PERDANA Menteri Britain, Liz Truss menimbulkan kontroversi di Palestin apabila satu rakaman video yang tular di platfform media sosial menunjukkan wanita itu berkata bahawa beliau ialah seorang penyokong Zionis di Birmingham pada 4 Oktober lalu.
Dalam masjlis Conservative Friends of Israel atau Rakan Konservatif Israel, Perdana Menteri baharu itu turut menyatakan kepada sejumlah penduduk berketurunan Yahudi bahawa beliau juga ialah seorang penyokong kuat Israel.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Truss dilantik menjadi Perdana Menteri pada awal September lalu.
Beliau dilantik memegang jawatan itu selepas menang dalam pemilihan jawatan Ketua Parti Konservatif apabila mendapat 81,326 undi sekali gus menewaskan bekas Canselor Perbendaraan Britain, Rishi Sunak yang memperoleh 60,399 undi bagi menggantikan Boris Johnson selepas beliau meletakkan jawatan.
Pada kebiasaannya, Ketua Parti Konservatif akan menjadi Perdana Menteri Britain.
Johnson meletakkan jawatan selepas beliau terlibat dengan pelbagai skandal termasuk didakwa menipu di Parlimen dan menghadapi undi tidak percaya dalam kalangan anggota-anggota partinya yang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri Britain tentang Zionis itu mencetuskan kontroversi kerana beliau menyokongnya secara terang-terangan sebuah pertubuhan Yahudi yang telah merampas tanah penduduk Palestin sejak tahun 1940-an lagi untuk menubuhkan sebuah negara haram.
Truss juga menyatakan bahawa ancaman daripada rejim autoritarian yang tidak mempercayai kebebasan dan demokrasi yang menentang United Kingdom (UK) dan Israel manakala kedua-dua belah pihak perlu berganding bahu bagi menghadapi ancamannya.
Sebelum menjadi Perdana Menteri, Truss dikenali sebagai penyokong kuat Israel ketika beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Luar di bawah Kabinet Johnson.
Truss juga telah mempromosikan dirinya yang menunjukkan beliau menyokong Zionis sebagai semasa kempennya untuk menjadi Perdana Menteri UK dan pemimpin Parti Konservatif.
Berikutan kenyataan itu, Hamas kemudian membidas kenyataan tersebut dengan menganggap komen itu selaras dengan Deklarasi Balfour UK pada tahun 1917 yang merupakan kenyataan awam kerajaan British pada zaman Perang Dunia Pertama yang menyokong penubuhan sebuah tanah air Yahudi di Palestin.
Deklarasi Balfour merupakan surat daripada Setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour yang ditujukan kepada Lionel Walter Rothschild iaitu seorang tokoh masyarakat Yahudi British dan diterbitkan pada 2 November 1917.
Pengisytiharan Balfour itu dibuat semasa Perang Dunia I dan dimasukkan dalam syarat Mandat British untuk penubuhan tamah air Yahudi selepas pembubaran Empayar Uthmaniyyah dan dianggap secara meluas sebagai pelopor kepada peristiwa Nakba Palestin yang berlaku pada tahun 1948.
Dalam peristiwa itu, kumpulan separa tentera bersenjata Zionis yang dilatih dan diwujudkan untuk berperang dengan British dalam Perang Dunia II secara paksa telah mengusir lebih 750,000 penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Justeru, kenyataan Perdana Menteri Britain itu tidak disenangi oleh Hamas apabila jurucakapnya, Sami Abu Zuhri menganggap Truss berdiri di sisi rejim Zionis dan menyokong pencerobohan terhadap Palestin.
Sebelum ini, Truss turut menyatakan beliau akan turut menimbangkan untuk memindakan kedutaan UK dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Sebelum ini, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menyatakan ia akan memindahkan kedutaan negaranya ke Baitulmaqdis.
Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri Britain tersebut pada bulan lalu bahawa beliau akan menimbangkan untuk memindakan kedutaan itu kemudiannya mendapat bantahan daripada parti pembangkang Britain, Parti Buruh, Parti Liberal Demokrat dan Parti Kebangsaan Scotland.
Alasan yang diberikan oleh parti-parti itu ialah ialah ia merupakan satu tindakan provokatif, tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa serta tidak mampu untuk membawa keamanan antara Israel dan Palestin.
Palestin, Hamas, Jihad Islam, Liga Arab dan negara-negara Arab turut menentang cadangan untuk memindahkan Kedutaan UK dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dengan ada yang menganggapnya jika dilakukan, ia merupakan satu jenayah baharu Britain ke atas penduduk Palestin.
Semasa Truss memegang jawatan Setiausaha Luar UK sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menandatangani memorandum persefahaman dengan Menteri Luar Israel ketika itu Yair Lapid untuk mengeratkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber, teknologi, pertahanan, perdagangan dan sains.
Lapid kini ialah Perdana Menteri Israel yang meluluskan serangan ke atas Gaza sehingga mengakibatkan lebih 40 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.
Sehubungan itu, kenyataan Truss itu menunjukkan beliau merupakan penyokong tegar Zionis yang telah membunuh ramai penduduk Palestin yang memperjuangkan kebebasan daripada penguasaan rejim Zionis. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca