SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyarankan kepada agensi berkaitan untuk memasukkan keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai syarat utama bagi setiap aktiviti di laut.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata, ini kerana melalui isyarat PLB, ia akan memudahkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dijalankan serta dapat menjimatkan kos operasi agensi yang terlibat.
Menurutnya, Malaysia sedang dalam fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 3 Oktober hingga November yang akan menyebabkan perubahan cuaca.
"Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyarankan agar komuniti maritim berwaspada dengan sebarang perubahan cuaca serta mengamalkan pematuhan terhadap aspek keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, memaklumkan destinasi yang dituju kepada ahli keluarga serta memiliki PLB.
"PLB merupakan peralatan kecemasan berasaskan satelit yang mampu menentukan lokasi dan waktu kecemasan dengan tepat.
"Harga bagi satu unit PLB yang berada di pasaran dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,500 dan boleh dikatakan tidak terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan nyawa yang hilang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Aminuddin memberitahu, insiden empat orang penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada April lalu menyebabkan seorang mangsa masih hilang hingga kini.
Katanya, jika penyelam tersebut membawa PLB dan mengaktifkan PLB berkemungkinan besar kesemua mangsa dapat dijumpai.
"Maritim menyarankan kepada semua komuniti maritim seperti nelayan, penggemar sukan dan rekreasi di laut seperti penyelam, jet ski, pemancing dan sebagainya memiliki peralatan PLB.
"PLB ini perlu didaftarkan di laman sesawang bim.mmea.gov.my bagi tujuan verifikasi setiap isyarat kecemasan yang diaktifkan oleh PLB tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, pendaftaran ini adalah percuma dan butiran pendaftaran terjamin selamat.
Aminuddin turut menyarankan kepada agensi terlibat untuk meneliti semula peraturan-peraturan sedia ada mengenai aktiviti dijalankan sama ada di laut atau darat supaya memasukkan keperluan membawa PLB sebagai salah satu syarat utama kebenaran aktiviti tersebut dijalankan.
"Pihak Maritim Malaysia kini sedang giat melaksanakan Program Pencegahan Carilamat dalam memperkenalkan peralatan ini kepada umum,” ujarnya.
Menurutnya, insiden lapan penyelam yang dapat diselamatkan di perairan Miri, Sarawak, Jumaat lalu adalah satu titik permulaan kepada usaha memperkasakan lagi kempen kesedaran dalam memastikan setiap insiden kecemasan dapat dikendalikan dengan jayanya.
"Isyarat PLB yang diaktifkan oleh mangsa ketika itu telah memberi lokasi yang tepat dan tindakan pantas telah diambil walaupun di tengah laut yang tidak mempunyai talian komunikasi.
"Melalui lokasi yang tepat ini akan membolehkan aset penyelamat tiba di lokasi kecemasan dalam tempoh yang singkat serta kebarangkalian untuk menyelamatkan nyawa mangsa adalah tinggi,” jelasnya.
Dalam kejadian itu, Aminuddin berkata, Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) telah mengesan isyarat kecemasan yang diaktifkan oleh salah seorang penyelam (mangsa) yang berada dalam situasi kecemasan.
Ujarnya, PLB tersebut diaktifkan oleh mangsa setelah mangsa timbul di permukaan dan mendapati bot yang mereka naiki telah hanyut ke lokasi lain.
"Menerusi penerimaan isyarat kecemasan tersebut, MYMCC telah melaporkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching yang kemudiannya telah mengatur gerak bot Kilat 41 dan bot Kilat 42 ke lokasi,” katanya.
Tambahnya, sebaik tiba di lokasi, anggota bot Kilat 41 telah menjumpai enam mangsa sedang terapung dan dua lagi mangsa dijumpai oleh bot Kilat 42 berhampiran dengan lokasi pertama.
Sebagai makluman, Maritim Malaysia telah mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 dan diletakkan di bawah kendalian Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana melalui MYMCC.
Sistem Cospas Sarsat ini berkemampuan menerima isyarat kecemasan dari beacon berfrekuensi 406 Mhz seperti PLB, Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB), Emergency Locator Transmitter (ELT).
Pada 2 Julai lalu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som mendedahkan, hanya sekitar lima peratus pemilik dan pengusaha bot memiliki PLB.
Penggunaan PLB ini juga bukan terhad di laut, tapi di darat seperti kecemasan sekiranya sesat di dalam hutan.
Dalam kecemasan, hanya tekan butang merah pada PLB itu dan dalam dua saat sistem dipancarkan ke satelit dan ke stesen maritim untuk pengesanan lokasi mangsa.
PERSONAL LOCATOR BEACON (PLB)
- Merupakan peralatan kecemasan berasaskan satelit yang mampu menentukan lokasi dan waktu kecemasan dengan tepat.
- Harga lingkungan RM1,000 hingga RM2,500.
- Amat penting bagi semua komuniti maritim.
Klik di sini untuk terus membaca