BAJET 2023 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Bersama selamat dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat dengan menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion untuk bajet kali ini.... Klik di sini untuk terus membaca

BAJET 2023 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Bersama selamat dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat dengan menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion untuk bajet kali ini.

Mengatasi Bajet 2022 bernilai RM332 bilion dan Bajet 2021 berjumlah RM322 bilion, Bajet 2023 menyediakan RM272.3 bilion bagi belanja mengurus, RM95 bilion untuk belanja pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 manakala sejumlah RM2 bilion disediakan sebagai Simpanan Luar Jangka.

Berpandukan 3R iaitu Responsive, Responsible, Reformist atau responsif, bertanggungjawab dan reformis, Bajet 2023 diharap dapat memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Seperti bajet terdahulu, Bajet 2023 yang mengutamakan rakyat ini turut tidak ketinggalan menampilkan pelbagai bentuk bantuan untuk cuba memenuhi keperluan dan kebajikan pelbagai golongan sasar dalam kalangan lebih 32 juta rakyat Malaysia.

Berikut antara beberapa golongan yang mendapat perhatian dalam Bajet 2023:

1. Golongan susah dan miskin tegar

Dengan peruntukan RM2.5 bilion bagi tahun 2023, peningkatan signifikan berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2020, lebih 450,000 isi rumah layak menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selari komitmen meluaskan syarat kelayakan penerima bantuan kebajikan selaras dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu RM1,169.

Untuk rekod, JKM telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan bulanan kepada golongan miskin seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-kanak serta Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar.

Terdahulu, kerajaan juga telah memberi subsidi bil elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah miskin tegar di bawah senarai e-Kasih.

Dan bermula 2023, pemberian subsidi bil elektrik sehingga RM40 akan diperluas mengikut PGK Makanan iaitu isi rumah berpendapatan RM1,169 ringgit ke bawah berbanding syarat semasa RM980 ke bawah.

Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan hanya RM150 juta . Untuk tahun 2023, bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC bernilai RM250 juta.

Program ini akan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 50 ribu isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatan antaranya menerusi projek pertanian serta keusahawanan produk dan perkhidmatan.

Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan. Diharapkan, usaha ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar sehingga melepasi pendapatan garis kemiskinan makanan.

2. Golongan B40

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik. Untuk BKM 2023, ia bakal memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion berbanding Bantuan Sara Hidup 2020 dengan lima juta penerima dan peruntukan RM5 bilion.

Untuk tahun hadapan, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.

Ia merupakan kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak.

Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000. Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.

Warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

Untuk tahun 2023, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.

Keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah JKM dan BKM untuk tahun 2023 akan melebihi RM10 bilion.

3. Golongan M40

Bajet 2023 tidak meminggirkan golongan isi rumah kumpulan pertengahan M40. Buktinya, hampir satu juta pembayar cukai, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 hingga RM100,000 iaitu:

Pertama : Banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000 , kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus.

Kedua: Banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000, kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus.

Pada masa yang sama, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25 peratus.

Dengan layanan khas cukai pendapatan ini, penjimatan cukai kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1,000 dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250. Ini bermakna, dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh rakyat.

Dalam pada tu, inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000. Dianggarkan, seramai lapan juta individu layak menuntut kredit ini dengan peruntukan disediakan RM800 juta.

4. Golongan wanita dan kanak-kanak

Bagi memastikan dasar yang direncana mengambil kira kepentingan gender, Gender Focal Team akan diwujudkan di setiap kementerian dan agensi.

Lulusnya Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 menandakan komitmen tegas menoktahkan segala bentuk gangguan seksual di samping meningkatkan kesedaran semua agar tindakan ini tidak lagi dinormalisasi. Bagi menzahirkan usaha ini, Tribunal Antigangguan Seksual akan ditubuhkan pada 2023.

Untuk menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Sosial Setempat akan diperkukuh.

Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling. Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO dan pusat perlindungan seperti P.S. The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2012-2016, kanser payudara merupakan bentuk kanser utama dalam kalangan wanita yang menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kes. Tahun hadapan, Kerajaan akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta.

Bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat.

Untuk terus memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Akhir sekali, bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

Kerajaan turut menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau Kemas..

Ini termasuk pembinaan 10 buah taska Kemas termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan.

Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang memberikan pendidikan awal anak-anak, kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar.

5. Golongan belia

Mewakili lebih seperempat populasi negara, kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11 peratus setakat suku kedua 2022.

Bagi memastikan anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya, kerajaan akan menyediakan insentif penggajian di bawah Perkeso kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan. Insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.

Dan untuk menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.

Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana RM50 juta akan menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck.

Seterusnya, bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan p-hailing, kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan p-hailing di bawah program MyPSV.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

Tidak cukup dengan itu, bagi menggalakkan lagi belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 untuk tempoh tiga bulan.

Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023.

Inisiatif e-Pemula tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada belia dan atas komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada RM200 untuk manfaat dua juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan RM400 juta.

Klik di sini untuk terus membaca