PADA Rabu lalu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) membuat keputusan untuk memotong pengeluaran bekalan minyak mentah di pasaran dunia dengan memotong sebanyak dua juta tong sehari mulai bulan depan.
Keputusan untuk memotong bekalan itu dibuat pada mesyuarat menteri-menteri OPEC yang diadakan di Vienna, Austria dengan alasan berlaku ketidakpastian yang menyelubungi prospek ekonomi dan pasaran minyak global.
Ia juga dibuat selepas beberapa bulan Rusia diterima menjadi salah satu anggota OPEC yang sebelum ini ditubuhkan pada tahun 2016 dengan keanggotaannya terdiri daripada 13 ahli pertubuhan petroleum itu bersama 11 lagi ahli bukan OPEC yang lain.
Implikasi daripada pemotongan bekalan itu yang dianggap terbesar sejak kemuncak pendemik Covid-19 pada tahun 2020 ialah terdapat kebimbangan bahawa ia boleh memacu inflasi dengan lebih jauh dan mendorong bank-bank pusat untuk menaikkan lagi kadar faedah.
Harga minyak telah merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini tetapi komoditi tersebut kembali ke paras sebelum perang Ukraine berlaku berikutan kebimbangan kelembapan global namun ia telah melonjak dalam beberapa hari kebelakangan ini berikutan jangkaan pengurangan pengeluaran.
Kontrak minyak mentah antarabangsa utama iaitu Brent melonjak sebanyak dua peratus pada Rabu lalu berikutan keputusan itu sebelum ia ditutup pada AS$93.37 (RM432.86) setong.
Pada sidang akhbar yang diadakan di Austria pada Rabu lalu, seorang wartawan stesen penyiaran CNBC dari Amerika Syarikat (AS), Hadley Gamble mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman pada sidang akhbar di Austria tentang motif kenaikan harga minyak tersebut.
"Adakah anda menggunakan tenaga sebagai senjata?" tanya Gamble kepada Putera Abdulaziz.
Wartawan itu mengemukakan persoalan itu kerana Rusia merupakan anggota OPEC dan kini terlibat dengan peperangan di Ukraine.
Namun, Menteri Arab Saudi menjawab bahawa ia merupakan soalan yang sangat provokatif yang saya suka menjawabnya sebelum berkata: "Tunjukkan kepada saya di manakah perbuatan melawan (menaikkan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa).
Pada sidang akhbar itu juga, Setiausaha Agung OPEC, Haitham Al Ghais menambah bahawa pakatan itu tidak mengancam pasaran tenaga dengan menyatakan: "Kami menyediakan keselamatan, kestabilan kepada pasaran tenaga. Semuanya ada harga, keselamatan tenaga juga ada harga."
TEGURAN
Bagaimanapun, keputusan itu mendapat teguran daripada Presiden AS, Joe Biden yang sebelum ini telah membuat lawatan kontroversi ke Arab Saudi pada Julai lalu ketika rakyatnya menghadapi kenaikan harga petrol dan diesel.
Waktu kenaikan itu juga dianggap tidak sesuai untuk agenda politik Presiden AS kerana ia berlaku ketika pilihan raya separuh penggal diadakan pada bulan depan apabila Penasihat Keselamatan Washington, Jake Sullivan dan penasihat ekonomi tertinggi, Brian Deese berkata dalam satu kenyataan bahawa Biden kecewa dengan keputusan OPEC tersebut.
Sejak tentera Rusia menyerang Ukraine pada Februari lalu, sekutu-sekutu Barat yang diketuai AS telah cuba untuk mengasingkan ekonomi Rusia yang banyak bergantung kepada eksport tenaga sebagai tindakan balas terhadap tindakan Moscow tersebut.
Harga bahan api yang lebih tinggi telah menjejaskan kedudukan Biden pada tahun ini.
Tidak seperti inflasi yang lain, harga bahan pada kebiasaanya terpampang pada papan-papan tanda besar di stesen minyak manakala dalam kebanyakan kes, para pemandu tidak mempunyai pilihan selain daripada membayar untuk mengisi petrol atau diesel ke dalam tangki kenderaan masing-masing.
Harga petrol pernah mencecah sehingga AS$5.02 (RM23.27) satu gelen atau 3.71 liter di AS pada Jun lalu manakala harga minyak mentah pernah melonjak melebihi AS$100 (RM463.60) semasa awal pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.
Rumah Putih turut berkata, Biden mengarahkan sebanyak 10 juta tong akan diletakkan ke dalam pasaran pada bulan depan dalam usaha untuk mengurangkan harga walaupun simpanan bahan komoditi tersebut kini berada pada paras terendah sejak Julai 1984.
Kenaikan harga itu juga sebelum ini menyaksikan syarikat minyak Arab Saudi, Aramco mengatasi Apple sebagai syarikat paling berharga di dunia.
Arab Saudi juga dijangka menjadi salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia pada tahun ini dan menggunakan kekayaan minyaknya untuk meneruskan pembaharuan pro-perniagaan dan projek mega seperti bandar raya Neom yang direka untuk melepaskan negara diarja berkenaan daripada bergantung kepada petroleum.
Namun, apa yang pasti ialah AS gagal dalam usaha-usaha terakhirnya untuk meyakinkan ahli-ahli OPEC untuk mengundi bagi menentang cadangan pengurangan pengeluaran minyak mentah pada mesyuarat yang diadakan pada Rabu di Vienna. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca