CHINA sering menggunakan apa yang dipanggilnya sebagai Garisan Sembilan Sempang iaitu satu persempadanan kabur berdasarkan kepada peta dari tahun 1940-an untuk mewajarkan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan. Namun, negara-negara... Klik di sini untuk terus membaca

CHINA sering menggunakan apa yang dipanggilnya sebagai Garisan Sembilan Sempang iaitu satu persempadanan kabur berdasarkan kepada peta dari tahun 1940-an untuk mewajarkan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan.

Namun, negara-negara seperti Taiwan juga menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan laut tersebut manakala Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei bersaing menuntut sebahagian daripada perairan yang luas itu.

Terumbu Scarborough ialah terumbu kecil yang terletak kira-kira 230 kilometer dari Filipina tetapi berada sejauh 650 kilometer (km) dari daratan China yang terdekat iaitu wilayah Pulau Hainan milik negara komunis tersebut dan berada di bahagian atas Kepulauan Spratly.

Ia kaya dengan hidupan marin yang diterokai oleh nelayan-nelayan dari Filipina, China dan Vietnam sejak beberapa generasi lalu tetapi berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Filipina namun Beijing serta Taiwan juga mendakwa ia termasuk dalam wilayah kedaulatan masing-masing.

Sejumlah anggota Kongres Filipina pernah melawat terumbu itu beberapa tahun lalu dengan menaiki bot bersama anggota tentera negara itu beberapa tahun lalu.

Filipina pernah membawa kes itu ke Mahkamah Tetap Penimbang Tara Antarabangsa di Belanda yang kemudian mempertikaikan pendirian yang dibuat China sekali gus memutuskan pada tahun 2016 bahawa tuntutan Beijing tidak mempunyai asas undang-undang.

China sejak itu tidak mengendahkan keputusan itu menyebabkan ketegangan dengan Filipina reda selepas bekas Presiden, Rodrigo Duterte mengetepikan kemenangan undang-undang yang diperoleh negaranya, sebaliknya menggalakkan perniagaan dari China.

Ferdinand Marcos Jr, yang mengambil alih jawatan Presiden daripada Duterte pada Jun tahun ini bagaimanapun telah berjanji untuk mengekalkan keputusan mahkamah tersebut dan menegaskan beliau tidak akan membiarkan China menginjak-injak hak maritim Manila.

Namun, ketika dekad pemerintahan di bawah Presiden China, Xi Jinping yang dijangka mendapat kelulusan untuk memerintah buat penggal ketiga berturut-turut pada bulan ini, Beijing telah meluaskan kehadirannya secara mendadak di laut tersebut.

MEROMPAK

Rampasan Terumbu Scarborough daripada Filipina oleh China telah merompak hak seorang nelayan dari negara Asia Tenggara itu, Mariel Villamonte dan nelayan lain di kampung Cato, di wilayah utara Pangasinan daripada memperoleh sumber pendapatan utama mereka.

Tiga anggota Kongres Filipina pernah melawat batu di Terumbu Scarborough. - Foto AFP

Sebelum ini, keluarga mereka mula menangkap ikan di kawasan itu pada tahun 1980-an dengan menggunakan bot yang lebih besar sekali gus membolehkan pelayaran pergi dan balik sejauh 500km dibuat manakala tangkapan pula dipenuhi dengan ikan selain menawarkan tempat perlindungan bagi menyelamatkan nyawa semasa ribut melanda.

Kini para nelayan menyatakan bahawa mereka terpaksa bergantung terutamanya kepada 'payaos' iaitu alat terapung yang menarik ikan tuna sirip kuning ke atas bot jauh dari terumbu tersebut manakala Villamonte terpaksa menghabiskan masa lebih lama di laut dan mengambil jalan keluar untuk menangkap hidupan yang lebih kecil.

Bagaimanapun, mereka kadang-kadang berjuang untuk mendapatkan kembali modal walaupun berdepan risiko namun nelayan-nelayan Filipina masih cuba untuk memasuki Terumbu Scarborough untuk menambahkan lagi tangkapan mereka.

Pada kebiasaannya, Villamonte, 31, boleh memperoleh sebanyak 6,000 peso (RM474.71) setiap pelayaran apabila dia boleh memancing di Terumbu Scarborough tetapi kini nelayan tersebut hanya mendapat serendah 2,000 peso (RM158.24) atau ketikanya tiada langsung sumber pendapatan.

Memancing hanyalah satu-satunya pekerjaan yang dia tahu lakukannya manakala bapa dan datuknya juga ialah nelayan dan mimpi ngeri terburuknya kini ialah dirinya telah kehilangan akses untuk memasuki ke seluruh perairan Filipina.

Seorang lagi nelayan, Christopher de Vera, 53, berkata anggota krunya telah memasuki ke dalam Terumbu Scarborough di bawah kegelapan sekali gus membuatkan mereka berasa seperti pencuri di halaman rumah sendiri.

Bagaimanapun, dia berkata, perairan cetek itu tidak lagi dipenuhi dengan ikan-ikan selepas kawasan terumbu karang tersebut dimusnahkan oleh penangkap kerang gergasi China.

"Hasrat Jinping untuk mengawal perairan (Laut China Selatan) bukannya sekadar hanya tertumpu tentang ikan atau bahan api fosil," kata Greg Poling iaitu Pengarah Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kepada AFP.

Beratus-ratus kapal pengawal pantai dan militia maritim China berada di perairan terumbu itu mengganggu, menyerang nelayan-nelayan serta bot-bot lain selain campur tangan dalam penerokaan minyak, gas termasuk penyelidikan saintifik.

China sebelum ini telah menggunakan kuasanya untuk menyokong dakwaannya di Laut China Selatan dan baru-baru ini mengadakan latihan perang di sekitar Taiwan yang dianggap sebahagian daripada wilayahnya sendiri sekali gus membunyikan loceng penggera di seluruh rantau ini.

Tentera China dan Vietnam sebelum ini pernah terlibat dalam pertempuran pada tahun 1974 dan 1988 yang mana berpuluh-puluh anggota tentera telah terkorban.

Buat masa ini, Beijing kelihatan berminat untuk mengelak peperangan sambil meneruskan usaha untuk mengembangkan kuasanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca