"ABANG, perlukah kita adakan PRU (pilihan raya umum) sekarang?” Itu ayat pertama abang Wan semalam bila saya mengunjungi gerai nasi lemaknya, merujuk kepada musim tengkujuh. "Sudah tentu tidak,” jawab saya. Dan dia menyambung: "Ya, ini... Klik di sini untuk terus membaca

"ABANG, perlukah kita adakan PRU (pilihan raya umum) sekarang?” Itu ayat pertama abang Wan semalam bila saya mengunjungi gerai nasi lemaknya, merujuk kepada musim tengkujuh.

"Sudah tentu tidak,” jawab saya. Dan dia menyambung: "Ya, ini bukan pasal rakyat, pasal mereka.”

Ia lain sekali dengan pandangan sesetengah rakan saya dalam UMNO yang berasakan bahawa PRU mesti diadakan tahun ini kerana kerajaan sekarang kononnya tidak stabil dan tidak berfungsi, menteri tidak pandai serta tidak dapat menangani cabaran lebih genting pada tahun depan.

Maksud mereka, kerajaan sekarang tidak stabil dan tidak berfungsi kerana ia kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti kecil. Perdana Menteri nak tukar menteri pun tidak berdaya.

Ikut logik itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk PRU15 adalah menghasilkan kerajaan bermajoriti mudah, 112 kerusi ke atas supaya kerajaan boleh berfungsi penuh dan Perdana Menteri boleh melantik serta memecat menteri mengikut keperluan.

Dengan GPS, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan dijangka memenangi sekitar 40 hingga 45 kerusi di Sabah, Sarawak serta Labuan.

BN, Pakatan Harapan (PH) atau PN hanya mampu membentuk kerajaan bermajoriti mudah dengan memenangi hampir 100 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung.

Mungkinkah BN mengekalkan 40 kerusi (termasuk Gerik) yang dimenangi di Semenanjung dan merampas 60 kerusi daripada PH dan PN?

Mungkinkah PH memperoleh 98 kerusi yang dimenanginya di Semenanjung pada 2018? Mungkinkah PN menawan 58 kerusi baharu di Semenanjung ke atas 42 kerusi sedia ada?

Jika semua jawapannya tidak, maka KPI untuk melahirkan kerajaan bermajoriti mudah akan gagal.

Adakah kerajaan gabungan baharu pasca PRU15 akan tetap tidak berfungsi? Jika UMNO yang menerajui kerajaan campuran itu, adakah UMNO akan sekali lagi memaksa Perdana Menterinya untuk membubarkan Parlimen?

Sebaliknya, jika UMNO boleh membawa kestabilan dan prestasi dalam kerajaan campuran baharu selepas pasca PRU15, kenapa ia tidak boleh mencuba sedaya-upaya sekarang?

Apa perbezaan yang akan menggagalkan kerajaan campuran sekarang tetapi boleh menjamin kejayaan kerajaan campuran baharu? Bilangan kerusi UMNO yang lebih banyak? Perdana Menteri yang baharu?

Berbicara mengenai calon Perdana Menteri, siapa yang boleh menjamin tidak akan berlaku perebutan kuasa sengit, bukan sahaja antara parti tetapi juga dalam parti?

Jika PRU15 diadakan sebelum bajet diluluskan, maka kerajaan baharu boleh jatuh jika bajet baharu ditewaskan.

Dari Jerman ke New Zealand, dunia ini penuh dengan negara yang berjaya menerusi Parlimen tergantung.

Yang penting, peraturan persaingan antara parti yang sihat dan ia boleh diusahakan dalam 10 bulan sebelum Parlimen genap penggalnya.

Sebaliknya, janji kestabilan berasaskan majoriti mudah itu bagaikan bulan di permukaan air. Boleh dibayang tetapi kita mungkin kelemasan untuk mencapainya.

Adakah berbaloi untuk rakyat merisikokan nyawa keluar mengundi atau melepaskan hak mengundi demi nyawa?

Nasib baik pemutus sama ada kita perlu #undibanjir bukanlah Perdana Menteri atau partinya tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 40(2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Seri Paduka Baginda ‘boleh bertindak menurut budi bicaranya melaksanakan fungsi yang berikut... (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen’.

Semoga hasrat rakyat biasa untuk tidak berundi-banjir diingati oleh Seri Paduka Baginda apabila Perdana Menteri datang menghadap.

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN-Asia) di Universiti Sunway. Beliau khusus dalam rekaan institusi seperti sistem pilihan raya, politik kepartian dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca