SEMASA saya berpindah dan menetap di Semenyih, Selangor kira-kira 15 tahun lalu, Semenyih hanyalah sebuah penempatan pinggir bandar yang tenang.
Cuma ada sebuah pasar raya di Pekan Semenyih. Waktu malam jalan raya lengang seawal jam 9.
Kini keadaan sudah jauh berubah. Semakin banyak kawasan perumahan mewah dibuka. Jalan-jalan kian sibuk dan sesak. Penduduknya sudah mencecah 100,000 orang.
Kalau anda membayangkan kompleks beli-belah seperti MidValley Megamall dan Pavilion hanya ada di Kuala Lumpur, anda silap.
Setia EcoHill Mall baru sahaja dibuka di Semenyih – sebuah pusat beli-belah mewah dengan seni bina futuristik. Dari satu segi, untunglah orang Semenyih kerana tak perlu memandu jauh-jauh untuk membeli-belah.
Ironinya, pusat beli-belah itu cuma terletak satu kilometer dari Taman Pelangi Semenyih, tempat seekor harimau kumbang masuk ke beranda rumah penduduk pada siang hari minggu lalu.
Dalam insiden petang Jumaat itu, penghuni rumah teres berkenaan terkejut apabila mendengar ngauman harimau di ruang letak kereta.
Dia kemudian menjenguk ke luar tingkap dan tergamam melihat kelibat seekor haiwan besar berwarna hitam. Haiwan dianggarkan seberat 45 kilogram itu kemudian ditangkap pihak bomba dan Jabatan Perhilitan.
Harimau kumbang atau popular dengan panggilan Black Panther adalah haiwan dilindungi di Malaysia dan telah diletakkan di bawah Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.
Badan yang hitam berkilat dengan tompok hitam merupakan ciri utama bagi harimau kumbang di hutan hujan berbanding harimau kumbang berwarna keemasan di padang pasir.
Cerita harimau kumbang masuk kampung dan menyerang haiwan ternakan selalu dilaporkan. Pada November 2020 misalnya, dua ekor lembu di Seri Menanti, Negeri Sembilan mati dibaham seekor harimau kumbang seberat 47 kilogram.
Jun lalu pula, seekor harimau kumbang jantan seberat 60 kilogram yang berkeliaran di pinggir Kampung Peruang, Lipis, Pahang berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat lain.
Namun begitu, cerita harimau kumbang masuk bandar, apatah lagi masuk rumah orang, jarang benar didengar di negara kita.
Kalau haiwan liar seperti monyet mengganggu penduduk di bandar, itu banyak. Ular masuk rumah juga sering berlaku.
Malah, pernah juga seekor babi hutan masuk ke pusat beli-belah Alamanda Putrajaya pada Disember 2020.
Sehari selepas harimau kumbang masuk rumah penduduk di Semenyih itu, ular sawa seberat 20 kilogram pula dijumpai melingkar di dalam mesin basuh kedai dobi layan diri di Johor Bahru.
Kisah harimau kumbang masuk rumah memang ‘menarik’ tetapi kita seharusnya bimbang tentang kemungkinan hutan setempat telah dicerobohi.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail menganggap kejadian tersebut amat merisaukan.
Hidupan liar tersesat dan mula beradaptasi dengan penempatan manusia adalah petunjuk habitatnya di hutan mungkin telah dicerobohi.
Hidupan liar tidak akan masuk ke kawasan tempat tinggal manusia kecuali habitat asal mereka mengecil yang menyebabkan ruang legar mereka berkurang dan tiada sumber makanan, katanya.
Semenyih yang terkenal aktiviti mendaki Bukit Broga, terletak kira-kira 40 kilometer sahaja ke tenggara Kuala Lumpur. Dengan pertambahan mendadak populasi, hampir mustahil kawasan berkenaan tidak dibangunkan.
Pembangunan bererti lebih banyak tanah di Semenyih yang suatu ketika menghijau dengan pokok getah, kelapa sawit dan hutan belukar, ditarah serta diratakan.
Kehadiran harimau kumbang itu hakikatnya adalah satu amaran. Harimau takkan masuk kawasan manusia jika habitat asalnya tidak diganggu.
Andai sesuatu tidak dilakukan, jangan terkejut kalau pusat beli-belah yang gah di Semenyih akan ‘dikunjungi’ haiwan liar tersebut.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca