SHAH ALAM - Teka-teki tarikh pembubaran Parlimen kini kembali 'dipanaskan' Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila beliau mendedahkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal akan dibentang dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Teka-teki tarikh pembubaran Parlimen kini kembali 'dipanaskan' Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila beliau mendedahkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal akan dibentang dalam sidang Parlimen pada kali ini.

Pendedahan Tengku Zafrul itu mencetuskan reaksi bercampur sebilangan ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang, susulan spekulasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal memohon pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong selepas usul Bajet 2023 dibentangkan, kian kuat diperkatakan.

Bagaimanapun, Bendahari UMNO Selangor itu hanya tersenyum sinis mendengar reaksi ahli-ahli Parlimen dan meneruskan ucapan penerangan keperluan RUU Tanggungjawab Fiskal dibentangkan dalam sidang Parlimen.

Kenyataan Tengku Zafrul itu juga seolah-olah memberi isyarat sidang Parlimen yang berlangsung ketika ini mungkin akan berlangsung seperti biasa dengan keputusan pembubaran Parlimen berkemungkinan berlaku selepas usul Bajet 2023 diluluskan kelak.

"Seperti diumumkan Bajet 2022, kerajaan bercadang memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara.

"Pelbagai sesi libat urus diadakan untuk memastikan penggubalan FRA yang komprehensif dan memenuhi matlamat membina semula daya tahan fiskal negara dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.

"Insya-ALLAH, sukacita saya maklumkan bahawa sekiranya tiada aral, RUU Tanggungjawab Fiskal 2022 akan dibentangkan pada mesyuarat (Dewan Rakyat) ini juga," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

TENGKU ZAFRUL

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut menjelaskan Bajet 2022 asalnya diperuntukkan RM332 bilion dengan sasaran defisit enam peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan mengambil langkah responsif dengan mengawal harga barang serta menambah baik subsidi barangan pengguna ekoran tekanan inflasi global dan peningkatan harga komoditi seluruh dunia.

"Demi melindungi Keluarga Malaysia, peruntukan bagi tanggungan, bantuan dan subsidi melonjak naik daripada RM31 bilion kepada RM77.7 bilion.

"Namun, kerajaan kekal bertanggungjawab menguruskan kewangan negara supaya perbelanjaan tambahan dipadankan dengan hasil tambahan atau penjimatan perbelanjaan lain. Dengan itu, kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan paras defisit kepada 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022.

"Dengan jangkaan kutipan hasil RM272.6 bilion, defisit fiskal 2023 diunjur berkurang kepada 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.8 peratus tahun 2022.

"Berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurang kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca