BARU-baru ini, empat kebocoran dikenal pasti berlaku pada saluran paip gas Nord Stream yang menghubungkan bahan api itu dari Rusia ke Baltik di Laut Baltik. Ia dipercayai berpunca daripada letupan dalam air dengan kekuatannya bersamaan... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini, empat kebocoran dikenal pasti berlaku pada saluran paip gas Nord Stream yang menghubungkan bahan api itu dari Rusia ke Baltik di Laut Baltik.

Ia dipercayai berpunca daripada letupan dalam air dengan kekuatannya bersamaan dengan ratusan kilogram (kg) bahan letupan.

Menurut laporan Sweden dan Denmark kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kekuatan magnitud letupan masing-masing diukur ialah 2.3 dan 2.1 pada Skala Richter dan ia mungkin sepadan dengan muatan letupan melibatkan beberapa ratus kg.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, letupan pada paip gas itu adalah hasil daripada tindakan yang disengajakan, namun punca kejadian berkenaan masih menjadi misteri tetapi Amerika Syarikat (AS) dan Rusia menafikan bertanggungjawab dalam insiden tersebut.

Saluran paip Nord Stream 1 dan 2 itu telah menjadi punca ketegangan geopolitik apabila Rusia memotong bekalan gas ke Eropah sebagai tindakan balas terhadap apa yang disyaki sebagai sekatan Barat berikutan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Walaupun saluran paip masih tidak beroperasi pada masa ini, namun kedua-duanya masih mengandungi gas dan ketika dua daripada kebocoran itu terletak di zon ekonomi eksklusif Sweden manakala dua lagi di zon ekonomi Denmark.

Kebocoran itu dikesan berlaku pada hujung bulan lalu dengan buih-buih putih dapat dilihat di permukaan laut.

Menteri-Menteri Pertahanan negara-negara Nordic seperti Sweden, Denmark, Norway, Finland dan Iceland menyatakan letupan tersebut merupakan serangan melulu ke atas infrastruktur tenaga Eropah dan percubaan untuk menjejaskan kestabilan yang sudah pun tegang berikutan perang di Ukraine.

Beberapa hari selepas berita letupan tersebar, media Barat memperbesar-besarkan kejadian itu dengan mendakwa bahawa Rusia perlu dipersalahkan sehingga sumber pertahanan United Kingdom (UK) menyatakan bahawa Rusia berkemungkinan memasang bahan letupan pada saluran paip gas beberapa minggu sebelum ia diletupkan.

Sumber itu menyatakan bahawa mana-mana periuk api boleh diturunkan ke dasar laut di sepanjang saluran paip gas, dijatuhkan dari tepi kapal atau diletakkan pada sebelah saluran paip Nord Stream melalui dron bawah air selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun yang lalu.

Bagaimanapun, Kesatuan Eropah (EU) mendakwa kejadian itu kemungkinan dilakukan oleh sesebuah negara tetapi tidak menyatakan puncanya.

Poland dan Ukraine secara terang-terangan menuduh Rusia menyebabkan keretakan pada saluran paip yang membocorkan gas ke laut.

Hanya beberapa hari sebelum saluran paip Nord Stream diletupkan, dron yang tidak dikenali telah dikesan terbang berhampiran kawasan di luar pesisir pantai Norway, kata sebuah agensi keselamatan tenaga negara berkenaan.

SABOTAJ

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengisytiharkan bahawa kebocoran itu adalah akibat tindakan sabotaj yang disengajakan, melulu dan tidak bertanggungjawab dan berkata ia menyokong siasatan dilakukan untuk menentukan punca kejadian tersebut boleh berlaku.

Persoalannnya ialah adakah Rusia sendiri sanggup meletupkan paip gas tersebut yang dibina dengan kos lebih 23 bilion euro (RM106 bilion) selama berberapa tahun dan ia juga merupakan satu bentuk pendapatan lumayan yang diperoleh oleh Moscow.

Pertanyaan itu dibangkitkan oleh syarikat gas dan minyak utama Rusia iaitu Gazprom yang mengulas tentang letupan pada saluran paip dari Rusia ke Eropah itu baru-baru ini.

Syarikat Gazprom bertanggungjawab memperbaiki paip gas bocor di Laut Baltik. - Foto AFP

Wakil Tetap Moscow ke PBB, Vassily Nebenzia mendakwa pada mesyuarat Majlis Keselamatan badan dunia itu baru-baru ini bahawa kebocoran saluran paip Nord Stream itu sebenarnya memberi manfaat kepada AS kerana pembekal gas asli cecair (LNG) dari negara 'Uncle Sam' itu perlu bergembira disebabkan oleh EU tidak lagi memperoleh bekalan gas dari Rusia.

Nebenzia juga menambah bahawa tidak masuk akal untuk Rusia memusnahkan projek itu dan menegaskan Moscow perlu menjadi sebahagian daripada mana-mana kumpulan yang menyiasat tentang letupan pada saluran paip tersebut bersama-sama Jerman, Denmark dan Sweden.

"Jika seseorang berpendapat bahawa adalah mungkin untuk menjalankan siasatan tanpa penyertaan Rusia, kami mempunyai sebab untuk meragui objektiviti siasatan ini,” katanya di Majlis Keselamatan PBB.

Justeru Presiden Rusia, Vladmir Putin turut menuduh bahawa pihak Barat yang bertanggungjawab kerana menyebabkan berlakunya letupan sehingga mengakibatkan banyak kebocoran pada saluran paip gas Nord Stream itu.

Beliau juga menyatakan bahawa mengadakan sekatan ke atas Rusia kerana perang di Ukraine tidak mencukupi untuk Barat menyebabkan sabotaj dilakukan dan ia adalah sukar untuk dipercayai, tetapi ia adalah fakta, katanya pada minggu lalu.

Pihak yang melakukan letupan itu sehingga kini masih tidak diketahui tetapi Syarikat Gazprom menyatakan bahawa tekanan dalam rangkaian paip gas Nord Stream yang rosak telah stabil dan tiada lagi kebocoran gas.

Bagaimanapun, siasatan di sebelah Rusia juga dilakukan apabila Pejabat Ketua Pendakwa negara itu sedang menyiasat insiden saluran paip berkenaan sebagai satu tindakan keganasan antarabangsa. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca