BARU-baru ini saya berkesempatan hadir Seminar dan Majlis Pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022, anjuran Lembaga Kaunselor dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan ‘Emosi Sejahtera Hidup... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini saya berkesempatan hadir Seminar dan Majlis Pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022, anjuran Lembaga Kaunselor dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan ‘Emosi Sejahtera Hidup Bahagia’.

Banyak kupasan dan soal jawab berkaitan pelbagai isu kesejahteraan emosi dalam seminar tersebut.

Sebetulnya, bukan mudah mengawal emosi, apatah lagi untuk memahaminya. Yang jelas, pola dan pembentukan emosi adalah berbeza bagi setiap individu serta mempunyai kaitan rapat dengan penciptaan roh atau jiwa oleh ALLAH SWT kepada manusia.

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan, ‘roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra, 17:85)

Berasaskan ilmu pengetahuan yang sedikit, terdapat kajian dilakukan oleh Institute of Neuroscience and Psychology di University of Glasgow United Kingdom, mendapati terdapat empat asas emosi bagi setiap individu.

Emosi tersebut ialah gembira, sedih, takut dan marah. Pada prinsipnya, empat asas emosi itu akan berkembang kepada pelbagai jenis emosi seperti meluat, sakit hati, kecewa, dengki, dendam, terkejut dan sebagainya.

Jika diteliti dengan mendalam empat asas emosi tersebut, didapati emosi yang bersifat positif hanya satu sahaja iaitu gembira, manakala tiga emosi lain adalah bersifat negatif iaitu sedih, takut dan marah.

Secara perbandingannya, emosi positif ibarat seekor anak kambing putih yang aktif dan ceria sedang melompat-lompat serta bermain di atas padang ragut yang cukup cantik dan indah. Namun begitu, dikelilingi tiga ekor serigala lapar (emosi negatif) yang menunggu masa untuk meragut kegembiraan anak kambing berkenaan.

Hakikatnya, kita tidak boleh membunuh ‘tiga ekor serigala lapar’ (tiga emosi negatif) itu kerana ia ciptaan ALLAH SWT, bersekali dengan ciptaan manusia.

Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan menguruskan emosi negatif tersebut agar tidak mengganggu kegembiraan dan ketenangan diri kita. Pendek kata emosi berkenaan ada tetapi kurang aktif dan tidak menguasai diri kita.

Emosi negatif

Persoalannya, bagaimana untuk menguruskan tiga emosi negatif itu? Perkara utama yang perlu kita lakukan adalah jangan memberi makan kepada ‘tiga ekor serigala lapar’ berkenaan.

Perilaku ‘serigala’ agak pelik kerana akan sentiasa lapar walaupun diberi makanan. Pendek kata, setiap kali diberikan makanan, ‘serigala’ berkenaan akan semakin lapar dan mengganas. Apakah makanan ‘serigala’ itu?

Sesungguhnya, makanan yang paling lazat bagi ‘serigala’ tersebut ialah putus harapan. Jika kita putus harapan, seakan-akan kita ‘bercerai’ dengan ALLAH SWT.

Pada masa sama, kita berasa segala kesedihan dan kepincangan hidup adalah suatu bentuk hukuman serta tidak adil untuk kita. Lantaran itu, kebergantungan kepada ALLAH SWT adalah amat kurang.

Ingatlah, segala urusan kehidupan adalah perancangan ALLAH SWT dan terbaik untuk kita serta mempunyai hikmah tersendiri. Itu bermakna kita hanya berusaha dan selebihnya adalah urusan serta perancangan ALLAH SWT.

Berkaitan dengan pergantungan yang tinggi kepada ALLAH SWT, menurut Saidina Anas bin Malik, Rasulullah SAW pernah mengajarkan doa itu kepada Saidatina Fatimah dan mewasiatkan agar membacanya pagi serta petang.

Doa itu ialah: "Ya Hayyu Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah urusanku seluruhnya dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau hanya sekelip mata.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i).

Selain itu, kita harus pertingkatkan lagi circle of trust atau lingkungan kepercayaan dalam kalangan kenalan kita. Setelah lingkungan kepercayaan diperkukuhkan, ‘tiga ekor serigala lapar’ tidak akan menguasai kita lagi, insya-ALLAH.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi,Universiti Malaysia Perlis.

Klik di sini untuk terus membaca