KHAMIS lalu, kecoh satu negara bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Namun, pembubaran tersebut nampaknya masih terus menjadi teka-teki.
Yang pasti, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah semakin hampir. Ia akan tetap berlaku kerana tempoh mandat sedia ada sudah hampir ke penghujung. Hanya lambat atau cepat sahaja yang menjadi persoalan.
Itu pun harus juga mengambil kira kesesuaiannya kerana pendapat umum jelas tidak mahu ia diadakan ketika musim tengkujuh tiba.
Pilihan raya bukanlah isunya. Isunya perlukah pilihan raya itu diadakan juga, bukan sahaja kerana faktor tengkujuh, malah dengan alasan kerajaan sekarang tidak stabil sampai tidak boleh tunggu lagi.
Hanya orang tidak cerdik sahaja yang akan menerima mentah-mentah alasan tersebut. Lagipun, setakat ini kerajaan pimpinan Ismail Sabri masih berfungsi dengan baik.
Dengan Bajet 2023 baru sahaja dibentangkan, tiada salahnya jika UMNO sendiri berlapang dada sebentar dengan tidak mendesak PRU diawalkan. Jika UMNO buat begini, rakyat mungkin akan lebih menghormati dan menyenangi parti itu berbanding sebelumnya.
Alang-alang sudah bercakap tentang PRU yang kononnya perlu untuk membentuk kerajaan stabil, soalan utama patut ditanya – bolehkah ia dilakukan?
Untuk menjawab tanpa mengambil kira parti mana akan memperolehnya, congakan mudah sudah tentulah kena menang 112 daripada 222 kerusi Parlimen yang diperuntukkan.
Ketika ini masih agak sukar melihat mana-mana parti termasuklah UMNO sendiri untuk memperoleh angka tersebut. Keterpecahan kerusi Melayu yang mungkin menyaksikan persaingan sengit UMNO – Perikatan Nasional (PN) – Pakatan Harapan (PH) antara faktor wajar dipertimbangkan.
Pada masa sama, kerusi Sabah yang tidak lagi menjadi ‘simpanan tetap’ UMNO, selain kerusi Sarawak memperlihatkan kecenderungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersikap pragmatik dan praktikal bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan kepentingan mereka terjamin boleh mengubah keadaan.
Untuk rekod, pecahan kerusi semasa memperlihatkan PH masih mendahului parti lain dengan 90 kerusi, diikuti PN (42), BN (41), GPS (18), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (9), Warisan (7), Pejuang (4), Parti Bebas (4), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (2), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (1), MUDA (1) dan berkecuali (1). Dua lagi kerusi (Parlimen Gerik dan Batu Sapi) masih kosong.
Daripada angka tersebut, PN menguasai kerusi Melayu terbanyak dengan Bersatu dan Pas menguasai 42 kerusi berbanding UMNO (37), PKR (21) serta Amanah (11).
Mengambil kira perubahan yang mungkin berlaku (disebabkan bertukar kerusi kerana melompat dan bertukar parti pasca PRU14), pergerakan antara kerusi-kerusi tersebut masih belum cukup untuk membentuk majoriti.
Dalam konteks Sabah, PH menguasai 13 daripada 25 kerusi Parlimen, berbanding GRS (12) dengan Warisan menguasai 7 kerusi, diikuti Bersatu (6), DAP (3), PKR (2), UMNO (2) dan masing-masing satu untuk UPKO, PBS, STAR, PBRS serta PBM.
Jika senario serupa berlaku seperti di Semenanjung (dalam kes kerusi Melayu), maka hasilnya juga mungkin sama.
Melihat sepintas agak sukar mencari bagaimanakah angka 112 boleh dicapai. Jika kejayaan UMNO yang menang besar di Melaka dan Johor mahu dijadikan alasan, maka jelas faktor peratusan pengundi rendah menjadi pemangkin PRU15 diawalkan. Hanya itu sahaja alasan munasabah yang boleh difikirkan.
Namun, kalau tidak begitupun, apakah tidak boleh kerjasama politik berlaku dalam konteks kerajaan campuran. Ada banyak kes membuktikan ia berhasil mewujudkan kerajaan stabil.
Persoalannya, dengan congakan sedemikian, mengapa masih mahu terus berkeras mahu PRU awal sehingga sanggup mengorbankan pengundi demi cita-cita politik?
Kerana akhirnya, siapa pun yang memerintah, kalau tidak punya jiwa besar dan betah bekerjasama, tidak mustahil politik edan sepanjang 2018-2022 akan berterusan dengan menjadikan pengundi bidak catur politikus rakus yang haus kuasa.
Kepada pengundi yang sedang membaca, sampai bila kita mahu terima dan reda sahaja? Apabila politik stabil, semua untung mereka ambil, apabila tak stabil, kita pula yang terkebil-kebil.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Klik di sini untuk terus membaca