SHAH ALAM - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin masih belum dikembalikan dalam Bajet 2023 mengambil kira situasi ekonomi negara yang turut dipengaruhi keadaan ekonomi dunia.
Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid berkata, jika GST dikembalikan dalam masa terdekat dan kadar dasar semalaman (kadar faedah pinjaman) dinaikkan lagi, secara tidak langsung beban akan dikembalikan kepada rakyat.
"Jadi rakyat akan terkesan. Sekarang ini rakyat secara umumnya memerlukan tiga perkara utama iaitu makanan atas meja, duit dalam poket dan tempat berteduh.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi 367 bertajuk 'Bajet 2023: Pecutan Terakhir Buat Rakyat' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.
Program berkenaan menampilkan dua lagi panelis iaitu Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr Madeline Berma dan Ahli Parlimen Subang dan dikendalikan moderator, Dinnie Asyraf Salim.
Johari menjelaskan, GST perlu ada dalam perancangan akan datang kerana ia adalah penyumbang kepada ekonomi negara dan ia turut diakui oleh parti-parti politik di Malaysia.
"Apabila pemansuhan GST dilakukan sebelum ini, kita telah kehilangan lebih RM42 bilion hasil negara.
"Jadi secara peribadi saya beranggapan bahawa GST ini adalah satu cukai langsung yang sangat berkesan impaknya kepada ekonomi negara," ujar beliau.
Johari menambah, secara asasnya menerusi GST setiap individu yang berbelanja lebih, mereka akan membayar cukai yang lebih sebelum pendapatan itu dikembalikan kepada negara.
Apabila pendapatan itu dikembalikan kepada negara, katanya, kerajaan boleh menyalurkan semula kepada rakyat melalui pembangunan dan perkara-perkara lain.
Menurutnya, melalui pelaksanaan GST juga peniaga tidak dapat memanipulasinya kerana sistem cukai itu sangat telus.
"GST ini juga bukan dikenakan kepada semua perkara, maknanya kalau orang itu belanja perkara asas ia tidak dikenakan GST.
"Saya fikir secara logiknya pada Bajet 2023 ini GST mungkin tidak akan dikembalikan lagi kerana situasi ekonomi dunia itu sendiri tidak memungkinkan ia dikembalikan pada masa terdekat," jelasnya.
Tambah Johari, GST boleh dilaksanakan semula apabila keadaan negara kembali stabil bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi merangkumi aspek politik.
"Jadi ia perlu diberikan ruang dan masa sebaiknya supaya bila kestabilan itu ada, baru kita boleh merencanakan sesuatu yang bagus.
"Baru kita boleh kembali kepada dasar-dasar yang sepatutnya ada untuk negara dan ia secara langsung akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca