SHAH ALAM - Usul Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada Jumaat, berkemungkinan besar menjadi usul belanjawan UMNO-BN bagi meraih sokongan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Penganalisis ekonomi daripada Pusat Pendidikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Usul Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada Jumaat, berkemungkinan besar menjadi usul belanjawan UMNO-BN bagi meraih sokongan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis ekonomi daripada Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, kemungkinan itu dapat dilihat secara jelas apabila UMNO-BN berjaya menarik minat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai mereka, meskipun beliau sebelum ini dilantik sebagai menteri kabinet atas kapasiti sebagai seorang tokoh korporat.

"Saya yakin inti pati Bajet 2023 juga akan menumpukan tawaran pelbagai inisiatif dan projek pembangunan berskala mega bagi menarik perhatian pengundi di beberapa negeri yang bukan dikuasai UMNO-BN seperti Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor mahu pun Wilayah Persekutuan.

Baharom Abdul Hamid

"Dengan UMNO-BN secara jelas menunjukkan cita-cita politik untuk mentadbir kerajaan secara bersendirian, justeru inti pati Bajet 2023 secara tidak langsung akan menjadi belanjawan UMNO-BN untuk kelebihan mereka menjelang PRU15,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kewajaran kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan Bajet 2023 sebagai belanjawan PRU pada saat Bank Dunia menjangkakan kadar kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan mungkin menjadi lebih parah.

Hal ini susulan Top 5 UMNO mengesahkan parti itu bersetuju supaya PRU15 dapat diadakan pada tahun ini dengan proses permohonan pembubaran Parlimen difahamkan akan dibuat selepas usul Bajet 2023 dibentangkan.

Di sebalik pandangan berkenaan, Baharom bagaimanapun tidak bersetuju dengan sebarang usaha menjadikan Bajet 2023 sebagai gula-gula pilihan raya, lebih-lebih lagi pada saat cabaran dan landskap ekonomi dunia pada tahun 2023 dijangka menjadi lebih mencabar.

Jelas beliau, negara berisiko berdepan masalah kewangan meruncing termasuk muflis sekiranya Bajet 2023 yang menawarkan saiz perbelanjaan luar biasa demi memenuhi janji ‘bulan bintang memenangi PRU’, mula menjadi beban kepada negara.

"Dengan kerajaan berdepan beban hutang yang semakin bertambah termasuk had hutang statutori negara kini sudah mencecah 67 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan perlu bersikap rasional dengan menjadikan Bajet 2023 sebagai persediaan jaringan keselamatan bagi menangani jangkaan krisis kemelesetan ekonomi lebih buruk tahun hadapan.

"Tarikh PRU15 juga memainkan peranan terhadap tahap saiz Bajet 2023. Jika PRU15 diadakan pada tahun ini, saiz perbelanjaan akan menjadi jauh lebih besar berbanding dua belanjawan sebelum ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca