SHAH ALAM - Apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini, tumpuan utama rakyat pastinya kembali terarah kepada hala tuju Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat.
Meskipun terdapat kebimbangan PRU15 terpaksa diadakan pada musim banjir susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengunjurkan fasa peralihan monsun bermula pada 3 Oktober lalu, bibit-bibit PRU dalam masa terdekat tampak semakin sukar dielakkan.
Berikutan itu, ramai pemerhati ekonomi dan politik tempatan melihat kerajaan Keluarga Malaysia berdepan dilema sama ada mahu menjadikan inti pati Bajet 2023 sebagai belanjawan pilihan raya atau jaringan keselamatan rakyat bersifat kalis krisis.
Hal ini kerana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan senario ekonomi dunia pada tahun 2023 bersifat gloomy and more uncertain dengan pertumbuhannya dijangka menurun dari 6.1 peratus (2021), 3.2 peratus (2022) dan 2.9 peratus (2023).
Perkara itu dipersetujui Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Ismail yang menjelaskan pertumbuhan ekonomi dunia akan menjadi perlahan pada tahun 2023 ekoran peningkatan kadar inflasi dan faedah agresif di serata dunia, selain masalah geopolitik tidak menentu.
Pandangan Firdaos disokong Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mendedahkan laporan terakhir Bank Dunia yang menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya.
Bagi Malaysia, cabaran pertumbuhan ekonomi negara sebenarnya banyak bergantung kepada prestasi ekonomi negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Di sebalik semua kemungkinan itu, Noor Azlan berpandangan, penyediaan inti pati Bajet 2023 semestinya harus seiring dengan perancangan pembangunan jangka panjang digariskan oleh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Kebiasaannya, sudah menjadi amalan mana-mana kerajaan di seluruh dunia menjadikan usul itu sebagai platform penawaran belanjawan pilihan raya, lebih-lebih lagi apabila tarikh pilihan raya sudah semakin hampir.
Mengambil contoh Bajet 2018 sewaktu zaman pentadbiran kerajaan BN dahulu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan bajet RM282.25 bilion, antara paling besar dalam sejarah negara yang memberi tumpuan meraih sokongan penjawat awam dan pesara kerajaan.
Antara contoh tawaran Najib ketika itu adalah pengumuman kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam, kenaikan pangkat time-based dan mewujudkan gred lapisan Gred DG56.
Turut diumumkan sumbangan tahunan kepada Cuepacs sekurang-kurangnya RM3 juta setahun, faedah persaraan, geran khas RM1 juta kepada setiap persatuan pesara serta kuota untuk persatuan pesara kerajaan menunaikan haji bermula tahun 2018.
Hakikatnya usul Bajet 2018 yang disifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Bajet PRU14 kerana menjanjikan gula-gula pilihan raya, akhirnya tidak menjamin kemenangan BN pada PRU14.
Berikutan itu, Noor Azlan menyuarakan kerisauan tinggi terhadap kecukupan pendapatan kerajaan bagi menampung Perbelanjaan Mengurus Kerajaan (OE) sekiranya inisiatif serupa diimplementasi pada Bajet 2023.
"Ada lima komponen perbelanjaan utama yang merupakan 87 peratus daripada OE perlu diberi perhatian iaitu emolumen (37 peratus pada Bajet 2021), bayaran persaraan (13 peratus), bayaran khidmat hutang (16 peratus), khidmat dan bekalan (11 peratus) serta subsidi dan bantuan sosial (10 peratus).
"Menyentuh soal penjawat awam dan pesara kerajaan, untuk tahun 2021, emolumen untuk 1.6 juta penjawat awam berjumlah RM85.9 bilion, manakala bayaran persaraan adalah RM29.1 bilion.
"Justeru, jangan terburu-buru membuat keputusan untuk memberikan ganjaran istimewa kepada penjawat awam atau tindakan drastik mengecilkan saiz mereka bagi memberi penjimatan kepada kerajaan. Tetapi sebaiknya tentukan apa yang sesuai dan wajar, right-sizing,” katanya kepada Sinar Premium.
Satu lagi persoalan utama merangkumi keperluan Bajet 2023 adalah sama ada kerajaan sanggup menolak pendekatan populis dengan berterusan menanggung subsidi dijangka mencecah hampir RM80 bilion untuk tahun 2022, atau berani menyediakan bajet bersifat kalis krisis.
Hakikatnya, Noor Azlan mengakui sistem pemberian subsidi secara meluas blanket-economy-wide ini sangat membebankan, tiada tujuan sasaran khusus dan tidak mampan untuk membangunkan negara.
"Saya amat bersetuju dengan pandangan Menteri Kewangan bahawa rasionalisasi subsidi bukan penghapusan subsidi.
"Kita mesti struktur semula kaedah pemberian subsidi. Yang susah terus dibantu, bukan semua. Rakyat Malaysia mesti bersedia dengan penstrukturan ini,” ujarnya lagi.
Di sebalik PRU15 ini bakal menentukan hala tuju politik dan ekonomi negara lebih stabil, semua pihak harus menjadikan Bajet 2023 sebagai pemangkin jaringan keselamatan rakyat daripada pelbagai krisis mendatang, bukan platform meraih laba politik.
Klik di sini untuk terus membaca