KUALA LUMPUR - Kerajaan membentangkan bajet terbesar dalam sejarah, yang disifatkan mampu menjadi penawar kepada ekonomi negara bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, dengan cabaran faktor-faktor global luaran, peruntukan sebanyak RM372.3 bilion oleh kerajaan diharap mampu menjadi dahan teguh bagi pautan rakyat yang memerlukan.
Menurutnya, sekalipun Covid-19 belum reda, dunia telah pun keluar daripada lesu, sementara Malaysia sudah bergerak ke fasa peralihan endemik.
"Walau betapa deras samudera yang telah ditempuh, hakikatnya kerajaan meneliti dan merancang teliti. Namun, masih ada yang mencanangkan kegusaran dan menyebar khabar berniat mencetuskan kebimbangan.
"Sememangnya diakui, situasi ekonomi global masih perlukan kita sentiasa berwaspada.
"Kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dunia dan penurunan pertumbuhan ekonomi dunia pastinya menuntut setiap negara, bukan sahaja Malaysia, untuk bersedia anjal menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, bajet kali ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ dan bersandarkan tiga teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Berbekalkan ruang fiskal yang ada, keutamaan bajet kali ini katanya, akan tertumpu kepada usaha melindungi kebajikan rakyat, dengan lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasi sebagai sebahagian usaha.
"Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, kerajaan bercadang menyediakan RM272.3 bilion bagi belanja mengurus, RM95 bilion untuk belanja pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.
"Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka,” ujar beliau.
Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R – iaitu Responsive (responsif), Responsible (bertanggungjawab) dan Reformist (reformis).
Jelasnya, ia responsif kepada sebarang cabaran, melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat.
Selain itu, ia bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemapanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang.
Bajet 2023 juga bersifat reformis yang mengambil peluang mengubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mapan, di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.
"Ia terus mengukuh lima peratus pada suku pertama 2022 dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua 2022. Pertumbuhan suku kedua tahun ini merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.
"Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-ALLAH, ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 hingga 6.3 peratus.
"Dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, kerajaan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK 2022) kepada antara 6.5 hingga 7 peratus,” ujarnya.
Jelas Tengku Zafrul, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar ini.
Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara 4 hingga 5 peratus.
"Bajet 2023 ini diharap dapat menjadi penawar seterusnya kepada pelbagai keperihan yang dialami rakyat buat masa ini. Moga-moga ia dapat terus menyerlahkan jalan ke hari esok, di mana insya-ALLAH, menanti masa depan yang lebih cerah.
"Saya menyeru marilah sama mendukung bajet ini. Di bawahnya berteduh impian, terpancar harapan lebih 32 juta rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sesuai tema, tumpu segenap lapisan
Sementara itu, Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, disifatkan sesuai dengan tema Keluarga Malaysia Makmur Bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet tersebut merangkumi segenap lapisan dan kumpulan masyarakat di negara ini.
"Sesuai dengan tema, kalau kita lihat bajet ini menumpukan seluruh Keluarga Malaysia, B40, M40, golongan belia, wanita serta orang kelainan upaya (OKU).
"Peruntukan yang diberikan berdasarkan setiap kumpulan yang saya sebutkan tadi.
"Dari segi pembangunan luar bandar, bandar dan sebagainya.
"Bajet ini juga menumpukan pembangunan ekonomi dan (sebagai) persediaan untuk menghadapi keadaan ekonomi agak tidak menentu tahun hadapan,” kata Ismail Sabri ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan terbesar Malaysia itu.
Ismail Sabri berkata lagi, Bajet 2023 itu turut memberi keutamaan kepada aspek pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Klik di sini untuk terus membaca