SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya Pas akan menjadikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bakal diadakan pada Sabtu, sebagai platform menentukan pendirian sebenar mereka terhadap kerjasama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya Pas akan menjadikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bakal diadakan pada Sabtu, sebagai platform menentukan pendirian sebenar mereka terhadap kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan PN.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, mesyuarat itu pastinya menjadi tumpuan susulan UMNO telah memberi kata dua kepada Pas untuk memutuskan hubungan dengan koalisi itu dan PN sekiranya mereka mahu bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Di sebalik dilema besar dihadapi Pas, Razali yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Terengganu percaya Pas sebuah parti berprinsip, tidak bermuka-muka dan bersungguh-sungguh mahu menjayakan agenda perpaduan ummah antara parti-parti Melayu.

"Saya melihat sebagai pengasas bersama dalam PN tidak akan mengambil keputusan keluar PN, walaupun didesak oleh UMNO melalui tiga syarat ketat sekiranya parti itu mahu menjalin kerjasama pada PRU15.

"Di sebalik dilema Pas, saya rasa Pas memang berpegang kepada prinsip perpaduan ummah dan bersungguh-sungguh mahu menyatukan parti-parti politik Melayu Islam melalui kaedah rundingan.

"Saya jangka akan ada satu mesyuarat tertinggi PN yang akan diadakan pada Sabtu untuk Pas nyatakan pendirian muktamad mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa yang memberi bayangan Pas seolah-olah akan membuat pusingan U dan kembali mengukuhkan MN tidak lama lagi.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mendedahkan UMNO meletakkan tiga syarat utama kepada Pas sekiranya parti itu mahu menjalinkan kerjasama PRU15 iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu, keluar daripada PN serta membuat pengumuman rasmi mereka sepenuhnya mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tiga syarat dikemukakan UMNO seumpama syarat 'meminang Puteri Gunung Ledang' dan menggesa parti terbesar Melayu itu untuk mempertimbangkan agenda perpaduan ummah demi kepentingan lebih besar.

HISOMMUDIN

Justeru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama mereka dengan UMNO pada hujung minggu ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan pertembungan dua kelompok berbeza dalam Pas pastinya menjadikan sebarang keputusan muktamad untuk merealisasikan kerjasama parti itu dengan UMNO, semakin sukar.

Hal ini kerana beliau percaya Pas kini terbahagi kepada kelompok pro MN yang melihat pertimbangan hujah parti itu mesti berada dalam kerajaan selepas PRU15 atau kelompok ingin mengekalkan posisi Pas sebagai pengantara UMNO dan Bersatu diketuai Presidennya sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Untuk kelompok pro MN, mereka percaya jika Pas kekal bersama PN, beban kini tertanggung di atas bahu parti itu untuk 'memikul' Bersatu dan PN bagi mendepani PRU15, lebih-lebih lagi kekuatan PN sahaja tidak cukup untuk tubuhkan kerajaan secara persendirian.

"Bagi kelompok pro penyatuan ummah, mereka mahu terus bertanding di bawah kekuatan PN, tetapi ingin meminta sedikit ruang daripada UMNO untuk menyetujui rundingan tidak rasmi dalam pengagihan 27 kerusi mampu menang milik PH.

"Itu keputusan berat yang perlu dilakukan oleh Pas. Kalau mereka mengekalkan pendirian penyatuan PN dan MN, sebarang rundingan kerjasama dengan UMNO akan terbatal.

"Namun jika keputusan sebaliknya berlaku, PN dan Bersatu akan hadapi masalah besar mendepani PRU15 kerana tanpa Pas, PN pastinya akan runtuh," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca