SHAH ALAM - Pelbagai manfaat dan kelebihan yang diterima termasuk tidak dikenakan komisen dan bantuan latihan kepada peniaga yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian menerusi platform e-dagang, Pybli.
Ketua Franchise Institute, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Dr Muhamad Hafizi Sulaiman berkata, ia sejajar dengan hasrat untuk menggalakkan usahawan beralih ke arah pendigitalan selain membantu mereka mengembangkan perniagaan.
"Namun yuran komisen yang ada adalah berdasarkaan transaksi dengan pihak institusi kewangan terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Sinar Live yang dikendalikan oleh Hos, Hazwan Mokhtar, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program yang membincangkan topik bertajuk Klik Bersama MYMALL itu turut menampilkan Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Pembiayaan Usahawan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Zalwani Zalkaply.
Beliau menambah, mereka juga boleh menikmati bantuan pemasaran dan latihan secara percuma.
"Tiada yuran dikenakan pada mana-mana usahawan yang berminat untuk mendaftar dan mereka bila-bila masa sahaja boleh mendaftar.
"Ada perniagaan dijalankan di rumah dan kenapa tidak mereka mempromosikan perniagaan di Pybli kerana mereka dibimbing secara percuma," ujarnya.
Menurutnya, peniaga boleh menerima aktiviti dan inisiatif yang ditawarkan Pernas kepada mereka sekiranya mendaftar dalam platform tersebut.
"Sebenarnya inisiatif ini dari masa ke semasa kita pelbagaikan kerana apa yang penting adalah kita mahu usahawan-usahawan ini dapat mempromosikan perniagaan mereka sekali gus dapat menarik perhatian pembeli-pembeli di luar sana," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini lebih 600 usahawan yang mendaftar dalam platform Pybli.
"Kita mensasarkan sebanyak 1,000 lagi peniaga yang mendaftar dalam Pybli pada hujung tahun ini.
"Pernas merupakan satu agensi yang membangunkan industri francis dan sebenarnya peniaga ini mempunyai peluang untuk kembangkan perniagan.
"Berniaga dahulu di platform 'e-commerce' selepas mendapat permintaan mereka boleh kembangkan perniagaan ke arah francis dan Pernas akan ada di situ untuk bantu usahawan," jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca