SHAH ALAM - Bajet yang dibentangkan kerajaan setiap tahun dilihat tidak lagi berperanan sebagai alat mempengaruhi rakyat dalam membuat keputusan khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berpendapat, majoriti rakyat Malaysia kini sudah berfikiran rasional dan tidak termakan dengan bajet yang dipanggil sebagai ‘gula-gula PRU’.
"Masyarakat Malaysia kini sudah bijak sebab berpendidikan dan memiliki kecelikan politik.
"Mereka boleh membezakan antara agenda bajet bersifat rasional dan yang nampak bagus atas kertas tapi sebenarnya susah untuk dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas mengenai sentimen dan harapan rakyat terhadap Bajet 2023, Kartini berkata, beliau percaya masyarakat rata-ratanya mahu melihat pelaksanaan langkah dan inisiatif yang dapat membantu mereka menghadapi kesan kelembapan ekonomi global pada tahun hadapan.
Menurutnya, ia merangkumi bantuan berbentuk tunai dan tidak langsung, sokongan perniagaan serta penciptaan peluang pekerjaan terutama kepada kumpulan anak muda yang baru menamatkan pengajian.
"Mereka mahukan satu inisiatif yang kalau di luar negara banyak insentif bantuan sama ada kewangan atau tidak langsung. Contohnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan.
"Di samping itu, kita tahu yang kelembapan ekonomi juga akan menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia yang terpaksa menganggur atau dibuang kerja.
"Jadi, kerajaan harus beri insentif untuk bantu dalam hal ini terutamanya kepada golongan muda yang baru habis belajar,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga seharusnya membentuk sebuah pasukan terdiri daripada pelbagai kepakaran untuk membantu mencadangkan sebarang langkah alternatif yang boleh dilaksanakan di dalam negara ketika fasa kelembapan ekonomi.
Katanya, ia termasuk cadangan membantu kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Klik di sini untuk terus membaca