SHAH ALAM - Kerajaan dijangka memulakan agenda rasionalisasi subsidi negara pada Bajet 2023 sebagai salah satu usaha penting bagi mendepani cabaran ekonomi dunia yang dianggarkan semakin memburuk tahun hadapan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, dengan saiz Bajet 2023 masih lagi bersifat mengembang tetapi nilai perbelanjaannya tidaklah sebesar yang dilihat sebelum ini, pihaknya menjangkakan defisit fiskal negara akan dikurangkan sedikit ke paras 5.6 peratus tahun hadapan.
Oleh demikian, beliau menjangkakan kerajaan bakal memastikan hasil negara bertambah lagi melalui hasil petroleum dan penambahbaikan hasil cukai tidak langsung.
"Perbelanjaan negara akan diteliti semula terutamanya dari aspek subsidi. Sekurang-kurangnya, rasionalisasi subsidi pada Bajet 2023 kelak akan dimulakan dengan mengapungkan harga minyak semula sebagaimana dibuat kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Untuk pengenalan semula cukai ala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia akan diperhalusi lagi sebagai implementasi pada belanjawan tahun mendatang atau di penghujung Bajet 2023. Hasil cukai langsung pula akan ditambah melalui hasil cukai makmur yang diperkenalkan tahun lepas,” katanya kepada Sinar Premium.
Firdaos turut mendedahkan Bajet 2023 semestinya akan menjadi bajet terakhir dalam kitaran politik ketika ini, sama ada PRU15 berlangsung pada tahun ini atau sebaliknya.
"Ini bermaksud perbelanjaan kerajaan juga akan bertambah bagi membolehkan rakyat terus berbelanja walaupun berhadapan cabaran ekonomi luaran, peningkatan kadar inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR), pengurangan pendapatan dan kadar pengangguran agak perlahan akibat pandemik Covid-19.
"Oleh demikian, tekanan posisi fiskal negara akan meningkat apabila hasil kerajaan yang tidak selari dengan perkembangan ekonominya. Ini bukan cabaran baharu, tetapi perlu dibaik pulih akibat daripada penghapusan GST pada 2018.
"Justeru, kerajaan akan menekankan inisiatif-inisiatif lain yang bertemakan 'reset ekonomi' seperti yang dihuraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Inisiatif ini penting bagi memastikan kadar pertumbuhan KDNK pasca pandemik yang mampan, mampu memajukan dasar fiskal negara yang selari dengan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Dengan Bank Islam menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.5 peratus, dengan kadar pengangguran pada 3.4 peratus dan kadar inflasi pada 2.1 peratus pada tahun 2023, Firdaos turut yakin formulasi Bajet 2023 adalah sistematik dan boleh jangka.
Hal ini berdasarkan pandangan beliau bahawa prosedur persediaan bajet negara sudah bermula pada awal tahun dengan sempadan formulasi bajet juga bergantung kepada sasaran-sasaran makroekonomi yang dihuraikan dalam RMK-12.
"Walau bagaimanapun, kerajaan boleh ubah kepentingan sesuatu bajet untuk memastikan sasaran jangka masa panjang kita kekal apabila ada kejutan ekonomi – sama ada diramal ataupun tidak.
"Kejutan ekonomi ini boleh berlaku daripada aspek luaran ataupun dalaman. Inilah yang membuatkan persediaan bajet ini menjadi lebih kompleks, terutamanya apabila unjuran ekonomi luar menjadi tidak menentu dan sangat dinamik seperti hari ini. Aspek politik dalaman juga menyukarkan lagi cabaran ini.
"Ketidakstabilan politik adalah perkara biasa untuk kebanyakan negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Saya rasa impaknya terhadap formulasi bajet negara adalah hanya secara tidak langsung,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca