KIEV - Sejak beberapa minggu lalu, tentera Ukraine semakin membuat kemajuan dengan merampas semula sebahagian besar Kherson yang menjadi antara empat wilayah diilhak Rusia.
Kejayaan Kiev mara ke wilayah selatan itu merupakan kekalahan terbaharu yang dihadapi tentera Rusia, sekali gus menjejaskan matlamat Kremlin setelah ia mendakwa telah mengilhak kira-kira 20 peratus kawasan di Ukraine.
"Angkatan Tentera Ukraine berjaya membebaskan lebih 400 kilometer persegi di wilayah Kherson yang berpopulasi kira-kira sejuta penduduk daripada cengkaman Moscow setelah misi serangan balas diperhebatkan sejak awal bulan lalu,” kata jurucakapnya, Natalia Gumeniuk.
Menurutnya, kawasan yang berjaya dirampas semula itu melibatkan hampir 30 bandar dan perkampungan yang dikawal tentera musuh selama beberapa bulan sejak kempen pencerobohan dilancarkan pada Februari lalu.
Ketika ini, tentera Ukraine juga dikatakan telah menguasai semula wilayah timur Lugansk dan Donetsk yang sebahagiannya dikawal proksi Kremlin sejak 2014 setelah pengilhakan Semenanjung Crimea.
Susulan perkembangan tersebut, timbalan pemimpin pro-Moscow, Kirill Stremousov mengulangi gesaan supaya penduduk kekal tenang dan memberi jaminan pasukan barisan hadapan Rusia kini sedang berusaha keras menyekat kemaraan tentera Ukraine.
Tentera Rusia dalam satu kenyataan mendakwa tentera Ukraine mengerahkan empat batalion taktikal dan cuba beberapa kali untuk menembusi benteng pertahanan mereka berhampiran Dudchany, Sukhanove, Sadok, dan Bruskinskoe.
Konflik tersebut dilaporkan semakin tegang selepas bandar Zaporizhzhia yang turut menempatkan kompleks nuklear terbesar Eropah dibedil tentera musuh hingga meragut nyawa sejumlah orang awam.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang terus mendapat sokongan Barat menggesa sekutunya supaya membekalkan lebih banyak senjata kepada tentera negara itu untuk 'menghukum penceroboh'.
"Kiev perlu menyekat pencerobohan Rusia secara lebih meluas agar kereta kebal milik mereka tidak mara ke Warsaw atau ke Prague sekali lagi,” katanya ketika berucap di hadapan pemimpin Eropah di ibu kota Republik Czech.
Minggu lalu, beliau dengan yakin memberi jaminan akan merampas semula kawasan diduduki tentera musuh dalam tempoh seminggu setelah kemajuan memberangsangkan yang dicapai tentera Ukraine.
Sejak akhir Ogos, tentera Ukraine melancarkan serangan balas ‘habis-habisan’ untuk merampas semula wilayah selatan setelah ia hampir sepenuhnya menguasai wilayah Kharkiv dan mara ke barisan hadapan timur serta selatan.
Pada Khamis, Kesatuan Eropah (EU) mengenakan pusingan terbaharu sekatan ke atas Kremlin yang memperluaskan lagi larangan import dan eksport serta menyenaraihitamkan beberapa individu sebagai ‘hukuman’ atas pengilhakan empat wilayah Ukraine yang turut mengundang kritikan komuniti antarabangsa. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca