SAYA tidaklah tahu apa agaknya yang ada di dalam kepala otak ahli politik negara kita ini. Tidak habis-habis hendak mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Kata mereka, dengan percepatkan PRU15 akan menstabilkan negara.
Mereka agaknya tidak membaca surat khabar atau menonton berita. Setakat ini negara masih elok-elok sahaja. Diberitakan sedang memulih untuk ke hadapan walaupun banyak perkara perlu dilakukan demi kepentingan rakyat jelata.
Yang tidak stabil adalah mereka iaitu ahli-ahli politik tua yang hendak mempercepatkan pilihan raya. Mereka yang tua-tua, ramai sudah dirasuk hantu puaka. Hantu puaka itu sekarang sedang bermain dalam fikiran dan sentiasa mendesak mereka.
Bak kata pepatah Melayu lama, seperti membeli kerbau di padang. Terburu-buru dalam membuat sesuatu boleh mendatangkan padah.
Agaknya ramai orang politik yang sudah kena rasuk. Mereka dirasuk untuk menekan Perdana Menteri supaya mempercepatkan PRU15. Mungkin juga kalau dipercepatkan, mereka akan baik daripada segala kerasukan hantu puaka.
Hantu puaka yang menghantui mereka agaknya perlu dihapuskan segera dengan adanya pilihan raya. Mereka yang dihantui oleh hantu puaka itu akan sentiasa meroyan untuk memastikan agenda mereka tercapai.
Lagipun hantu yang merasuk fikiran mereka, jika tidak dihentikan boleh menyebabkan mereka tidak dapat memegang kuasa.
Oleh itu, perlulah untuk berubat dan membuang hantu puaka dengan cepat. Ubatnya hanyalah PRU15. Bukan semua orang politik ini yang telah dirasuk hantu puaka.
Ada sahaja yang masih kuat dan tidak lemah semangat walaupun ada hantu puaka cuba merasuk mereka.
Bagaimanapun, paling penting adalah kehendak rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan. Kita tidaklah mahu rakyat menjadi mangsa sekali lagi, hasil pertelagahan hantu puaka orang politik.
Keadaan kini sudah tidak sama seperti dahulu. Senario politik negara kita memang sudah tidak stabil. Untuk menang, maka hendaklah parti-parti ini bersatu. Dan apabila membuat pakatan untuk bersatu, maka masing-masing pasti ada agenda tersendiri.
Apabila sudah menang pilihan raya nanti, mungkin ada agenda parti sendiri tidak tercapai dan apa dikehendaki sesetengah ahli politik yang dirasuk hantu juga tidak tercapai. Pasti akan bergolak lagi senario politik negara kita.
Dan yang pasti, rakyat jelata akan menjadi mangsa. Mereka yang akan terumbang-ambing tidak tentu arah tujuan, apakah sebenarnya keadaan negara kita, sama ada hendak ke hadapan atau ke belakang.
Bagi mereka yang sudah dirasuk hantu, hendaklah tidak bertanding lagi. Pada masa sama, rakyat harus menolak mereka sepenuhnya jika mereka masih ingin bertanding dan menjadi calon.
Calon-calon yang bermasalah sudah tidak relevan. Sudah patut bersara. Biarlah muka-muka baharu dan muda diberi peluang untuk mencorakkan masa depan negara.
Orang muda yang tidak bermasalah perlu diberi peluang dan perhatian. Bak kata pepatah, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Anak muda sekarang sudah berfikiran ke hadapan.
Mereka sudah tidak terpengaruh lagi dengan ahli politik yang sentiasa dirasuk hantu. Orang muda, ramai yang mempunyai idea bernas dan boleh membawa negara lebih maju.
Pergelutan sesama sendiri bagi merebut kuasa, di samping menyelamatkan diri daripada kes-kes mahkamah yang terpalit pada sesetengah ahli politik, sepatutnya sudah tahu malu untuk mengundur diri.
Cuma yang menjadi masalah sekarang ialah masih ada menyokong mereka. Mungkin penyokong mereka juga dirasuk hantu puaka. Hantu yang merasuk mereka mungkin berasal daripada baka hantu ahli politik tersebut.
Selagi baka hantu puaka itu masih berleluasa, maka akan ada penyokong taasub. Fikirannya susah tertutup dengan rasukan hantu puaka tersebut. Tiada ubat untuk menyelamatkan mereka.
Selagi ada fikiran taasub, selagi itulah senario politik di negara kita tidak berubah. Apabila tidak berubah, maka keadaan negara kita juga tidak akan berubah.
Mereka yang taasub penyebab kemunduran negara. Maka moleklah kita sama-sama berfikir bagaimana untuk menghapuskan ketaasuban fikiran mereka.
Mungkin seperti kata Ibnu Rushd, mereka yang rasional akan lebih mengenali Tuhan daripada mereka yang hanya taklid membabi buta. Mungkin mereka sendiri pun masih tidak kenal diri sendiri agaknya.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca