DIPLOMASI Bahasa dan Kebudayaan (DBK) merujuk aktiviti-aktiviti diplomasi yang berasaskan elemen-elemen kebudayaan. Ia juga dirujuk sebagai ‘hubungan rakyat-kepada-rakyat’ dan ‘teras sosio-budaya’ dalam dasar luar serta ‘soft power’.
Negara-negara mempunyai DBK yang mantap lazimnya menjadikan kementerian luarnya sebagai peneraju, contohnya Indonesia (bermula pada 2003) dan Korea Selatan (bermula 1998).
Malaysia baru bermula iaitu melalui salah satu fokus baharu dalam ‘Kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia dalam Dunia Pasca Pandemik’ yang diluncur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember 2021.
Tidak bermakna sebelum ini langsung tiada aktiviti DBK. Ada tetapi dilaksanakan masing-masing – kementerian/agensi secara silo. Kini diharapkan ia dilaksanakan dengan lebih terancang dan sistematik.
DBK bermatlamat mempromosi dan berkongsi identiti Malaysia di pentas antarabangsa iaitu sebagai satu daripada strategi perjuangan menegakkan dunia yang aman, adil, makmur serta mampan.
Ia melibatkan kebudayaan secara holistik iaitu falsafah, pemikiran, cara hidup dan seni-budaya (warisan, seni, media dan kreativiti).
Pada 28 September hingga 1 Oktober lalu, saya telah menggerakkan program sulung DBK di Berlin dan Frankfurt, Jerman. Ia sebagai pengiktirafan kepada satu aktiviti yang telah berjalan di Frankfurt selama 18 tahun iaitu Festival Makanan Malaysia, anjuran Kelab Malaysia Jerman (MCD), pimpinan Presidennya, Rosita Rahman Heilek yang merayakan ulang tahun ke-25 pada tahun ini.
Festival makanan itu diterajui Cef Datuk Ismail Ahmad dan diserikan dengan persembahan muzik serta tarian, sumbangan Majlis Kesenian Sarawak.
Sepanjang program, saya menghadiri dua kuliah tentang ‘Penyatuan Sosial’ oleh Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin (di Institut Diplomasi Kebudayaan dan bersama Universiti Goethe), berbicara dalam dua Sidang Meja Bulat tentang ‘Kerukunan hidup bersama dalam budaya damai’ bersama Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Dr Adina Kamaruddin berserta pembicara-pembicara tempatan (di Institut Pengajian Strategik Antarabangsa dan Institut Penyelidikan Keamanan).
Selain itu, terdapat juga perbincangan tentang Pendanaan Politik dengan ahli-ahli Parlimen Jerman, perbincangan tentang langkah-langkah memerangi rasuah (di Transparency International Global) dan perbincangan meningkatkan partisipasi Malaysia di Festival Buku Frankfurt (di House of Books).
Program tersebut dibuka dengan mesyuarat dua hala antara saya dengan Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock pada 29 September (di Berlin) dan ditutup dengan menghadiri Majlis Resepsi Sambutan Hari Penyatuan Jerman pada 4 Oktober (di Kuala Lumpur).
Bagi pelaksanaan DBK yang sepenuhnya, Kementerian Luar Negeri telah mencadangkan diwujudkan jawatan Atase Kebudayaan di pejabat-pejabat perwakilan kita, terdiri daripada pegawai-pegawai kementerian berkaitan (pelancongan dan kebudayaan, komunikasi dan multimedia, pendidikan dan pengajian tinggi).
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca