DHAKA - Sebahagian besar Bangladesh termasuk bandar utamanya, Dhaka terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus pada Selasa.
Menurut syarikat utiliti kerajaan, gangguan tersebut berlaku sekitar jam 2 petang (waktu tempatan) selepas kegagalan grid yang menyebabkan kira-kira 75 hingga 80 peratus kawasan negara Asia Selatan itu lumpuh.
Menurut pegawai Lembaga Pembangunan Tenaga Bangladesh (BPDB), Shameem Hasan, gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan kira-kira 130 juta penduduk dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan punca kejadian tersebut.
Namun jelasnya, bekalan elektrik telah kembali pulih di 45 peratus kawasan yang terjejas menjelang sebelah malam.
"Buat masa ini BPDB menyalurkan sekitar 4,500 megawatt (mw) kuasa, berbanding permintaan seluruh negara sebanyak 14,200mw.
"Kami tidak menolak kemungkinan kerosakan teknikal menyebabkan gangguan. Apa pun, kami masih menyiasat punca di sebalik pemadaman tidak berjadual ini,” ujar Shameem.
Bangladesh menjana sebahagian besar elektriknya daripada gas asli, tiga perempat daripadanya diimport.
Pada Julai lalu, BPDB telah menutup semua loji janakuasa menggunakan diesel di negara itu yang menyumbang kira-kira enam peratus daripada penjanaan elektrik Bangladesh kerana peningkatan kos import bahan api.
Negara itu telah berdepan dengan masalah bekalan elektrik yang kerap terputus tahun ini kerana ketidakupayaannya untuk menangani permintaan tenaga yang lebih tinggi.
Kerajaan Bangladesh turut mencatu bekalan gas di tengah-tengah harga global yang tinggi yang didorong oleh perang Rusia di Ukraine.
Menurut data kerajaan, lebih satu pertiga daripada 77 unit berkuasa gas negara kekurangan bahan api.
Langkah penjimatan
Sejak Ogos lalu, Bangladesh menutup sekolah untuk satu hari tambahan dalam seminggu dan mengurangkan masa pejabat selama sejam untuk menjimatkan elektrik susulan penutupan loji kuasa dieselnya.
Sekolah biasanya dibuka enam hari seminggu dan ditutup setiap Jumaat tetapi Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa penutupan turut berlaku pada Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Kabinet, Khandker Anwarul Islam memaklumkan bahawa agensi kerajaan dan bank telah diarah mengurangkan waktu operasi mereka kepada hanya tujuh jam sehari.
Bagaimanapun katanya, pejabat swasta akan dibenarkan menetapkan waktu operasi mereka sendiri.
"Pejabat kerajaan akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 3 petang dan bukannya seperti waktu biasa iaitu jam 9 pagi hingga 5 petang.
"Bank pula akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan kerajaan juga telah mengumumkan cuti mingguan berperingkat untuk kilang-kilang bagi menjimatkan kuasa,” ujar Khandker Anwarul.
Tambahnya, kerajaan akan terus membekalkan kuasa kepada kampung-kampung termasuk pada waktu awal pagi.
Cetus protes
Awal bulan lalu, polis menembak mati seorang penunjuk perasaan yang berhimpun di daerah Narayanganj bagi membantah catuan bekalan elektrik serta kenaikan harga makanan.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan disertai sekitar 5,000 orang.
"Polis menggunakan belantan dan melepaskan tembakan semasa cuba menyuraikan perhimpunan.
"Akibatnya, salah seorang aktivis belia kami ditembak mati,” kata jurucakap BNP, Shakhawat Hossain.
Polis mengesahkan kematian itu kepada AFP tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Seorang doktor di hospital Dhaka memberitahu AFP lelaki berusia 25 tahun itu telah dibawa ke wad kecemasan dan meninggal dunia akibat luka tembakan.
"Mangsa telah ditembak di dada,” kata doktor tersebut sambil menambah 20 penunjuk perasaan lain juga menerima rawatan akibat luka tembakan. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca