SEJAK tahun lalu, akhbar Cina sering melaporkan berita sindiket pekerjaan luar negara. Kebanyakan mangsa adalah pemuda-pemudi Tionghua yang dipaksa bekerja sebagai scammer atau pelacuran.
Bulan lalu, kes Goi Zhen Feng, 23, yang ditemui mati di sebuah hospital negara Thailand, berdekatan sempadan Myanmar menarik perhatian ramai kerana mendiang dipercayai menjadi mangsa love scam dan diculik oleh sindiket pekerjaan luar negara semasa mendarat di lapangan terbang negara berkenaan.
Pihak polis telah giat berusaha membanteras sindiket penipuan dengan kempen antiscam dan pelantikan 104 duta antiscam tetapi sindiket tersebut masih berleluasa.
Rakyat jelata di Kopitiam Kita masih sering menerima panggilan scam. Tawaran gaji dan komisen yang lumayan berjumlah RM10,000 hingga RM40,000 sebulan menyebabkan orang muda dipancing menjadi ejen scam.
Walaupun mendiang Zhen Feng bukan ditipu menjadi ejen scam tetapi persoalannya, mengapa pemuda-pemudi Tionghua yang menjadi sasaran sindiket?
Hal itu kerana scammer yang berbahasa Cina diperlukan untuk menipu orang Taiwan, negara China dan kaum Tionghua di Malaysia.
Tambahan pula, sindiket percaya bahawa orang muda Tionghua kaya dan mampu membuat pembayaran sekiranya ingin dibebaskan oleh penculik.
Namun begitu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada awal minggu ini mendedahkan bahawa terdapat segelintir mangsa sindiket pekerjaan luar negara yang enggan balik ke Malaysia walaupun kerajaan giat berusaha membawa mereka pulang.
Menurut khabar angin di Kopitiam Kita, terdapat segelintir mangsa sindiket pekerjaan yang berjaya menjadi scammer hebat dan golongan itulah yang menteri maksudkan.
Terdapat juga golongan yang tahu bahawa pekerjaan ditawarkan adalah kerja scam telefon tetapi tidak menyedari kerja persekitaran di negara Laos, Vietnam, Myanmar atau Kemboja susah, malah sindiket menyeksa pekerja yang kurang bagus prestasinya.
Diculik Oleh sebab mahu menyelamatkan ‘air muka’ keluarga, golongan kedua itu meminta pertolongan kerajaan atas sebab diculik dan dapat pulang ke negara dengan tiket kapal terbang percuma.
Terdapat kes yang sah ditipu dan diculik sindiket seperti Zhen Feng tetapi kebanyakan mangsa tertarik dengan gaji lumayan scammer. Mereka secara sukarela pergi ke luar negara.
Surat khabar dan sosial media turut melaporkan berita sindiket penipuan memperdagangkan mangsa yang didapati tidak berprestasi tinggi kepada pasaran gelap organ manusia.
Terdapat video mengerikan yang tular dalam sosial media menunjukkan proses pengambilan organ manusia, dengan perbualan orang di dalam video mirip bahasa Khmer.
Kes penipuan tidak terhad kepada rakyat jelata sahaja. Beberapa hari lalu, model terkemuka, Amber Chia memohon maaf kepada peminat-peminatnya setelah mendapati seorang influencer yang beliau sokong dan mewakili syarikat pelancongan milik influencer itu menghilangkan diri dengan wang dibayar oleh pelanggan.
Amber dan dua orang artis telah menghantar surat dakwaan kepada influencer tersebut. Salah satu kesan terhadap hidup manusia selepas pandemik Covid-19 adalah peralihan pengguna ke atas talian.
Sindiket-sindiket menyedari perubahan tabiat itu dan mengambil kesempatan memperdayakan pengguna dengan perasaan simpati, panik serta tamak seseorang.
Bekas scammer yang pulang ke tanah air menceritakan latihan diberikan oleh sindiket penipuan merangkumi aspek psikologi dan keyakinan diri untuk memperdayakan pengguna.
Sindiket penipuan berubah seiring peredaran masa dan taktik yang diguna pakai turut maju. Dengan data peribadi seperti nombor telefon senang dicuri, rakyat perlu berhati-hati dalam setiap transaksi atas talian yang dibuat.
* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca