SHAH ALAM - Sebarang ketetapan pendirian Pas yang dijangka dinyatakan pada Sabtu ini, semestinya tidak akan bercanggah dengan syarak Islam yang menekankan aspek perdamaian sesama ummah. Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebarang ketetapan pendirian Pas yang dijangka dinyatakan pada Sabtu ini, semestinya tidak akan bercanggah dengan syarak Islam yang menekankan aspek perdamaian sesama ummah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya turut berharap keputusan muktamad pendirian parti yang dijangka diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), tidak akan lari daripada agenda perpaduan ummah diperjuangkan Pas selama ini.

Dalam konteks pertembungan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau melihat proses perbalahan hanya berlaku di antara satu sama lain dengan kedua-dua mereka tidak pernah menjadikan Pas sebagai musuh.

Tambahnya, sekiranya UMNO dan Bersatu sanggup meletakkan syarat-syarat tertentu kepada Pas demi memeterai kerjasama politik mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti itu juga mempunyai syor tersendiri yang perlu difahami dua parti Melayu berkenaan dari kaca mata Islam.

"Pas pun ada syor tersendiri untuk bekerjasama dengan UMNO mahu pun Bersatu. Kita tidak mahu bergaduh dan berharap satu bentuk perpaduan dapat diwujudkan dalam kalangan mereka.

"Pas faham syarat mereka, maka mereka juga kena faham syor dikemukakan dari kaca mata Islam.

"Apa pun, saya percaya Pas tidak akan membuat satu keputusan atau ketetapan yang bercanggah dengan syarak pada Sabtu ini. Sebab itu awal-awal Pas sudah nyatakan mahu berkawan dengan semua kerana agenda perdamaian sesama ummah adalah merupakan sebahagian tuntutan syariat," ujarnya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa yang memberi bayangan Pas seolah-olah akan membuat pusingan U dan kembali mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) tidak lama lagi.

HASHIM

Sebelum itu, Ahmad Zahid mendedahkan UMNO meletakkan tiga syarat utama kepada Pas sekiranya parti itu mahu menjalinkan kerjasama PRU15 iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu, keluar daripada PN serta membuat pengumuman rasmi mereka sepenuhnya mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tiga syarat dikemukakan UMNO seumpama syarat 'meminang Puteri Gunung Ledang' dan menggesa parti terbesar Melayu itu untuk mempertimbangkan agenda perpaduan ummah demi kepentingan lebih besar.

Justeru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama mereka dengan UMNO pada hujung minggu ini.

Sementara itu, Hashim menjangkakan perbincangan bagi memuktamadkan pendirian Pas akan dimulakan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama, sebelum disusuli mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu turut tidak menolak kemungkinan satu kerjasama tidak rasmi bersama UMNO mahu pun Bersatu mungkin akan diusahakan sekiranya keputusan pendirian parti yang dibuat kelak, tidak memenuhi kehendak mana-mana parti berkenaan.

"Saya berharap supaya pimpinan UMNO dan Bersatu terbuka hati untuk melupakan perselisihan faham antara mereka.

"Kalau dalam sejarah Islam, kaum Aus dan Khazraj yang berperang dengan senjata pun berjaya didamaikan Nabi Muhammad SAW, mengapa tidak sesama parti politik Islam?

"Namun kalau takdirnya pertembungan antara parti-parti Islam terpaksa berlaku pada PRU15, saya mohon pengundi menilai balik hala tuju setiap parti demi permaslahatan ummah lebih besar," katanya.

HISOMMUDIN

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan pertembungan dua kelompok berbeza dalam Pas pastinya menjadikan sebarang keputusan muktamad untuk merealisasikan kerjasama parti itu dengan UMNO, semakin sukar.

Hal ini kerana beliau percaya Pas kini terbahagi kepada kelompok pro MN yang melihat pertimbangan hujah parti itu mesti berada dalam kerajaan selepas PRU15 atau kelompok ingin mengekalkan posisi Pas sebagai pengantara UMNO dan Bersatu diketuai Presidennya sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Untuk kelompok pro MN, mereka percaya jika Pas kekal bersama PN, beban kini tertanggung di atas bahu parti itu untuk 'memikul' Bersatu dan PN bagi mendepani PRU15, lebih-lebih lagi kekuatan PN sahaja tidak cukup untuk tubuhkan kerajaan secara persendirian.

"Bagi kelompok pro penyatuan ummah, mereka mahu terus bertanding di bawah kekuatan PN, tetapi ingin meminta sedikit ruang daripada UMNO untuk menyetujui rundingan tidak rasmi dalam pengagihan 27 kerusi mampu menang milik PH.

"Itu keputusan berat yang perlu dilakukan oleh Pas. Kalau mereka mengekalkan pendirian penyatuan PN dan MN, sebarang rundingan kerjasama dengan UMNO akan terbatal.

"Namun jika keputusan sebaliknya berlaku, PN dan Bersatu akan hadapi masalah besar mendepani PRU15 kerana tanpa Pas, PN pastinya akan runtuh," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca