SHAH ALAM - Bajet 2023 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu mengetepikan agenda politik untuk kembali memulihkan ekonomi negara.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menegaskan, oleh itu Bajet 2023 perlu bersifat menyatukan semua parti politik demi agenda pemulihan Malaysia.
"Tetapi bajet itu perlu jadi platform untuk (kita) semua parti politik bersatu untuk melakarkan masa depan yang lebih baik untuk negara," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi 367 bertajuk 'Bajet 2023: Pecutan Terakhir Buat Rakyat' di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada malam Selasa.
Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid dan Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr Madeline Berma manakala Dinnie Asyraf Salim selaku moderator.
Wong Chen berkata, penyatuan itu perlu bagi menyelesaikan isu fiskal negara memandangkan tahap hutang negara ketika ini terlalu tinggi mencecah 72 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Kalau setiap tahun terus meningkat 60 hingga 70 bilion ringgit defisit, dalam tempoh antara 10 atau 15 tahun akan datang kita akan capai status macam Sri Lanka iaitu KDNK sama dengan kadar hutang negara," ujarnya.
Wong Chen menambah, kestabilan politik di negara ini susah dicapai kerana perkembangan semasa menyaksikan pelbagai gabungan parti diwujudkan.
"Saya tak lihat akan ada satu gabungan parti boleh menang dengan mudah. Kemungkinan besar siapa yang menang hanya dapat 55 peratus kerusi di Parlimen.
"Jadi ada keperluan untuk kita letak tepi agenda politik dan bersatu dalam agenda ekonomi yang turut bertanggungjawab dari segi fiskal (kewangan dan hasil pendapatan) negara.
Klik di sini untuk terus membaca