SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat sekiranya ia tidak sempat diluluskan kerana pembubaran Parlimen.
Pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain menjelaskan, menurut Perkara 55(7) Perlembagaan Persekutuan, sama seperti RUU lain yang dibentangkan, RUU Perbekalan juga akan terluput dalam penggal baharu sekiranya belum diluluskan.
"Hanya RUU yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak terluput disebabkan pemprorogan atau pembubaran Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Wan Ahmad berkata, kandungan bajet baharu yang akan dibentangkan semula itu bagaimanapun bergantung kepada kerajaan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Terserah kepada kerajaan semasa (sama ada menggunakan bajet yang sudah dibentangkan sebelum ini atau baharu),” ujar beliau.
Desas-desus kemungkinan pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang minggu ini meskipun kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 pada petang ini.
Ia susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada minggu lalu menetapkan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk PRU15 diadakan tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kesepakatan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Akan ada pengubahsuaian jika PH menang PRU15
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mungkin akan membuat pengubahsuaian dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, perbincangan berhubung perkara tersebut bagaimanapun masih belum dilakukan kerana pihaknya mahu melihat terlebih dahulu pembentangan usul bajet berkenaan.
"Sekarang kita masih tidak tahu apa isi kandungan Bajet 2023. Kita perlu teliti dahulu, selepas itu baru kita akan bincang. Mungkin terlalu awal untuk saya komen, cuma saya rasa kerajaan ada idea mereka yang tersendiri.
Lih Kang berkata, aspek dasar melibatkan pengubahsuaian tersebut bergantung kepada kandungan Bajet 2023 yang akan dibentangkan hari ini.
"Saya harap Bajet 2023 akan dibentangkan dan dibahaskan dalam Parlimen sebelum dibubarkan sebab ramai orang akan melihat bajet ini dari segi bagaimana kerajaan memimpin negara untuk menghadapi masalah ekonomi, terutama penyusutan nilai wang dan juga pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19. Saya rasa semua orang sedang menunggu.
"Sekiranya pembubaran Parlimen dilakukan sebelum Bajet 2023 dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan, saya rasa ia akan mendatangkan masalah untuk pasaran ekonomi,” ujarnya.
Info bajet:
Situasi Bajet 2023 hampir sama dengan Bajet 2000
Pembentangan Bajet 2023 menjadi antara tumpuan ramai kerana situasinya dilihat menyamai apa yang berlaku pada Bajet 2000.
Ketika itu, Menteri Kewangan I, Tun Daim Zainuddin membentangkan Bajet 2000 pada 23 Oktober 1999.
Bagaimanapun, seminggu selepas itu iaitu pada 29 Oktober 1999, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) dibuat pada 29 November 1999, sebulan selepas Bajet 2000 dibentangkan.
Tindakan itu dilakukan berikutan kemuncak protes jalanan susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan setahun sebelumnya.
Situasi tersebut menyebabkan parti-parti politik diberi hanya sembilan hari untuk berkempen bagi PRU10.
BN berjaya memenangi semua pilihan raya negeri kecuali di Kelantan dan Terengganu.
Situasi sama dijangka berulang pada Bajet 2023 kali ini apabila ramai pihak menjangkakan pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat selepas pembentangan bajet.
Klik di sini untuk terus membaca