PADA abad ke-18, Thomas Robert Malthus (1766-1834) tampil dengan teorinya yang menjelaskan bahawa populasi manusia berkembang lebih pesat daripada bekalan makanan dan ini akan menyebabkan terjadinya kebuluran, peperangan atau penyakit yang... Klik di sini untuk terus membaca

PADA abad ke-18, Thomas Robert Malthus (1766-1834) tampil dengan teorinya yang menjelaskan bahawa populasi manusia berkembang lebih pesat daripada bekalan makanan dan ini akan menyebabkan terjadinya kebuluran, peperangan atau penyakit yang akan berfungsi mengurangkan kembali jumlah populasi.

Ia bolehlah dianggap sebagai isyarat awal tentang kaitan populasi dengan musibah dan malapetaka.

Pada tahun 1968 muncul pula sebuah buku bertajuk The Population Bomb yang ditulis oleh profesor biologi dari Universiti Stanford, Paul R Ehrlich dan isterinya, Anne.

Buku itu memperkatakan tentang bahaya yang akan dunia hadapi jika langkah mengawal penduduk tidak dilakukan segera. Itu pula tanda amaran.

Walaupun isyarat dan amaran itu mendapat perhatian umum, namun ia tidak banyak mengubah keadaan.

Manusia terus lahir dan melahirkan, menambahkan jumlah populasi dunia dari semasa ke semasa.

Itu pun mujur di sesetengah negara pemerintah menggalakkan usaha mengawal kelahiran, jika tidak jumlah populasi dunia mungkin lebih ramai dari sekarang.

Ketika Malthus menghujahkan teorinya, penduduk dunia dianggarkan berjumlah satu bilion.

Pada tahun The Population Bomb diterbitkan, jumlahnya 3.54 bilion.

Pada 15 November akan datang, jumlah itu akan melepasi angka lapan bilion.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menjangkakan populasi dunia akan mencecah 11.2 bilion pada tahun 2100 – ketika saya berusia 128, jika dipanjangkan umur.

Mampukah dunia menampung penduduk yang sedemikian ramai?

Para pakar berselisih pendapat tentang jumlah populasi yang sesuai untuk bumi.

Ada yang berkata untuk kemakmuran sebenar, akses yang mencukupi kepada sumber, biodiversiti yang terjaga, hak-hak asasi yang terpelihara sambil mengekalkan sumber yang utuh, maka populasi dunia seharusnya sekitar 1.5 hingga 2 bilion orang sahaja.

Tetapi ada juga kajian menganggarkan saiz populasi optimum berdasarkan keperluan tanah minimum yang diperlukan untuk pengeluaran makanan (0.5 hektar setiap orang) adalah sekitar 3 bilion orang.

Namun bagi mereka yang lebih rasional angka yang diunjurkan adalah di tengah-tengah antara 4 bilion hingga 16 bilion.

Berdasarkan angka-angka itu jelaslah bahawa populasi dunia sekarang ini sama ada telah melebihi hadnya, atau sedang menghampiri hadnya.

Jumlah itulah dikatakan menjadi punca kepada pelbagai masalah yang kita hadapi sekarang; perubahan iklim, pencemaran alam, kekurangan sumber, kerosakan ekosistem, kemiskinan, pengangguran, kesihatan dan sebagainya.

Kata mereka yang pakar, jika keadaan ini dibiar berterusan tanpa langkah-langkah drastik untuk mengawalnya dunia pasti akan terus sengsara: ada pulau akan tenggelam, ada lembah akan gersang; ada tanah tidak lagi subur, ada sungai busuk dan kotor; ada udara tetapi bergas, ada angin tetapi panas.

Kita berhak bimbang, tetapi jangan berlebihan. Ingatlah sesungguhnya ALLAH Maha Kaya. Dunia ini sentiasa mempunyai cara untuk merawat masalahnya sendiri. Perang, bencana alam, wabak penyakit adalah antara cara dunia mengawal jumlah penduduk.

Selain itu, di sebalik pesatnya pertambahan populasi dunia, kadar kesuburan manusia pula secara relatifnya sedang menurun.

Di negara-negara maju penurunan itu sangat ketara. Ini didorong oleh pemakanan dan perubahan gaya hidup.

Wanita-wanita berkerjaya misalnya tidak berminat untuk mempunyai ramai anak.

Bukan kerana tidak subur tetapi sebab kekurangan masa - dengan izin – untuk disuburkan.

Keadaan sebaliknya berlaku di kebanyakan negara dunia ketiga, terutama di benua Afrika di mana tahap kesuburannya kekal tinggi.

Sebagai contoh kadar kesuburan di Nigeria adalah 6.6, Somalia 5.7 dan Republik Demokratik Congo 5.5 sedangkan di Jepun 1.4, Singapura 1.2 dan Korea 1.1.

Mulai tahun depan, China akan kehilangan status sebagai negara paling ramai penduduk di dunia.

Tempatnya akan diambil alih oleh India. Dijangka pada tahun 2100, Nigeria pula akan naik ke tangga kedua, menolak China ke tangga ketiga.

Pada masa itu aktiviti ekonomi dunia diramalkan banyak berpusat di benua Afrika.

Adillah untuk mereka yang sejak sekian lama menjadi pemerhati kemakmuran negara-negara di rantau lain.

Begitulah indahnya aturan alam. Masalah bagi satu pihak akan menjadi peluang bagi pihak yang lain.

Jadi kalau risau pun berpada-padalah. Jangan kerana hendak mengurangkan jumlah penduduk dunia, kita takut hendak beranak-pinak. Ingatlah setiap anak ada rezekinya. Cuma didiklah dengan betul, jangan sampai anak kita pula menjadi rezeki orang!#dush!!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca