SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bimbang kerajaan akan menjadikan agenda membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai modal meraih sokongan rakyat menerusi usul Bajet 2023 kelak.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bimbang kerajaan akan menjadikan agenda membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai modal meraih sokongan rakyat menerusi usul Bajet 2023 kelak.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata, meskipun difahamkan agenda itu masih di peringkat perbincangan, namun beliau tidak pasti sama ada sebahagian pencarum KWSP berkemampuan untuk mengeluarkan baki simpanan mereka sekali lagi.

Ujarnya, hal ini kerana beliau bimbang dengan nasib pencarum KWSP pada hari tua mereka jika langkah populis kerajaan itu diluluskan dengan kelompok ini mungkin terpaksa menghabiskan duit simpanan bagi tujuan berkenaan.

"Pada saya, kerajaan perlu mengimbangi tanggungjawab kepada rakyat dan bukan bersikap populis dengan memperkenalkan cadangan tidak masuk akal seperti membenarkan pengeluaran KWSP demi membeli undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hannah

"Duit untuk beli undi, berapa banyak nilai dikeluarkan kerajaan pun belum tentu cukup untuk puas hati rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada Mac lalu, kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 kepada rakyat memerlukan setelah menerima desakan hebat daripada sebilangan besar pemimpin UMNO-BN, termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih ramai ahli KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan.

Malah katanya, hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya adalah bumiputera.

Tangani cabaran ekonomi meruncing

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ledang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh mengharapkan Bajet 2023 bakal merangkumi keperluan negara menangani cabaran ekonomi meruncing dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang.

Sebagai contoh, Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat itu menekankan keperluan belanjawan mencakupi aspek penyediaan pelan sekuriti makanan mampan, selain tumpuan kepada pengukuhan aspek pendidikan dan kesihatan awam.

"Saya fikir sekiranya kerajaan menumpukan usaha pemberian subsidi secara bersasar, bermakna kerajaan masih objektif dan realistik dalam memenuhi keperluan rakyat.

"Selain itu, kerajaan perlu sediakan pakej Bajet 2023 berdasarkan kadar jangkaan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) tahun hadapan, unjuran nilai harga minyak dunia setong, kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan defisit fiskal negara pada tahun 2023.

"Penyediaannya juga perlu ada sifat keanjalan supaya kerajaan dapat memberi gambaran realistik bahawa Bajet 2023 bukan bersifat syok sendiri,” katanya.

Paling penting, Syed Ibrahim menegaskan, belanja ke atas pembangunan dan operasi perlu dikawal dalam Bajet 2023 dengan sebarang peningkatan peruntukan perlu dipertimbangkan atas keperluan mendesak sahaja.

Jelasnya, kerajaan perlu berwaspada untuk menjadikan implikasi belanjawan sebagai dana politik kepada parti-parti tertentu, walaupun beliau menjangkakan langkah itu tetap akan berlaku.

"Saya melihat aspek utama perlu diberi penekanan kerajaan adalah dasar berkaitan kadar upah pekerja yang perlu dikemas agar peningkatan pendapatan rakyat lebih tinggi daripada kadar inflasi negara.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu memberi tumpuan utama kepada isu penyediaan pelan jangka panjang jaminan sekuriti makanan. Sekiranya dua perkara penting ini menjadi fokus utama kerajaan, saya percaya rakyat akan melihat kerajaan serius untuk mewujudkan Bajet 2023 lebih mampan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca