PADA 1956, setahun sebelum Malaya mencapai kemerdekaan, sekumpulan kecil penjawat awam telah diberi tanggungjawab untuk mengasaskan apa yang kita kenali sebagai Wisma Putra atau Kementerian Luar Negeri hari ini. Maknanya, Foreign Service di... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 1956, setahun sebelum Malaya mencapai kemerdekaan, sekumpulan kecil penjawat awam telah diberi tanggungjawab untuk mengasaskan apa yang kita kenali sebagai Wisma Putra atau Kementerian Luar Negeri hari ini. Maknanya, Foreign Service di Malaysia telah berusia 66 tahun pada tahun ini.

66 tahun satu jangka masa sangat panjang. Jika disamakan dengan seorang manusia, pada usia 66 tahun, seseorang itu sudah pasti telah melalui pelbagai pengalaman hidup.

Begitu juga dasar luar negara kita yang sudah berkembang menjadi bertambah matang. Itu bermakna, kita juga sudah mampu menggerakkan hubungan diplomasi melangkaui perkara-perkara asas dalam hubungan antarabangsa.

Selain hubungan antarabangsa yang biasa, kita juga sudah mampu memperkenalkan Malaysia melalui diplomasi budaya.

Persoalannya, kenapa dasar luar negara kita menjadi penting untuk difahami oleh rakyat terbanyak? Ia penting atas banyak sebab, antaranya dasar luar negara kita akan mencorakkan tahap hubungan dengan negara-negara di dunia dan peranan yang akan kita mainkan di peringkat antarabangsa.

Lebih penting, ia akan dapat membantu rakyat negara kita memainkan peranan di peringkat antarabangsa sama ada melalui perniagaan atau apa juga inisiatif dilakukan secara bersendirian.

Ia juga bertujuan membantu rakyat dan kerajaan negara-negara di dunia memahami Malaysia dengan lebih baik untuk mereka membuat keputusan sama ada akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan atau pelaburan mereka.

Bukan terhad setakat negara luar sahaja, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain turut meneliti dasar luar kita untuk mereka faham posisi serta keutamaan kita di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini saya bersama Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin telah diundang oleh Wisma Putra untuk menyertai lawatan kerja Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ke Jerman sempena Program Khas Promosi Diplomasi Budaya dan Bahasa di sana.

Lawatan itu telah meninggalkan kesan sangat baik kerana beberapa pihak yang ditemui di Berlin dan Frankfurt telah bersetuju agar kerjasama susulan dilakukan segera bertujuan untuk terus mengadakan perbincangan dua hala antara Malaysia dengan Jerman.

Menariknya, usaha Wisma Putra kali ini adalah pada kandungan yang diketengahkan sebagai budaya bangsa kita untuk dikenali orang luar, tidak hanya terhad kepada tarian dan makanan.

Diplomasi budaya dan bahasa kita membuka lembaran dengan meletakkan ilmu pengetahuan mengenai Malaysia terutama keunikan masyarakat berbilang kaum dapat hidup bersama dalam satu budaya damai sebagai asas penting untuk Malaysia dikenali ramai.

Dalam konteks ini, lagu gubahan Datuk Ahmad Nawab yang mempromosi Malaysia suatu ketika dahulu, Malaysia Truly Asia telah diberi makna baharu melalui pelbagai forum dan siri syarahan. Hanya apabila orang menyedari keunikan yang ada pada Malaysia akan menyebabkan mereka berminat mengenali negara ini dengan lebih dekat.

Minat mendalami Malaysia sebagai sebuah negara akan dijadikan teras penting untuk bahasa Melayu turut berkembang. Bak kata peribahasa Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’.

Beberapa siri syarahan dan perbincangan kami sertai mengupas serta menjelaskan bagaimana masyarakat berbilang kaum di Malaysia dapat hidup bersama dalam budaya damai dan pengalaman Malaysia mengurus keamanan telah menarik minat masyarakat di sana.

Usaha Menteri Luar Negeri untuk meletakkan Malaysia kembali di atas peta dunia menggunakan diplomasi budaya perlu diberi sokongan dan bantuan semua pihak.

Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai negara yang dipenuhi pemimpin kleptokrat semata-mata, sebaliknya kita perlu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah.

Keindahan Malaysia dan keunikan sedia ada seperti naratif terkandung melalui bait-bait lagu Malaysia Truly Asia perlu diterjemahkan dengan menjelaskan wajah sebenar masyarakat majmuk Malaysia mampu hidup bersama dalam satu kesepaduan sosial yang tinggi.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca