SHAH ALAM - Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kuasa kepada SPR untuk menutup pusat mengundi yang terlibat dengan bencana banjir, sekali gus menangguhkan proses pengundian kepada suatu masa lain yang ditetapkan.
Berikutan itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan, faktor banjir yang dijadikan alasan menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini, adalah tidak adil kepada negara dan rakyat yang memerlukan kestabilan untuk menjana hala tuju masa depan lebih baik.
Jelas beliau, jika berlaku sekali pun banjir atau air bah menaiki kawasan pusat mengundi tertentu di seluruh negara, tiada sebab perkara itu dirisaukan kerana semua peraturan dan tatacara proses penutupan peti undi yang tertangguh kelak, telah dijelaskan dalam peruntukan khas di bawah Akta SPR berkaitan.
"Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 memberi kuasa kepada SPR untuk menutup pusat mengundi yang terlibat banjir bagi membolehkan proses pengundian ditangguh. SPR kemudiannya akan menetapkan satu hari lain bagi menyambung proses pengundian.
"Ini perkara biasa mudah dilaksanakan kerana semua peraturan dan tatacara proses penutupan peti undi tertangguh telah dijelaskan dalam Akta SPR. Setiap ketua tempat pengundi dan petugas SPR juga sudah diberi latihan cukup.
"Seterusnya, tatacara kerja menyambung semula proses mengundi pada hari lain yang ditetapkan juga disediakan. SPR cukup berpengalaman berdepan situasi itu.
"Buktinya PRU11 pada tahun 1999 pernah dibuat bulan November, namun proses pengundian berjalan lancar di seluruh negara," ujarnya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan sebahagian besar pemimpin pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) yang menolak cadangan pelaksanaan PRU15 pada tahun ini kerana dibimbangi diadakan serentak dengan musim banjir.
Hal ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengunjurkan fasa peralihan monsun yang bermula pada 3 Oktober lalu dan berakhir pada penghujung bulan November, dijangka akan memberi impak banjir yang agak serius.
Sebelum itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Top 5 UMNO bersetuju menetapkan PRU15 perlu diadakan pada tahun ini, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka memohon pembubaran Parlimen selepas usul pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad menyifatkan tanggapan Perdana Menteri daripada UMNO tidak berhak membuat keputusan untuk memohon pembubaran Parlimen kerana hanya memiliki 39 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, adalah tidak relevan dan tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, urusan memanggil PRU adalah kuasa mutlak Perdana Menteri untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, dengan terserah kepada Perdana Menteri untuk menasihati cadangan pembubaran Parlimen dan hak Seri Paduka Baginda sama ada bersetuju memperkenankan atau menolaknya.
"Di bawah sistem demokrasi diamalkan, semua pihak wajar menghormati kuasa diberi kepada Perdana Menteri di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Hakikatnya, negara kita memerlukan PRU disegerakan bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
"Melalui PRU, sebuah kerajaan baharu mempunyai legitimasi akan dapat dizahirkan. Melalui PRU, rakyat berpeluang menentukan sebuah pemerintahan baharu dengan barisan Jemaah Menteri baharu, dasar dan hala tuju pemerintahan baharu demi kebaikan masa depan rakyat dan kemajuan negara.
"Lagi lama PRU15 ditangguh, negara akan terus diterajui oleh sebuah kerajaan rapuh dan negara tidak stabil. Kehidupan rakyat tidak banyak berubah dan ketidakstabilan negara berterusan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca