SHAH ALAM - Parti-parti politik di negara ini perlu berada dalam ‘zon bebas ego’ dan berunding bagi membuat yang terbaik untuk negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Malaysia memerlukan satu perubahan politik yang besar, yang mana masih belum terlaksana sehingga kini.
Menurutnya, bagi sesebuah negara, kestabilan politik amat penting.
"Saya rasa, Malaysia sukar berada pada landasan ini, jadi kita perlukan satu perubahan politik yang besar.
"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang tak lama lagi. Kalau tak dalam monsun, mungkin diadakan selepas Mac. Kita perlu pilih kerajaan yang betul-betul dapat membimbing dan fokus kepada rakyat untuk rakyat.
"Kadang-kadang orang ceramah kata untuk agama, bangsa dan negara tetapi ia sebenarnya untuk aku, keluarga aku dan kroni aku. Itulah fahamannya. Saya sangat berharap semua parti berada dalam ‘zon bebas ego’ dan berunding buat yang terbaik untuk negara.
"Keduanya, rakyat perlu mengambil satu pendekatan memilih yang boleh betul-betul membina semula negara Malaysia. Kalau tidak, kita akan menghadapi masalah yang begitu besar. Kita sudah nampak bibit-bibit itu sekarang,” katanya ketika menjadi tetamu program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Sementara itu, Rais menyifatkan Malaysia kini berdepan dengan saat-saat getir, baik daripada segi ekonomi, korupsi serta kehilangan ramai rakyat yang berkemahiran tinggi akibat berhijrah ke luar negara.
Jelasnya, indeks korupsi negara semakin jatuh manakala bagi sekuriti makanan, Malaysia tidak tergolong dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI).
"Jika kita lihat kepada isu ‘brain drain’ atau cendekiawan dan golongan berkemahiran pula, ramai yang tinggalkan Malaysia dan berhijrah ke luar negara.
"Dalam angka konservatif, seramai 500,000 orang yang berhijrah tetapi angka yang Bank Dunia bagi adalah 1.27 juta orang. Kalau dilihat kepada nombor-nombor ini, kita kehilangan modal insan yang cukup besar dalam membangunkan negara.
"Apatah lagi dengan suasana politik yang cukup tak stabil, setiap hari kita dengar akan adakan pilihan raya. Padahal, fokus utama hari ini adalah mengembalikan ekonomi negara yang kian meruncing,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca