SHAH ALAM - Bajet 2023 perlu mengutamakan aspek sekuriti makanan supaya negara dapat mengeluarkan produk makanan sendiri menggunakan teknologi tinggi.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr Madeline Berma berkata, oleh itu kerajaan juga perlu memberi insentif seperti dalam bentuk geran dan pengecualian cukai agar negara tidak lagi bergantung import makanan dari negara luar.
"Yang kita nak sekarang yang berteknologi tinggi. Misalnya saya pergi ke Jepun sebelum ini dan mereka bercakap tentang tanam padi dalam kilang," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Edisi 367 bertajuk 'Bajet 2023: Pecutan Terakhir Buat Rakyat' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.
Dua lagi panelis yang bergandingan bersama beliau adalah Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen manakala Dinnie Asyraf Salim bertindak selaku moderator.
Madeline memberitahu, keadaan ekonomi dunia semasa dan krisis sekuriti makanan global menuntut negara untuk mengeluarkan bekalan makanan sendiri.
"Negara jiran kita, Singapura sendiri dah mengeluarkan sebahagian bekalan makanan sendiri yang sudah tentu menggunakan teknologi tinggi.
"Jadi kita pun mesti pergi lebih tinggi dalam sekuriti makanan kerana pada masa sama barulah saintis kita dapat mainkan peranan mereka," cadangnya.
Kata Madeline, dasar untuk memajukan semula pertanian itu juga perlu diperkasakan semula agar ia seiring dengan matlamat negara untuk mengeluarkan makanan sendiri.
"Dahulu negara mempunyai Universiti Pertanian Malaysia tetapi kemudian di tukar kepada Universiti Putra Malaysia dan mereka perlu mengeluarkan graduan sama seperti universiti lain.
"Jadi mana jurutera pertanian, pakar veterinar kita? Kita dah tak ada ramai tenaga pakar sebegini," ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca