SHAH ALAM - MyMall menggabungkan empat platform e-dagang membabitkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan WarongKu untuk memudahkan pelanggan dalam talian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - MyMall menggabungkan empat platform e-dagang membabitkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan WarongKu untuk memudahkan pelanggan dalam talian mendapatkan lebih banyak pilihan produk.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Pembiayaan Usahawan, KUSKOP, Zalwani Zalkaply berkata, berkata, gabungan itu juga dapat membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana memperluas pasaran perniagaan mereka menerusi empat platform berkenaan.

"Kita gabungkan (empat platform) supaya pelanggan yang mendaftar di MyMall, mereka akan dapat akses kepada empat platform tersebut.

"Produk yang ada dalam platform tersebut juga boleh diakses pelanggan di platform lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Sinar Live yang dikendalikan oleh Hos, Hazwan Mokhtar, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Zalwani (tengah) ketika menjadi panelis program Sinar Live yang dikendalikan oleh Hos, Hazwan Mokhtar, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Program yang membincangkan topik bertajuk Klik Bersama Mymall itu turut menampilkan Ketua Franchise Institute, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Dr Muhamad Hafizi Sulaiman.

Ujar Zalwani, menerusi gabungan itu dapat mewujudkan pasaran yang lebih luas kepada produk usahawan tempatan serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata, peniaga juga akan dapat mengakses semua inisiatif dan produk yang ditawarkan oleh 11 agensi di bawah KUSKOP.

"Sekiranya ada ditawarkan program latihan maka peniaga dapat akses pada latihan itu.

'Tiada sebarang caj dikenakan dan tiada caj tersembunyi," ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu membantu usahawan supaya dapat menawarkan harga berpatutan kepada pengguna selain memberi peluang pengguna untuk membeli kadar yang sepatutnya.

"Sekiranya pergi ke platform yang dikenakan caj, penjual terpaksa naikkan sedikit harga atau kurangkan margin keuntungan.

"Perkara dan masalah itulah kita cuba ingin selesaikan dengan membantu usahawan ini menerusi MyMall," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan 1,000 peniaga aktif yang berdaftar di bawah MyMall pada akhir tahun ini.

"Pada masa ini kita ada lebih kurang 4,000 usahawan tetapi tu secara 'on' 'off', ada yang berniaga dan ada berniaga apabila perlu.

"Kita nak tambah baik situasi ini untuk penghujung tahun ini sekurang-kurangnya 1,000 peniaga yang betul-betul aktif dalam MyMall.

"Daripada jumlah 4,000 usahawan yang mendaftar itu tadi mungkin peningkatan sebanyak 30 peratus usahawan pada tahun hadapan," jelasnya.

Jelas beliau, selain menawarkan platform e-dagang, pelbagai insentif dan latihan diberikan kepada usahawan berdaftar di bawah MyMall.

"Usahawan dan peniaga boleh rebut peluang ini. Sekiranya bukan usahawan tapi mereka minat dalam bidang keusahawanan juga boleh sertai kami," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca