa hampir untuk menghembus angin kemarahan.
Ramai di antara kita yang terlupa akan hakikat kehadiran makhluk ini. Barangkali, kita bertindak di luar batas bukan kerana apa yang sedang berlaku.
Tetapi kita melampiaskan kemarahan hingga bertindak di luar batas kerana masalah lain yang tidak ada kena mengena dengan apa yang kita sedang hadapi.
Tindakan berdiam diri buat sementara itu sebenarnya bertujuan untuk mencari sebab lain yang membuatkan kita naik darah.
Bukan sebab yang sedang kita alami sekarang.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca