SHAH ALAM - Usul pembentangan Bajet 2023 seolah-olah sekadar menjadi 'panadol' kerajaan untuk mengurangkan kegusaran rakyat tanpa menyelesaikan permasalahan pokok yang lebih meruncing.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sekali pandang, beliau tidak dapat melihat inti pati Bajet 2023 benar-benar mencakupi usaha menangani isu-isu struktur seperti masalah perbekalan dan sekuriti makanan negara, kadar upah pekerja, isu inflasi dan kenaikan harga perumahan di seluruh negara.
Ulas beliau, bajet kali ini juga tidak memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menangani isu struktur dan masalah pokok yang lebih mendesak dari sudut jangka masa sederhana dan panjang.
"Bajet ini seolah-olah sekadar menjadi 'panadol' untuk mengurangkan pening kepala rakyat. Mungkin boleh mengawal kadar inflasi, tetapi adakah ia boleh menurunkan harga barang atau menenangkan rakyat secara jangka masa panjang?
"Panadol sebenarnya tidak pulihkan penyakit sebenar dan lama-kelamaan akan beri kesan buruk kepada rakyat.
"Kalau setiap tahun belanjawan dibentangkan sekadar untuk menenangkan hati rakyat tanpa menyelesaikan masalah pokok, ia akan berterusan memberi implikasi negatif kepada kerajaan dan sampai masa boleh menyebabkan negara berdepan masalah kekangan kewangan," katanya kepada media pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas inti pati usul Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan nilai keseluruhannya berjumlah RM372.3 juta.
Nilai itu sekali gus menjadikan peruntukan Bajet 2023 adalah paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan negara, mengatasi nilai RM332.1 bilion pada tahun 2022 dan RM322.5 bilion (2021).
Daripada keseluruhan peruntukan Bajet 2023, sejumlah RM272.3 bilion disediakan bagi belanja mengurus, RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, RM95 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.
Mengulas lanjut, Rafizi turut menyuarakan pandangan mengejutkan apabila mendakwa nilai Bajet 2023 sebenarnya bersifat lebih mengecil berbanding Bajet 2022, walaupun pada luarannya memperuntukkan nilai lebih besar.
Jelasnya, Bajet 2022 sekiranya mengambil kira penambahan jumlah peruntukan subsidi tambahan negara berjumlah RM77 bilion, sebenarnya mencakupi nilai sebenar RM385 bilion, walaupun ramai berpandangan Bajet 2023 bersifat belanjawan Pilihan Raya Umum (PRU).
"Walaupun Bajet 2023 secara luarannya dilihat paling tinggi nilainya, namun jika dikupas lebih mendalam, peruntukannya sebenarnya lebih rendah Bajet 2022 jika mengambil kira penambahan jumlah peruntukan subsidi sepanjang tahun ini.
"Justeru, kalau kita belanja RM385 bilion tahun ini pun, ekonomi negara ibarat suam-suam kuku, bagaimana pula dengan Bajet 2023 yang diperuntukkan untuk menghadapi jangkaan krisis kemelesetan ekonomi dunia tahun hadapan? Sebab itu nilai tambahan kepada wang dibelanjakan kerajaan amat penting untuk diambil kira," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula berpendapat tema Bajet 2023 dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia sebenarnya lebih bersifat menolong orang kaya dan kontraktor-kontraktor yang mempunyai kepentingan politik dengan kerajaan.
Tegasnya, berdasarkan data Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023, kerajaan berhasrat untuk memotong jumlah subsidi dan perkhidmatan sosial tahun hadapan daripada RM58.9 bilion kepada RM42 bilion pada tahun 2022.
Justeru, Ahli Parlimen PKR itu berpandangan Bajet 2023 sebenarnya mengabaikan kebajikan golongan miskin B40 dan golongan pendapatan pertengahan (M40) kerana jumlah pemotongan nilai subsidi bernilai RM16.9 bilion atau 29 peratus daripada jumlah subsidi tahun lalu.
"Tidak dinafikan pertambahan belanja pembangunan secara langsung akan membantu merangsang ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Tetapi dengan nilai belanja pembangunan tidak masuk akal mencecah RM95 bilion, ia sebenarnya sekadar memanfaatkan kepada golongan taikun dan kontraktor yang berkait dengan kerajaan sekarang.
"Persoalan utama adalah berapa banyak daripada nilai RM95 bilion belanja pembangunan ini akan memberi manfaat kepada rakyat biasa menerusi limpahan peluang pekerjaan dan kenaikan gaji?
"Jawapannya tidak. Data kerajaan sendiri mengunjurkan kadar pendapatan per kapita rakyat Malaysia akan berkurangan sebanyak 1.2 peratus daripada RM50,314 setahun pada tahun 2022 kepada RM49,717 pada tahun 2023.
"Kesimpulannya, setelah kerajaan memperuntukkan hampir RM100 bilion untuk belanja pembangunan, unjuran kerajaan sendiri mendedahkan rakyat biasa akan menjadi 1.2 peratus lebih miskin pada tahun 2023 berbanding 2022," luah Wong dengan kesal.
Klik di sini untuk terus membaca