STADIUM Shah Alam dianggap ikon sukan terpenting di negara ini pada era 1990-an. Di sinilah ramai legenda bola sepak bertembung bagi mengesahkan kemasyhuran.
Masa berlalu, Stadium Shah Alam kini menjadi pemandangan yang sangat menjelikkan. Namun, semuanya akan jadi kenangan kerana kerajaan Selangor telah meluluskan dan membenarkan kontraktor yang dilantik untuk merobohkan stadium tersebut.
Keputusan itu sangat tepat dan sesuai dengan keperluan semasa. Sebuah stadium baharu yang sangat canggih perlu dibina, sesuai status Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.
Penulis telah mencadangkan agar kerajaan Selangor merobohkan Stadium Shah Alam, bukan membaikinya semula dalam ruangan ini pada 15 Julai lalu.
Penulis juga bersetuju dengan reka bentuk stadium baharu yang menjurus kepada konsep rekreasi hijau, bertujuan menyelesaikan isu semasa dan masalah lalu-lintas di kawasan persekitaran.
Reka bentuk stadium dengan konsep indoor field bakal membolehkan penonton terasa lebih dekat dengan padang dilengkapi sistem pengairan kelas dunia.
Tidak seperti yang lama, jumlah penonton untuk stadium baharu kira-kira 45,000 orang. Penulis menjangkakan konsep hibrid dan reka bentuk sistem ‘padang boleh alih’ pelbagai guna akan menaikkan semula nama Stadium Shah Alam. Paling penting, ia menepati spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membolehkan ia menjadi kandang pertembungan kejohanan kelas dunia.
Namun, penulis lebih tertarik dengan impian Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Norita Mohd Sidek yang mahu memastikan pembinaan stadium seiring teknologi terkini bagi menjadikan ia state-of-the-art technology dibangunkan anak tempatan, dengan kerjasama syarikat teknologi tinggi.
Antara teknologi yang bakal dicetuskan kali ini termasuk enjin kecerdasan buatan atau artificial intelligence engine (AIE), sistem bangunan pintar atau smart building system (SBS) dan sistem pembinaan bersepadu atau integrated building system (IBS) menggunakan bahan tempatan.
Stadium itu juga menyaksikan konsep penggunaan proses pembinaan bangunan bersepadu digital atau digital integrated building construction (DIBC) disulami aplikasi reka bentuk bantuan komputer atau computer aided design (CAD), kejuruteraan bantuan komputer atau computer aided engineering (CAE), realiti bantuan video atau video aided reality (VAR), realiti bantuan tambahan atau augmented aided reality (AAR), pembinaan bantuan komputer atau computer aided construction (CAC) serta aplikasi perkhidmatan dan penyelenggaraan bantuan komputer atau computer aided services and maintenance (CAS and M).
Penulis yakin ramai pakar jurutera, teknologis dan pengurus mahir bakal dilahirkan rentetan pembinaan stadium baharu. Sudah pasti ia juga akan mewujudkan kira-kira 3,000 jawatan baharu kepada rakyat tempatan.
Penulis percaya bidang pekerjaan utama yang bakal terlibat termasuk kejuruteraan seni bina, reka bentuk dalaman, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, kejuruteraan sivil dan struktur, kejuruteraan bahan, kejuruteraan alam sekitar, tenaga lestari dan kejuruteraan mekatronik.
Pembinaan stadium baharu juga pasti menjurus kepada bidang kejuruteraan sukan, pembangunan aplikasi dan kandungan, kejuruteraan kecerdasan buatan, perantara muka manusia-mesin (human-machine interface), seni reka dan bentuk, teknologi komunikasi dan informasi, pengurusan projek, kejuruteraan sistem, pengurusan trafik, data raya, internet perindustrian perkara, pemasaran digital, sains sosial dan beberapa bidang terkini.
Islam sebenarnya bukan sekadar ibadah semata-mata. Aspek kesukanan dan latihan kemahiran juga dititik berat sebagaimana dinyatakan dalam surah Ar-Ruum (ayat 30:37-40).
Penulis difahamkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) turut menawarkan kerjasama membentuk pusat kecemerlangan inovasi dengan kerjasama rakan industri terpilih.
Stadium itu perlu melahirkan lebih ramai pakar profesional mengguna konsep latihan berasaskan projek atau project-based training (PBT) dan latihan berasaskan kemahiran tersuai atau customized skills-based training (CSBT).
Sebenarnya penulis sangat teruja dengan keputusan bijak diambil Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menepati aspirasi Selangor Maju 2030.
Lebih daripada itu, Selangor perlu menjadikan stadium baharu yang canggih itu sebagai titik permulaan untuk kebangkitan Merah-Kuning. Pasukan bola sepak Selangor pernah dianggap gergasi bola sepak Malaysia.
Suatu ketika dahulu, Selangor sinonim dengan pasukan kebangsaan Malaysia kerana memiliki barisan pemain handalan. Kesimpulannya, stadium baharu itu perlukan sentuhan canggih demi maruah bola sepak Malaysia!
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).
Klik di sini untuk terus membaca