MEMULAKAN kerjaya sebagai wartawan pada tahun 1993, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff pernah terjebak dalam politik dan kini dikenali sebagai seorang ilmuan, penulis dan penerbit.
Perjalanan hidupnya yang panjang dan mempunyai pelbagai kisah menarik menjadikan beliau seorang figura istimewa.
Rais Hussin turut berkongsi harapannya agar semua parti berada dalam ‘zon bebas ego’ dan berunding buat yang terbaik untuk negara.
Banyak lagi yang dikongsikannya termasuk isu ‘negara gagal’, krisis korupsi dalam sistem politik dan peranan EMIR Research menerusi temu bual bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
JOHAN: Apakah sebenarnya yang berlaku kepada negara kita pada masa ini?
RAIS HUSSIN: Keadaan negara kita pada masa ini agak getir. Kita harus melihat kepada fakta-fakta dan statistik yang ada. Kalau kita lihat kepada indeks korupsi, kita jatuh. Begitu juga bagi sekuriti makanan, kita tak tergolong dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI). Jika lihat kepada isu brain drain atau cendekiawan dan golongan berkemahiran, ramai yang tinggalkan Malaysia dan berhijrah ke luar negara.
Dalam angka konservatif, seramai 500,000 orang yang berhijrah tetapi angka yang Bank Dunia bagi adalah 1.27 juta orang. Kalau dilihat kepada nombor-nombor ini, kita kehilangan human capital yang cukup besar dalam membangunkan negara. Apatah lagi dengan suasana politik yang cukup tidak stabil, setiap hari kita dengar akan adakan pilihan raya. Padahal, fokus utama hari ini adalah mengembalikan ekonomi negara yang kian meruncing.
Kita ada seorang Menteri Kewangan yang mengatakan Malaysia tiada krisis ekonomi walaupun ringgit kita jatuh merudum. Sepatutnya kita fikirkan bagaimana hendak membaik pulih negara, ekonomi dan menstabilkan keadaan politik. Jangan lupa, kita akan menghadapi banjir yang begitu besar berdasarkan ramalan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, yang mana ia akan menjadi lebih teruk dari 2021.
Baru-baru ini, Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca di Malaysia, dengan kemungkinan bekalan elektrik, air dan sebagainya akan terputus. Di manakah keutamaan kita? Kita kena fokus kepada apa yang rakyat mahu. Rakyat mahu pekerjaan, kediaman, sistem pendidikan yang baik dan kos sara hidup yang rendah. Tapi nampak gayanya, sampai ke sudah kita berpolitik.
Tapi, ada pandangan daripada parti yang ingin pilihan raya dibuat, mereka nyatakan bahawa soal banjir, hujan dan monsun bukanlah perkara baharu bagi Malaysia?
Betul tetapi kita harus ingat, pada tahun lepas, ada menteri mengatakan bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan iklim. Tetapi tiga hari selepas itu, kita menghadapi banjir yang besar.
Jadi, jangan kita angkuh dengan keadaan dan suasana sekarang. Perubahan iklim adalah masalah biasa di Malaysia, tetapi adakah kita bersedia dengan aset-aset dan kenderaan untuk menampung banjir? Boleh tak kita mobilisasikan orang-orang dan bantu orang yang berhadapan dengan banjir?
Pada 2021, rakyat Malaysia sendiri yang jaga sesama sendiri. Ingat tak ‘#kitajagakita’? Rakyat Malaysia yang memulakan usaha sedangkan aset-aset kita masih berkilat dan bersih di dalam stor. Kita harus fokus kepada keutamaan. Oleh itu dari November hingga Mac ini, biarlah fokus kepada monsun, bagaimana kita nak memulihkan ekonomi dan menstabilkan Ringgit Malaysia.
Dari segi sekuriti makanan, kita import RM65 bilion setahun. Apabila duit kita jatuh, ia akan menjadi bertambah mahal. Harga makanan akan menjadi bertambah tinggi. Macam mana rakyat akan menampung keadaan begini?
Datuk ada menulis rencana dalam The Vibes, menyebut tentang cadangan untuk mengadakan pilihan raya pada musim monsun ini adalah indecent proposal?
Betul, ia sangat tidak senonoh sebab kita harus fokus kepada apa yang rakyat mahu dan perlukan. Dalam suasana begini, masing-masing menyediakan pelan bagaimana nak menghadapi banjir dan sebagainya tapi ada yang nak adakan pilihan raya.
Tapi, bukankah ada pandangan bahawa kita perlukan pilihan raya untuk mendapat mandat baharu dan memastikan kestabilan politik?
Kalau begitu, mandat telah diberikan pada 2018 tetapi pada masa itu tidak sudah-sudah bercakap soal nak rombak sana sini, nak jatuhkan kerajaan. Itu mandat apa? Bagi saya, tak usahlah kita cuba nak kaitkannya. Boleh baca buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika tulisan Profesor Tan Sri Mohd Kamal Hassan. Sudah-sudahlah.
Sekarang ini kita kena fokus kepada apa yang perlu dibuat iaitu pelan kontigensi banjir, memulihkan Ringgit Malaysia dan cuba bina semula ekonomi negara dan sekuriti makanan. Kalau kita tak fokus kepada keempat-empat perkara yang begitu penting sekarang ini, nescaya negara kita akan menuju kepada negara sebagaimana Sri Lanka. Tetapi Sri Lanka, salah satu sebabnya adalah mereka tiada minyak dan gas, berbanding kita yang ada kedua-duanya.
Datuk pernah menulis rencana yang sangat provokatif dalam Sinar Harian tentang ‘negara gagal’ atau fail state. Ia memberikan kesan kepada pemerintah. Apabila sampai kepada orang Pakatan Harapan (PH), mereka kata kerajaan gagal. Apabila PH memerintah, BN kata kerajaan gagal. Apa sebenarnya definisi kerajaan gagal?
Kalau kita tengok kepada buku karya Daron Acemoglu dan James A Robinson, Why Nations Fail? Why? segala kriteria negara gagal itu sudah kita nampak di Malaysia. Ia menggunakan extractive economy. Kita ada dua iaitu ekonomi dan politik tetapi daripada segi polisi ekonomi, extractive ini banyak birokrasi, penuh dengan rasuah. Sekarang ini di Malaysia, kita nampak rasuah ini adalah ‘a way of life’. Macam dulu, kita anggap rasuah adalah satu masalah besar umat. Memang seluruh dunia termasuk umat Islam menghadapi masalah rasuah tetapi sebelum ini ia tidaklah besar. Tapi sekarang ini, kalau tak buat, ada ‘something wrong with you’ sebab ‘it is a way of life’.
Dalam keadaan begini, kita nampak semua kriteria untuk menjadi negara gagal. Kalau kita lihat perbezaan 61 tahun BN dan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), kita kena adil. 22 bulan ini ada manifestonya ketika itu. Saya juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH sewaktu ketika dulu. Dalam manifesto, kita tulis 10 janji dalam masa 100 hari. 60 janji dalam masa lima tahun. Tapi, PH tidak dibenarkan menghabiskan lima tahun itu. Macam-macam push factor yang akhirnya kerajaan jatuh.
Kemudian, adalah masalah dalaman, luaran dan masalah politik yang begitu sempit. Macam-macam sehingga kerajaan PH jatuh. Saya dah cakap ketika itu, laut tidak akan mengalir ke sungai. Selalunya sungai yang mengalir ke laut. Sungai itu ibarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO itu laut. Saya sudah beri amaran ketika itu, perkara ini tidak akan lanjut terlalu lama dan akan ada lagi masalah sebab ada pertukaran kerajaan lagi. Sebab ‘you will be blackmail all the way’. Itulah yang berlaku.
Tapi, bukankah sewaktu pemerintahan PH, ia satu peluang untuk membuat reformasi yang dijanjikan, sekurang-kurangnya di peringkat dasar? Orang kecewa apabila reformasi itu tidak berlaku.
Sebenarnya, reformasi itu sudah bermula dalam beberapa bidang tetapi kita mempunyai seorang Perdana Menteri ketika itu yang tidak mahu reformasi keseluruhan. Kalau masih ingat lagi, saya salah seorang ahli Majlis Penasihat Presiden PH. Pada perjumpaan pertama selepas kemenangan pilihan raya itu, saya cadangkan supaya kita tubuhkan Manifesto Monitoring Committee. Kita lakarkan segala janji dan bertindak melalui kementerian dengan jadikannya sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Jawatankuasa ini tidak boleh ada dalam kabinet sebab dia kena mark their own papers, kena audit tersendiri. Jadi, kita cadangkan supaya ada jawatankuasa yang bebas. Semua setuju pada masa itu kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas itu, mesyuarat Majlis Penasihat Presiden PH, saya sudah tidak dijemput.
Tapi, bukankah dia kata ‘manifesto bukan kitab suci’?
Sebenarnya, dia kata manifesto bukanlah kitab Bible. Tapi, saya jawab balik "manifesto is not bible for him” tapi al-Quran untuk dia sebab ini adalah janji kita. Ada menteri yang cukup kanan dalam kerajaan BN. Dia kata, bagi BN manifesto adalah valid sehingga jam enam petang pada hari pengundian. Selepas itu, kita tak lihat manifesto. Saya kata, "Tan Sri, keadaan sudah berubah”. Sekarang, segala janji apabila rakyat memilih PH pada masa itu adalah berdasarkan kepada janji yang kita telah tawarkan. Maknanya, untuk kehidupan yang lebih baik.
Ini yang menjadi fokus sebab rakyat mahukan negara yang dapat kurangkan rasuah. Itu janji kita. Ia bukanlah mudah sebab saya pernah bercakap dengan menteri-menteri dalam kabinet dan tanya kenapa tak ketengahkannya.
Datuk adalah orang Bersatu dan pernah menjadi pemimpin yang agak tinggi dalam Bersatu tapi melepaskan semua jawatan dalam Bersatu dan PH. Kenapa, adakah kecewa dengan politik?
Tidak. Sebenarnya semasa awal-awal penubuhan Bersatu, saya memang terlibat dalam perlembagaan parti. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bila nak pilih orang yang boleh berunding dengan parti lain, sayalah orang pertama. Memang saya akui tapi saya nampak memang ada perbezaan yang betul-betul ketara selepas kita menang. Maknanya, tiba-tiba semua program yang kita nak rancangkan, nak buat, semua tiba-tiba jadi lain sikit. Saya juga tidak lagi diberikan peluang yang sama, padahal bukan berbayar pun. Saya dulu ahli Majlis Penasihat Presiden PH tapi selepas perjumpaan pertama, saya tidak dijemput. Saya mempunyai masalah jantung, kemudiannya buat bypass. Selepas itu, saya take it easy dan mula nampak Bersatu sudah lain sedikit. Ramai orang berlainan yang mula masuk parti.
Datuk masih lagi ahli Bersatu?
Ya, tapi tidak aktif sejak 2019. Tetapi, semasa saya masih dalam Bersatu, saya tetap mengkritik. Tapi di EMIR Research, kita bebas dan tidak melihat kepada siapa pemimpin tetapi berdasarkan data, saiz dan ekonomik.
Orang kata Datuk daripada sebuah institusi third party. EMIR Research ini, macam mana Datuk nak yakinkan orang ramai bahawa Datuk tidak berat sebelah sedangkan Datuk ada perspektif politik sendiri?
Dalam research, ada disebut confirmation bias iaitu kita cenderung untuk bias terhadap apa yang kita percaya. Saya cuba meminimumkannya. Untuk mengetahui EMIR Research ini bebas atau tidak, pergi ke laman sesawang kami. Kami memang konsisten, dalam 1,200 ke 1,300 berdasarkan kajian, dalam semua itu, kita paling konsisten baik dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
EMIR Research tidak ada masalah untuk mengakui bahawa apa yang dilakukan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri ini betul?
Ya, kalau benda itu betul. Kalau tak betul, maka tak betul. Semasa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita sediakan 38 muka surat ‘survive to restart package’ untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam itu, kita bercakap tentang survival ekonomi dan kita masukkan juga moratorium. Kita betul-betul lantang tentang moratorium, padahal pada masa itu Menteri Kewangan kata kita tak mampu untuk berikan moratorium. Walaupun dia ahli kabinet kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita masih menulis dan menyatakan kalau kamu tidak berikan moratorium, ‘there will be non performing loan’ (NPL). Bila ada NPL, maka rating bank akan jatuh. Daripada itu, baik bagi moratorium enam bulan. Selepas enam bulan, duit itu bukan hilang. Ada di situ, hanya tertunda.
Kita tak pernah mengambil pusing sangat hal politik. Macam Pas, saya agak keras sebab mereka tidak mempunyai prinsip. Mengapa saya kata begitu? Sekejap tidur dengan dia (UMNO), sekejap tidur dengan dia (Bersatu). Ini adalah tidak berprinsip.
Kalau dalam konteks EMIR Research, apakah Datuk rasa perbezaan antara think tank atau institusi pemikir yang melibatkan penyelidikan. Apa bezanya EMIR Research dengan yang lain?
Institusi kita ini agak ringkas. Banyak badan pemikir yang ada dan mereka mempunyai kekuatan tertentu tetapi kekuatan kami pula, kita membuat kajian yang mendalam dan fokus kepada outreach, maknanya kita akan menulis dan akan membawa dapatan kajian kita untuk masyarakat umum. Saya rasa, banyak think tank yang tak buat outreach. Selain itu, kita juga berani menulis dan relevan.
Datuk pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tetapi meletak jawatan selepas 15 bulan?
Hari pertama saya ke MDEC, saya nampak ia sebagai sebuah agensi kerajaan yang cukup penting untuk menjana dan membawa ekonomi digital negara. Kalau tidak, kita akan jadi digital ‘kunta kinte’. Kita ambil peratusan, iaitu kita ada Lazada, Ali Baba dan Shopee. Lebih kurang 82 peratus perniagaan dalam talian ini pergi kepada mereka ini. Apa maksudnya? Saya nampak ekonomi digital cukup penting. Saya gembira dapat dipertanggungjawabkan untuk memulihkan dan come out dengan visi untuk MDEC.
Tapi, minggu pertama saya dapat 653 e-mel. Dalamnya, macam-macam tuduhan dan tohmahan tentang MDEC, salah laku dan macam-macam lagi.
Minggu kedua, saya berjumpa dengan menteri, ketika itu Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Dia suruh pecat CEO (Ketua Pegawai Eksekutif). Saya katakan, ia terlalu awal dan berikan saya sedikit masa untuk memahami keadaan yang berlaku. Saya kemudiannya panggil KPMG (sebuah syarikat perkhidmatan profesional menawarkan khidmat audit kewangan, cukai, dan nasihat) dan EY (Ernst & Young) buat forensik. Dalam penemuan atau dapatan forensik yang dilakukan, macam-macam. Kita perlu buat laporan tertentu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kita nampak ada 16 ke 18 orang yang tinggalkan MDEC masa itu. Jadi, kita mulakan proses memperbaharui pengurusan. Kami bawa beberapa orang yang bagus yang mana saya tak kenal pun semuanya. Maknanya, mereka melalui proses yang telus.
Kita juga bawa ahli lembaga pengarah yang memang betul-betul industry leaders, tiada orang politik. Walaupun saya orang politik, saya 20 tahun berada dalam bidang telekomunikasi. Tetapi, tekanan yang dihadapi.
CEO itu pula, Surina Shukri adalah orang yang baik dan saya rasakan dia buat yang terbaik sebagaimana yang lain. Semua orang boleh bertambah baik dan dia buat yang terbaik. Saya nasihati dia dan Alhamdulillah, dia buat tindakan bijak. Apabila lantik orang lain, kita nak mereka melalui proses, maknanya melalui HR (sumber manusia), lembaga pengarah dan sebagainya. Saya nak begitu dan saya jelaskan kepada mereka. saya ini bukan pengerusi ‘karipap dan kopi’. Saya pengerusi yang nak bawa perubahan. Tetapi sekarang ini, saya tak tahu apa yang berlaku.
Ke mana kita nak pergi kalau keadaannya macam begitu, Datuk?
Surina Shukri balik dari New York setelah beberapa tahun dan dia berkorban untuk tinggal di sini tapi pengorbanannya tidak dihargai. Sebab itulah brain drain banyak berlaku di sini tapi kita kata, TalentCorp ambil alih dan selesaikannya. Tapi berdasarkan kepada rekod, hanya 5,000 dia dapat tarik tapi yang pergi 1.27 juta orang. Maknanya, kita perlukan perubahan yang organik dan tidak lagi boleh perubahan yang kosmetik.
Antara benda penting yang saya perkenalkan di MDEC adalah model input, output, outcome and impact (IOOI). Maksudnya, ini adalah model yang banyak digunakan di negara luar seperti Belanda dan Finland. Saya juga buat satu kewajipan, sebarang kelulusan bajet di MDEC kena ada model IOOI. Sebelum ini, 50-60 helai kertas datang. Tapi dalam model IOOI, 10 helai sahaja. Dalam 10 itu pun, ada lagi yang tak faham apa itu IOOI. Tapi akhirnya, Alhamdulillah, mereka faham.
Apakah yang Datuk harapkan untuk masa depan Malaysia?
Saya rasa, Malaysia tak boleh berada pada landasan ini. Kita perlukan satu perubahan politik yang besar. Dalam mana-mana kes, kestabilan politik amat penting. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang tak lama lagi. Kalau tak dalam monsun, mungkin selepas Mac. Kita perlu pilih kerajaan yang betul-betul dapat membimbing dan fokus kepada rakyat untuk rakyat.
Kadang-kadang orang ceramah kata untuk agama, bangsa dan negara tetapi ia sebenarnya untuk aku, keluarga aku dan kroni aku. Itulah fahamannya. Saya sangat berharap semua parti berada dalam ‘zon bebas ego’ dan berunding buat yang terbaik untuk negara. Keduanya, rakyat perlu mengambil satu pendekatan memilih yang betul-betul boleh membina semula negara Malaysia. Kalau tidak, kita akan menghadapi masalah yang begitu besar. Kita sudah nampak bibit-bibit itu sekarang dan kita akan nampak bibit-bibit itu menjadi lebih besar.
Klik di sini untuk terus membaca